Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah tolak rayuan batalkan sabitan penembak masjid Christchurch
Mahkamah tolak rayuan batalkan sabitan penembak masjid Christchurch
Mahkamah tolak rayuan batalkan sabitan penembak masjid Christchurch
WELLINGTON: Brenton Tarrant, dalang serangan berdarah di dua masjid New Zealand pada 2019, gagal dalam usaha rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman atas kesalahan membunuh 51 orang, menurut dokumen mahkamah.
Lelaki berusia 35 tahun itu mengaku melakukan insiden tembakan rambang paling buruk dalam sejarah moden New Zealand sebelum dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Ogos 2020.
Mahkamah menyifatkan cubaan Tarrant untuk membatalkan pengakuan bersalahnya dalam serangan paling berdarah di negara itu sebagai “langsung tidak berasas”.
Tarrant, warga Australia, mengaku bersalah pada 26 Mac 2020 terhadap 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan melakukan serangan pengganas. Tuduhan itu berkait serangan pada 2019 di dua masjid di Christchurch.
Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol pada Ogos tahun yang sama.
Menurut mahkamah, Tarrant memfailkan rayuannya pada November 2022, iaitu lewat 505 hari bekerja daripada tempoh yang dibenarkan.
Peguamnya berhujah dalam pendengaran pada Februari bahawa pengakuan bersalah Tarrant tidak dibuat secara sukarela.
Mereka mendakwa keadaan penjara ketika itu menjejaskan keadaan mentalnya sehingga mempengaruhi keputusan tersebut.
Namun, panel tiga hakim menolak hujah itu.
Dalam kenyataan media yang diterbitkan bersama penghakiman, mahkamah berkata keterangan Tarrant tidak konsisten dan bercanggah dengan rekod penjara, penilaian kesihatan mental serta bukti daripada bekas peguam perbicaraannya.
Mantan peguam Tarrant, yang mewakilinya dari Mac 2019 hingga Julai 2020, memberitahu mahkamah pada Februari bahawa dia menunjukkan tanda keresahan ketika prosiding asal.
Namun, menurut laporan media ketika itu, Tarrant tidak kelihatan mengalami kemurungan.
Mahkamah Rayuan berkata Tarrant tidak mengalami ketidakupayaan mental ketika mengaku bersalah.
Mahkamah juga mendapati dia tidak dipaksa atau ditekan untuk membuat pengakuan tersebut.
Selepas pendengaran Februari, Tarrant cuba menarik balik rayuan terhadap sabitannya.
Namun, mahkamah tidak membenarkan permohonan itu atas alasan terdapat kepentingan awam yang besar dalam kes berkenaan.
Bersenjatakan pelbagai senjata api separa automatik, Tarrant menyerang jemaah di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac 2019.
Dia menerbitkan manifesto dalam talian sebelum serangan dan kemudian menyiarkan secara langsung pembunuhan itu selama 17 minit.
Semua mangsanya adalah Muslim, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Keputusan mahkamah itu menjadi lebih rumit seminggu selepas pendengaran rayuan pada Februari apabila Tarrant cuba menarik balik rayuannya sepenuhnya. – Agensi berita.
