Topik diikuti
Pergi ke BHkuMexico tingkat kawalan keselamatan jelang pembukaan Piala Dunia
Mexico tingkat kawalan keselamatan jelang pembukaan Piala Dunia
Mexico tingkat kawalan keselamatan jelang pembukaan Piala Dunia
MEXICO CITY: Mexico memperketat kawalan keselamatan dan meningkatkan persiapan saat akhir menjelang pembukaan Piala Dunia 2026 pada 11 Jun, ketika beberapa kumpulan penunjuk perasaan merancang perarakan besar-besaran yang dijangka memberi tekanan kepada pemerintah serta menimbulkan kesesakan kepada penyokong bola sepak.
Kurang 24 jam sebelum sepak mula berlangsung di Stadium Azteca, pemerintah Mexico mengerahkan lebih 50,000 anggota polis bagi memastikan keselamatan acara sukan terbesar dunia itu berjalan lancar.
Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, cuba menenangkan kebimbangan orang ramai dengan menegaskan keadaan berada di bawah kawalan.
“Segala-galanya terkawal. Untuk mengelakkan masalah, kami mengesyorkan orang ramai keluar lebih awal, tetapi semua orang akan tiba di stadium,” katanya dalam sidang media harian pada 10 Jun.
“Ia akan menjadi upacara pembukaan yang hebat,” tambah beliau.
Kira-kira 90,000 penonton dijangka hadir secara fizikal di Stadium Azteca, manakala jutaan lagi bakal menyaksikan perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan menerusi siaran global.
Namun suasana menjelang kejohanan itu turut dibayangi ancaman protes apabila sekurang-kurangnya tujuh perarakan dirancang menuju ke kawasan stadium.
Antara kumpulan yang dijangka turun ke jalan raya termasuk guru, petani, pesara serta pekerja hospital dan pengangkutan awam yang mahu menekan pemerintah supaya memenuhi tuntutan mereka.
Perhatian utama tertumpu kepada Kesatuan Guru Pembangkang Nasional (CNTE), kumpulan yang terkenal dengan tindakan menyekat lebuh raya dan jalan utama bagi memberi tekanan kepada pemerintah.
CNTE menuntut kenaikan gaji guru sebanyak 100 peratus, jauh lebih tinggi daripada tawaran pemerintah sebanyak sembilan peratus.
Kesatuan itu juga menuntut jaminan pekerjaan lebih baik dan mahu sistem pencen lama dikembalikan.
Menurut pemerintah Mexico, langkah mengembalikan sistem pencen tradisional akan menelan kos sekitar AS$400 bilion (S$514 bilion), bersamaan hampir satu perlima keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu.
Pegawai pemerintah cuba mencapai persetujuan dengan kesatuan itu sejak minggu lalu, namun rundingan masih gagal menghasilkan penyelesaian.
CNTE ialah kumpulan serpihan daripada kesatuan guru terbesar Mexico, SNTE.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan tersebut kerap mengadakan sekatan jalan raya selama beberapa jam di ibu kota Mexico City selain bertempur dengan polis.
Pada 10 Jun, ketegangan turut tercetus antara penunjuk perasaan dan peniaga tempatan yang mendakwa bantahan berterusan menjejaskan jualan ketika sektor pelancongan sedang berada pada musim sibuk.
Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Encik Gianni Infantino, ketika sidang media menjelang pembukaan kejohanan, mengucapkan terima kasih kepada Cik Sheinbaum atas usaha memastikan kejohanan berjalan lancar.
Bagaimanapun, beliau mengakui sukar memastikan kejohanan sebesar Piala Dunia berlangsung tanpa sebarang gangguan.
“Kami sedang membuat persiapan supaya semuanya berjalan lancar tanpa masalah.
“Tetapi sudah tentu acara sebesar ini tidak mungkin dapat dianjurkan secara sempurna sepenuhnya,” katanya.
Walaupun pemerintah Mexico menegaskan bantahan tidak akan menjejaskan acara rasmi Piala Dunia, beberapa sekatan jalan raya oleh CNTE sudah mula mengganggu lalu lintas di kawasan pusat bersejarah Mexico City.
Kawasan itu dijadual menjadi lokasi pesta peminat rasmi FIFA dan tayangan skrin besar perlawanan pembukaan.
Peminat juga dijangka berdepan pemeriksaan keselamatan ketat dan barisan panjang di beberapa lokasi utama termasuk Dataran Zocalo, tempat skrin gergasi dipasang untuk tayangan langsung perlawanan.
Dalam perkembangan lain, Kedutaan Amerika Syarikat di Mexico turut mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya menjelang kejohanan tersebut.
Dalam kenyataan media sosial pada 9 Jun, kedutaan itu menggesa pelawat menyemak tahap risiko keselamatan sebelum memasuki Mexico.
Jabatan Negara Amerika mengklasifikasikan beberapa kawasan di Mexico mengikut tahap risiko keselamatan daripada Tahap 1 hingga Tahap 4.
Zapopan berhampiran Guadalajara, salah satu lokasi Piala Dunia di negeri Jalisco, diletakkan pada Tahap 3 iaitu “pertimbang semula perjalanan”.
Sementara itu, Mexico City dan Guadalupe berhampiran Monterrey dikategorikan sebagai Tahap 2 yang bermaksud “berwaspada lebih tinggi”.
Pemerintah AS turut memberi amaran mengenai risiko jenayah, penculikan dan keganasan di beberapa kawasan Mexico.
Rakyat AS dinasihatkan tidak melakukan perjalanan antara bandar pada waktu malam, mengelak menaiki teksi jalanan serta tidak bergerak bersendirian di kawasan terpencil.
Sebanyak 13 perlawanan Piala Dunia dijadual berlangsung di Mexico termasuk perlawanan pembukaan, dua aksi pusingan 32 terbaik dan satu perlawanan pusingan 16 terbaik.
Pasukan Mexico akan bermain dua daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan di Mexico City termasuk aksi pembukaan menentang Afrika Selatan. - Agensi berita
