SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Max Maeder kekal optimis jelang musim 2026

Max Maeder kekal optimis jelang musim 2026

Atlet luncur lelayang S’pura persiap diri bagi dua acara utama pada Mac-April, Mei
Mar 24, 2026 | 1:41 PM

Max Maeder kekal optimis jelang musim 2026

Max Maeder, kitefoiler
Tumpuan utama atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, pada 2026 ialah Kejohanan Dunia Formula Lelayang di Viana do Castelo, Portugal, pada Mei. - Foto ST

Menjelang musim 2026, atlet luncur lelayang Singapura, Maximilian Maeder, penuh optimis selepas mengharungi pramusim pertamanya di bawah bimbingan jurulatih Switzerland, Matthieu Girolet.

Satu perkembangan menggembirakan tercatat apabila peluncur berusia 19 tahun itu memenangi acara ujian Januari lalu bagi Kejohanan Pelayaran Dunia yang akan berlangsung di Fortaleza, Brazil, pada 2027.

Menjelang acara utama pertamanya pada 2026 – Trofeo Princesa Sofia pada 27 Mac hingga 4 April di Palma, Sepanyol – juara dunia dua kali itu berasa teruja dengan kemajuan yang telah beliau dan pasukannya capai sepanjang musim sejuk.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, atlet itu telah memperhalusi pelbagai aspek teknikal dengan Girolet, yang beliau mula berlatih dengannya pada pertengahan 2025.

Mengenai apa yang beliau usahakan, Maeder berkata: “Kami banyak menumpukan kepada ketepatan dan pemahaman dalam hal kelajuan – apa yang kami lakukan dengan tepat dan memastikan setiap proses difahami dengan jelas.

“Ini seperti sebab mengapa kami melakukan sesuatu, bagaimana melakukannya, supaya setiap langkah pergerakan boleh dilatih dengan lebih baik dan konsisten.

“Semakin jelas anda dengan cara pergerakan berfungsi dan bagaimana anda sepatutnya melaksanakan semuanya – bukan hanya bergerak dalam garis lurus – kerana bahagian penting dalam kelajuan sebenarnya adalah peralihan anda.

“Jadi apabila anda membelok atau menukar arah, memecut melalui peralihan itu juga sangat penting.

“Jadi kami juga menumpukan pada hal itu, semua pusingan dan pergerakan kami dalam aksi tersebut.”

Beliau juga terus mengasah pemikirannya supaya fokus pada prestasi dan bukannya keputusan, dengan kepercayaan bahawa prestasi yang baik akan menghasilkan keputusan yang baik.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu berkata: “Lucunya, jika anda fokus pada keputusan, keputusan anda akan menjadi lebih buruk. Jika anda fokus pada prestasi, keputusan anda akan menjadi lebih baik.”

Acara utama bagi Maeder pada 2026 adalah Kejohanan Dunia Formula Lelayang, yang akan berlangsung di Viana do Castelo, Portugal, pada Mei.

Pada 5 Oktober 2025, harapan Maeder untuk menggapai kejuaraan hatrik di Kejohanan Dunia Formula Lelayang berakhir dengan kekecewaan apabila beliau menamatkan saingan di tempat kedua pada hari terakhir pertandingan itu.

Di pantai Quartu Sant’Elena, Italy, Maeder terlepas pingat emas kepada juara tuan rumah, Riccardo Pianosi, manakala peluncur Perancis, Benoit Gomez, meraih gangsa.

Maeder berkata ia merupakan perlumbaan menakjubkan, namun beliau tetap kecewa dengan keputusan itu.

“Tetapi saya tidak rasa terlalu hampa kerana pencapaian kali ini benar-benar dimenangi dengan baik oleh beliau (Pianosi).

“Saya rasa saya ada peluang tetapi tidak memanfaatkannya… saat-saat seperti inilah yang memberi semangat untuk mencuba lagi, memperbaiki diri dan memastikan saya dapat hasil yang lebih baik pada perlumbaan seterusnya,” ujar Maeder.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg