JAKARTA: Seorang murid sekolah rendah mencuri perhatian ramai selepas tular video menunjukkan dia membawa seekor ular di dalam beg sekolah, sebelum dengan tenang memegang haiwan tersebut tanpa rasa takut.

Kanak-kanak perempuan itu, Meisa Arifa Kartiwa, atau lebih dikenali sebagai Caca, berusia lapan tahun dan masih belajar di Tahun 2 sekolah rendah di Kampung Cimaskara, Kecamatan Cibinong, Jawa Barat, Indonesia.

Dalam video yang tular di media sosial, beg sekolahnya pada awalnya disangka berisi makanan, namun rupa-rupanya mengandungi ular sepanjang kira-kira dua meter.

Kanak-kanak itu dilihat memegang ular tersebut dan bermain dengannya dengan bantuan seorang rakan.

“Dari sebelum sekolah memang suka main dengan ular. Yang di video itu namanya Zoro, ular Raja Tikus. Tapi masih banyak yang lain di rumah,” katanya seperti dipetik Kompas.com baru-baru ini.

Menurut bapanya, Encik Jepi Kartiwa, minat anaknya terhadap reptilia bermula sejak kecil dan semakin berkembang kerana pendedahan awal terhadap aktiviti menyelamat haiwan.