Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah Indonesia tolak saman terhadap menteri, cetus kritikan kumpulan hak asasi
Mahkamah Indonesia tolak saman terhadap menteri, cetus kritikan kumpulan hak asasi
Mahkamah Indonesia tolak saman terhadap menteri, cetus kritikan kumpulan hak asasi
JAKARTA: Mahkamah Tata Usaha Negara (PTUN) Jakarta menolak saman terhadap Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, berhubung kenyataannya yang menafikan berlakunya rogol beramai-ramai semasa rusuhan 1998, sekali gus mencetuskan kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan keluarga mangsa.
Dalam keputusan pada 21 April, panel hakim wanita memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadili kes tersebut dan mengisytiharkan tuntutan plaintif sebagai tidak dapat diterima.
Mahkamah tidak memberikan penjelasan terperinci terhadap keputusan itu, namun menerima bantahan pihak menteri bahawa kes tersebut berada di luar bidang kuasa PTUN.
Tujuh plaintif termasuk Encik Marzuki Darusman serta aktivis hak asasi turut diarahkan membayar kos mahkamah sebanyak 233,000 rupiah (S$17.70).
Saman tersebut difailkan selepas Encik Fadli dalam satu wawancara pada 2025 mempersoalkan kewujudan rogol beramai-ramai ketika rusuhan 1998.
“Benarkah berlaku rogol beramai-ramai? Siapa yang mengatakan demikian? Tiada bukti,” katanya dalam wawancara itu.
Kenyataan itu mendorong gabungan masyarakat sivil mengambil tindakan undang-undang dengan alasan ia “memutarbelitkan fakta sejarah dan menghapuskan penderitaan mangsa”.
Amnesty International menyatakan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah. “Mangsa rogol Mei 1998 masih berjuang mendapatkan keadilan, namun negara membenarkan penafian pelanggaran hak asasi serius ini berterusan tanpa pertanggungjawaban,” menurut kenyataan kumpulan itu.
Dalam sidang media, plaintif termasuk ibu kepada mangsa, Cik Ita Fatia Nadia, menyifatkan keputusan mahkamah sebagai mengecewakan. “Apa yang dinafikan oleh Fadli Zon dan diketepikan oleh PTUN adalah fakta sejarah,” katanya.
“Penafian ini hanya mengukuhkan budaya impuniti dan membuka ruang kepada pelanggaran serupa berulang.”
Bertentangan dengan kenyataan menteri, pasukan pencari fakta yang ditubuhkan pemerintah selepas kejatuhan Suharto pada 1998 mendokumentasikan sekurang-kurangnya 85 kes keganasan seksual berkait rusuhan tersebut, kebanyakannya melibatkan wanita etnik Cina Indonesia.
Siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia pada 2003 turut menyimpulkan bahawa rusuhan itu merupakan jenayah terhadap kemanusiaan, walaupun pelaku masih belum dikenal pasti sehingga kini.
Seorang plaintif, Encik Arif Maulana dari Yayasan Bantuan Guaman Indonesia berkata keputusan itu menunjukkan kegagalan mahkamah dalam menjalankan fungsi pengawasan terhadap tindakan pemerintah. “Ini kegagalan mahkamah pentadbiran untuk menilai tindakan pegawai awam yang didakwa memutarbelitkan fakta sejarah,” katanya.
Peguam plaintif, Encik Daniel Winarta, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Tata Usaha Negara Jakarta. Menurutnya, kes itu sepatutnya dinilai berdasarkan merit dan bukan ditolak atas alasan prosedur.
Rusuhan 1998 tercetus akibat krisis ekonomi dan kemarahan terhadap rasuah, dengan serangan menyasarkan komuniti Cina Indonesia yang sering dilihat sebagai golongan ekonomi dominan.
Lebih 1,000 orang dilaporkan terbunuh, manakala ratusan premis dimusnahkan dalam keganasan tersebut.
Peristiwa itu turut mempercepatkan kejatuhan pemerintahan Suharto selepas lebih tiga dekad berkuasa.
Walaupun hampir tiga dekad berlalu, isu keadilan bagi mangsa rusuhan 1998 masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Bagi kumpulan hak asasi, keputusan mahkamah ini bukan sahaja menutup ruang undang-undang, tetapi juga berisiko mengukuhkan naratif penafian terhadap tragedi tersebut.
Seperti yang ditegaskan oleh Encik Marzuki, keputusan ini merupakan “bab yang sangat gelap” dalam usaha menuntut keadilan bagi mangsa dan mangsa yang terselamat. - Agensi berita
