Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mamdani ikrar lindungi golongan rentan sebaik angkat sumpah guna Al-Quran sebagai Mayor NY

Jan 2, 2026 | 10:28 AM
politik Amerika, Mamdani, angkat sumpah guna Al-Quran, Datuk Bandar New York
Senator, Encik Bernie Sanders (kiri), dari Vermont memimpin istiadat angkat sumpah Datuk Bandar, Encik Zohran Mamdani (kanan), semasa upacara perasmian simbolik di City Hall pada 1 Januari 2026, di New York. Bersama Encik Mamdani ialah isterinya, Cik Rama Duwaji. - Foto AFP

NEW YORK: Datuk Bandar New York City yang baru, Encik Zohran Mamdani, mencatat sejarah pada 1 Januari apabila mengangkat sumpah jawatan menggunakan dua naskhah Al-Quran, menjadikan beliau datuk bandar Muslim pertama bandar terbesar di Amerika Syarikat itu.

Upacara angkat sumpah yang berlangsung di hadapan City Hall itu menyaksikan Encik Mamdani, 34 tahun, meletakkan tangannya di atas dua Al-Quran yang masing-masing dimiliki oleh datuknya dan Encik Arturo Schomburg, tokoh penulis serta sejarawan kulit hitam yang berpengaruh.

Selepas itu, seorang imam mengetuai doa, sekali gus meletakkan identiti keagamaan Encik Mamdani di tengah-tengah perhatian awam sejak hari pertama pentadbirannya.

Walaupun Perlembagaan Amerika Syarikat tidak mewajibkan sumpah jawatan menggunakan kitab agama tertentu, kebanyakan pemimpin politik di negara itu lazimnya menggunakan kitab Injil Kristian.

Tindakan Encik Mamdani memilih Al-Quran dianggap simbolik oleh penyokongnya, tetapi turut mencetuskan kritikan keras dan serangan berbaur Islamofobia daripada kelompok konservatif.

Menurut laporan, The New York Times, Encik Mamdani sebelum ini pernah dinasihatkan supaya tidak menonjolkan identiti Muslimnya ketika bertanding bagi jawatan awam.

Namun, beliau menolak pandangan itu dan memilih untuk tampil secara terbuka dengan pegangan agamanya.

“Saya tidak akan menyembunyikan siapa diri saya untuk diterima,” kata Encik Mamdani dalam kenyataan sebelum ini.

Pemilihan beliau sebagai datuk bandar turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong kuat Israel, khususnya kerana pendirian tegasnya yang menyokong hak rakyat Palestin serta penentangan terhadap kewujudan Israel sebagai negara Yahudi.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, media sosial dibanjiri meme dan hantaran yang cuba mengaitkan Encik Mamdani dengan serangan 11 September 2001 hanya kerana persamaan agama.

Ahli Kongres Republikan, Cik Elise Stefanik, berulang kali dan tanpa bukti melabel Encik Mamdani sebagai penyokong jihad sementara aktivis sayap kanan, Cik Laura Loomer, yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Islamofobia tegar’, mendakwa New York akan diperintah mengikut undang-undang syariah.

Senator Republikan dari Alabama, Encik Tommy Tuberville, turut mencetuskan kontroversi apabila menulis di media sosial: “Musuh berada di dalam pintu pagar,” sebaik mengetahui Encik Mamdani mengangkat sumpah menggunakan Al-Quran.

Doa yang mengetuai upacara awam itu disampaikan oleh Imam Khalid Latif, Pengarah Eksekutif dan pengasas bersama Pusat Islam New York City, yang juga dilantik sebagai pendeta Polis New York sejak 2007.

Dalam doanya, Encik Latif menekankan peranan pemerintah sebagai pelindung rakyat biasa.

“Jangan biarkan beliau lupa bahawa jawatan ini wujud untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan untuk mengatasi mereka,” kata Encik Latif.

“Biarlah tiada sesiapa perlu memilih antara sewa rumah dengan maruah, antara ubat dengan makanan, antara terus tinggal atau sekadar bertahan hidup,” tambahnya.

“Dasar mesti dibentuk oleh belas ihsan, dan belanjawan mencerminkan nilai kita.”

Dalam ucapan sulungnya sebagai datuk bandar di hadapan ribuan hadirin yang berdepan cuaca sejuk, Encik Mamdani, berikrar melaksanakan agenda kemampuan kos sara hidup dan menolak pendekatan “menurunkan jangkaan” terhadap peranan pemerintah.

“Satu-satunya jangkaan yang mahu saya ubah ialah jangkaan yang terlalu kecil,” katanya.

“Mulai hari ini (1 Januari), kita akan mentadbir secara berani dan meluas.”

Beliau turut menegaskan akan mentadbir sebagai seorang sosialis demokratik, selari dengan mandat pengundi.

“Kepada mereka yang memandang pentadbiran ini dengan curiga atau rasa tidak senang, saya berjanji: Jika anda warga New York, saya ialah datuk bandar anda,” tambah beliau.

Upacara itu turut diserikan kehadiran tokoh progresif nasional, termasuk Ahli Kongres, Cik Alexandria Ocasio-Cortez, yang menyampaikan ucapan pembukaan, serta Senator Bernie Sanders, yang memimpin istiadat angkat sumpah jawatan.

“New York, terima kasih kerana memberi inspirasi kepada negara ini,” kata Encik Sanders.

“Terima kasih kerana memberi kami harapan bahawa pemerintah boleh berfungsi untuk semua, bukan hanya untuk golongan kaya dan berkuasa.”

Selesai majlis, Encik Mamdani bergerak ke Brooklyn untuk mengumumkan beberapa perintah eksekutif, termasuk pembatalan semua perintah yang dikeluarkan selepas 26 September 2024, tarikh pendakwaan bekas datuk bandar, Encik Eric Adams.

“Itulah tarikh ramai warga New York mula rasakan politik tidak lagi membawa makna untuk mereka,” katanya dalam sidang media.

Kemunculan Encik Mamdani mencerminkan perubahan generasi dan landskap politik New York yang semakin progresif.

Beliau ialah datuk bandar milenial pertama, datuk bandar Asia Selatan pertama, dan yang termuda dalam tempoh satu abad.

Namun, beliau juga berdepan cabaran besar, termasuk kekurangan pengalaman pentadbiran dan agenda bercita-cita tinggi yang dianggarkan menelan kos AS$7 bilion ($8.99 bilion) setahun.

“Saya tahu ada yang ragu-ragu kerana pengalamannya,” kata Encik Stephen Minter, pesara dari Bronx.

“Tetapi kita juga pernah bermasalah dengan pemimpin yang kononnya berpengalaman.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg