CORON, Filipina – Mayat penumpang yang maut dalam kebakaran feri di perairan Filipina tiba di sebuah pelabuhan berhampiran bandar peranginan Coron, Palawan, pada pagi 12 September, sedang pengawal pantai negara itu memberi amaran bahawa angka korban seramai 35 orang dijangka meningkat.

Agensi AFP menyaksikan khemah didirikan bagi menerima 30 mayat yang dibawa keluar dari feri M/V June Aster, yang terkandas berhampiran destinasi pelancongan itu selepas kebakaran tercetus pada malam 9 September dan merebak ke seluruh kapal itu “dalam beberapa saat”.

Jurucakap pengawal pantai, Cik Noemie Cayabyab, berkata dalam sidang media pada 12 September bahawa mayat berkenaan akan diserahkan kepada penyiasat forensik polis untuk “pengurusan sewajarnya dan proses pengenalan” sebelum pihak berkuasa tempatan memaklumkan anggota keluarga.

“Buat masa ini, kami memberi tumpuan kepada usaha mengeluarkan mayat. Selepas itu, kami akan meneruskan siasatan,” katanya sambil mengesahkan bahawa mayat ditemui di kawasan penginapan kelas ekonomi kapal tersebut.

Penyiasat polis dilihat tiba di pelabuhan tidak lama selepas sidang media itu berakhir.

Ketika ditanya berhubung jumlah mayat yang masih berada di dalam kapal, Cik Cayabyab berkata pihak berkuasa akan memberikan perkembangan lanjut kemudian pada hari yang sama.

Beliau memberitahu AFP pada petang 11 September bahawa pemindahan pertama dihadkan kepada 30 mayat kerana kapasiti kapal peronda yang digunakan untuk membawa mayat berkenaan. Beberapa lagi mayat dipercayai masih berada di dalam feri.

Lima lagi mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas kebakaran berlaku.

Gambar yang dikeluarkan pengawal pantai menunjukkan deretan beg mayat dipindahkan ke sebuah kapal kecil, dengan beberapa anggota memakai sut perlindungan bahan berbahaya.

Setakat ini, 30 penumpang dan 13 anak kapal berjaya diselamatkan, manakala 54 orang lagi masih belum ditemui.

Pada 11 September, Cik Cayabyab memberitahu sebuah stesen radio bahawa kebakaran bermula di ruang kargo sebelum merebak ke seluruh kapal dalam tempoh beberapa saat.

“Sejak mereka terdengar bunyi letupan kuat, kemudian melihat asap dan selepas itu api, ia merebak dengan sangat pantas,” katanya, berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat.

“Segalanya berlaku dalam beberapa saat,” katanya sambil menambah bahawa mereka yang berjaya meninggalkan kapal itu tidak sempat pun memakai jaket keselamatan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti