Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri Luar Iran tiba di Russia sedang rundingan damai Timur Tengah masih buntu
Menteri Luar Iran tiba di Russia sedang rundingan damai Timur Tengah masih buntu
Menteri Luar Iran tiba di Russia sedang rundingan damai Timur Tengah masih buntu
MOSCOW: Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, tiba di Russia pada 27 April ketika usaha damai antara Tehran dan Washington terus berdepan ketidaktentuan susulan kegagalan rundingan yang dirancang di Pakistan.
Kementerian Luar Iran memaklumkan Encik Araghchi tiba di Saint Petersburg dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam usaha memperkukuh sokongan diplomatik di tengah konflik yang berlarutan.
Lawatan itu berlaku selepas siri diplomasi intensif melibatkan Oman dan Pakistan, ketika negara pengantara berusaha mengekalkan momentum rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat.
Harapan untuk rundingan pusingan kedua di Islamabad terjejas selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, membatalkan lawatan wakilnya, Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner. Pembatalan itu berlaku selepas media Iran melaporkan Araghchi tidak merancang untuk bertemu pegawai Amerika di Pakistan.
Encik Trump berkata rundingan masih boleh diteruskan tanpa pertemuan fizikal.
“Jika Iran mahu berunding, mereka boleh datang kepada kami atau hubungi kami,” katanya kepada Fox News.
Beliau turut menegaskan pembatalan lawatan itu tidak bermaksud konflik akan kembali memuncak.
“Tidak, itu tidak bermakna begitu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita Fars melaporkan Iran telah menghantar “mesej bertulis” kepada Amerika Syarikat melalui Pakistan, yang menggariskan garis merah termasuk isu nuklear dan Selat Hormuz. Bagaimanapun, mesej tersebut tidak dianggap sebagai rundingan rasmi.
Laporan media turut menyatakan Iran mengemukakan cadangan baharu untuk membuka semula Selat Hormuz dan menamatkan perang, dengan rundingan nuklear ditangguhkan ke peringkat kemudian.
Selat Hormuz kekal sebagai titik utama dalam konflik, dengan kedua-dua pihak mengekalkan sekatan masing-masing.
Iran menutup laluan itu, menjejaskan aliran minyak, gas dan baja global, sekali gus menyebabkan harga melonjak dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan makanan di negara membangun.
Pada masa sama, Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tindak balas. Araghchi berkata perbincangan di Oman memberi tumpuan kepada usaha memastikan laluan selamat di Selat Hormuz.
“Ini adalah demi kepentingan semua negara jiran dan dunia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
“Negara jiran adalah keutamaan kami,” tambah beliau.
Walaupun terdapat usaha diplomatik, Pasukan Pengawal Revolusi Iran menegaskan bahawa mereka tidak bercadang menarik balik sekatan terhadap Selat Hormuz. “Mengawal Selat Hormuz dan mengekalkan kesan pencegahannya terhadap Amerika dan sekutunya adalah strategi utama Iran,” menurut kenyataan rasmi mereka.
Kenyataan itu menunjukkan bahawa ketegangan masih tinggi walaupun gencatan senjata setakat ini masih bertahan.
Di Amerika Syarikat, Trump berdepan tekanan domestik susulan kenaikan harga bahan api akibat penutupan Selat Hormuz.
Pilihan raya pertengahan penggal yang dijadualkan pada November turut meningkatkan tekanan politik terhadap pentadbirannya. Tinjauan menunjukkan perang yang berlarutan semakin tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika.
Dalam perkembangan berasingan, ketegangan turut meningkat di Lebanon apabila Israel dan kumpulan Hezbollah saling menuduh melanggar gencatan senjata rapuh. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata tenteranya sedang bertindak tegas terhadap Hezbollah. “Hezbollah sedang meruntuhkan gencatan senjata,” katanya.
Sebaliknya, Hezbollah menuduh Israel melanggar perjanjian dan berikrar akan bertindak balas.
Kementerian Kesihatan Lebanon melaporkan serangan Israel di selatan negara itu pada 26 April mengorbankan 14 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan puluhan yang lain. - Agensi berita
