Topic followed successfully
Go to BHkuNahas Air Canada: Pramugari terselamat tercampak terikat pada tempat duduk
Nahas Air Canada: Pramugari terselamat tercampak terikat pada tempat duduk
Nahas Air Canada: Pramugari terselamat tercampak terikat pada tempat duduk
NEW YORK: Seorang pramugari yang masih memakai tali pinggang di tempat duduknya terselamat daripada tercampak daripada pesawat Air Canada yang berlanggar dengan sebuah trak bomba di Lapangan Terbang LaGuardia, New York, Amerika Syarikat.
Anak perempuannya, Cik Sarah Lepine, dalam temu bual pada 23 Mac dengan stesen penyiaran Canada TVA Nouvelles, menyatakan ia benar-benar “suatu keajaiban”.
Semenangnya berpantang maut sebelum ajal.
Beliau berkata ibunya, Cik Solange Tremblay, hanya mengalami beberapa patah tulang pada sebelah kakinya dan memerlukan pembedahan.
Seorang pakar keselamatan penerbangan berkata nasib menyebelahi Cik Tremblay kerana beliau berada di tempat duduk dan memakai tali pinggang keselamatan khusus untuk kru.
“Pada saat hentaman, tempat duduknya tercampak lebih daripada 100 meter daripada pesawat. Mereka menemuinya dan beliau masih terikat di tempat duduknya.
Pesawat yang membawa lebih daripada 70 penumpang, sedang mendarat apabila ia berlanggar dengan sebuah trak bomba yang sedang menangani masalah di pesawat lain pada malam 22 Mac.
Bahagian hidung pesawat Air Canada remuk dan musnah. Juruterbang dan pembantu juruterbang terbunuh.
Pakar keselamatan penerbangan Encik Jeff Guzzetti juga menyifatkan apa yang berlaku pada Cik Tremblay sebagai suatu keajaiban jika diambil kira kemusnahan teruk pada hidung pesawat itu.
“Tempat duduk pramugari adalah seperti tempat duduk yang boleh dilipat dan diikat pada dinding,” kata Encik Guzzetti, bekas penyiasat nahas persekutuan.
“Ia tempat duduk yang sangat kukuh. Ia direka untuk menahan beban nahas yang mungkin lebih berat daripada tempat duduk penumpang kerana anda memerlukan pramugari untuk membantu penumpang keluar daripada pesawat selepas nahas,” ujar beliau.
Seorang penumpang Air Canada, Encik Clément Lelièvre, memuji “refleks luar biasa” juruterbang yang menyelamatkan nyawanya dan orang lain.
Kru penerbangan memberhentikan pesawat secara mendadak sebaik sahaja pesawat mendarat, katanya.
Juruterbang dan pembantu juruterbang yang meninggal dunia kedua-duanya berpangkalan di Canada, kata Cik Kathryn Garcia, pengarah eksekutif Penguasa Pelabuhan New York dan New Jersey, yang mengendalikan lapangan terbang tersebut.
Encik Antoine Forest dikenal pasti sebagai salah seorang daripada dua juruterbang pesawat yang terbunuh dalam perlanggaran itu.
Pada 2013, sekurang-kurangnya dua pramugari cedera apabila mereka tercampak daripada pesawat Asiana Airlines yang terhempas semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco.
Terdapat 291 orang di dalam Penerbangan Asiana 214, dan tiga orang gadis terbunuh. - Agensi berita

