Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Luka kekal bom atom Hiroshima: Kisah mangsa Korea yang terpinggir dan cacat seumur hidup

Aug 6, 2025 | 5:03 PM
Lee Jung-soon, 88 tahun, merupakan salah seorang daripada ramai mangsa terselamat bom nuklear yang kini menetap di Hapcheon, Korea Selatan.
Lee Jung-soon, 88 tahun, merupakan salah seorang daripada ramai mangsa terselamat bom nuklear yang kini menetap di Hapcheon, Korea Selatan. - Foto BBC

HAPCHEON, Korea Selatan: Pada jam 08:15 pagi, 6 Ogos 1945, ketika sebuah bom nuklear sedang jatuh seperti batu dari langit Hiroshima, Cik Lee Jung-soon dalam perjalanan ke sekolah rendah.

Kini pada usia 88 tahun, beliau melambaikan tangan seolah-olah mahu menolak memori itu.

“Ayah saya hampir berangkat ke tempat kerja, tetapi dia tiba-tiba berlari pulang dan menyuruh kami segera menyelamatkan diri,” kenangnya. “Mereka kata jalan dipenuhi mayat tapi saya terlalu terkejut, apa yang saya ingat saya menangis. Saya hanya menangis dan terus menangis.”

Mayat mangsa “melebur sehingga hanya mata mereka yang kelihatan,” kata Cik Lee, apabila letupan bersamaan 15,000 tan TNT menyelubungi bandar berpenduduk 420,000 orang itu. Yang tinggal hanyalah mayat-mayat yang terlalu hancur untuk dikenali.

“Bom atom... ia senjata yang amat mengerikan.”

Sudah 80 tahun sejak Amerika Syarikat melepaskan ‘Little Boy’, bom atom pertama manusia, di pusat Hiroshima, yang serta-merta membunuh sekitar 70,000 orang. Puluhan ribu lagi meninggal dunia dalam bulan-bulan berikutnya akibat penyakit radiasi, melecur dan dehidrasi.

Kemusnahan di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua serta kekuasaan Jepun di Asia telah didokumentasikan sepanjang lapan dekad. Namun, kurang diketahui bahawa kira-kira 20 peratus daripada mangsa segera adalah orang Korea.

Ketika bom dijatuhkan, Korea telah menjadi tanah jajahan Jepun selama 35 tahun. Dianggarkan 140,000 orang Korea tinggal di Hiroshima ketika itu ramai daripada mereka dipindahkan akibat buruh paksa atau terpaksa berhijrah untuk terus hidup di bawah tekanan dan eksploitasi penjajahan.

Mereka yang terselamat bersama keturunan mereka terus hidup dalam bayangan tragedi itu berdepan kecacatan, penderitaan dan perjuangan menuntut keadilan yang masih belum selesai.

“Tiada siapa yang mahu bertanggungjawab,” kata Encik Shim Jin-tae, 83 tahun, seorang mangsa terselamat. “Bukan negara yang menjatuhkan bom, bukan juga negara yang gagal melindungi kami. Amerika tidak pernah meminta maaf. Jepun berpura-pura tidak tahu. Korea pun sama. Mereka hanya saling menuding jari dan kami ditinggalkan sendirian.”

Encik Shim kini tinggal di Hapcheon, Korea Selatan: sebuah daerah kecil yang menjadi tempat tinggal puluhan mangsa terselamat, termasuk Cik Lee, hingga digelar “Hiroshima Korea”.

Bagi Cik Lee, trauma hari itu kekal terukir dalam tubuhnya sebagai penyakit. Beliau kini menghidap barah kulit, Parkinson dan angina - penyakit berkaitan aliran darah ke jantung. Lebih membebankan apabila anaknya, Encik Ho-chang, yang menjaganya, disahkan gagal ginjal dan kini menjalani dialisis sambil menunggu pemindahan.

“Saya percaya ini akibat radiasi, tapi siapa boleh buktikan?” kata Encik Ho-chang Lee. “Sukar untuk sahkan secara saintifik, ujian genetik itu mahal dan memenatkan.”

Kementerian Kesihatan dan Kebajikan (MOHW) memberitahu BBC bahawa mereka telah mengumpul data genetik antara 2020 dan 2024, dan akan meneruskan kajian sehingga 2029. Mereka akan “mempertimbangkan memperluas definisi mangsa” kepada generasi kedua dan ketiga hanya “jika hasilnya signifikan secara statistik”.

Daripada 140,000 orang Korea di Hiroshima, ramai berasal dari Hapcheon. Dikelilingi gunung dan kurang tanah subur, Hapcheon sukar untuk dihuni. Hasil tanaman dirampas penjajah Jepun, kemarau melanda, dan ribuan penduduk berhijrah ke Jepun. Ada yang dipaksa menjadi buruh; ada pula terpedaya dengan janji “boleh makan tiga kali sehari dan hantar anak ke sekolah.”

Di Jepun, orang Korea dianggap warga kelas dua diberi kerja paling berat, kotor dan berbahaya. Encik Shim berkata ayahnya bekerja di kilang senjata sebagai buruh paksa, manakala ibunya mengetuk paku ke peti peluru kayu.

Selepas letupan bom, orang Korea terpaksa melakukan kerja pembersihan mayat yang berisiko dan sering membawa maut. “Pekerja Korea terpaksa mengutip mayat,” kata Encik Shim, pengarah cawangan Hapcheon Persatuan Mangsa Bom Atom Korea. “Mula-mula mereka guna pengusung, tapi terlalu banyak mayat. Akhirnya guna penyodok dan membakar mereka di padang sekolah.”

Menurut kajian Yayasan Kebajikan Gyeonggi, sesetengah mangsa terselamat dipaksa membersihkan runtuhan. Sementara warga Jepun berpindah ke rumah saudara, orang Korea yang tiada kenalan terdedah kepada radiasi dan kurang mendapat rawatan.

Gabungan faktor ini layanan buruk, kerja berbahaya dan diskriminasi menyumbang kepada kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan orang Korea. Persatuan Mangsa Bom Atom Korea menganggarkan kadar kematian mereka adalah 57.1 peratus berbanding kadar keseluruhan 33.7 peratus. Sekitar 70,000 orang Korea terdedah pada bom, dan menjelang akhir tahun, 40,000 daripadanya meninggal dunia.

Selepas bom yang membawa kepada penyerahan Jepun dan pembebasan Korea, kira-kira 23,000 mangsa Korea pulang ke tanah air. Namun mereka tidak disambut baik. Mereka dicop cacat atau terkutuk, malah menghadapi prejudis di tanah sendiri.

“Hapcheon sudah ada koloni kusta,” jelas Encik Shim. “Disebabkan imej itu, orang sangka mangsa bom atom ada penyakit kulit.” Cik Lee berkata beliau menyaksikan sendiri diskriminasi teruk.

“Orang yang melecur teruk atau terlalu miskin dilayan buruk,” katanya. “Ada yang wajah dan belakangnya penuh parut hingga hanya mata kelihatan. Mereka ditolak dari perkahwinan dan dipulaukan.”

Bersama stigma datanglah kemiskinan, diikuti penyakit yang tiada punca yang jelas – penyakit kulit, masalah jantung, kegagalan buah pinggang, dan kanser.

Fokus kini beralih kepada generasi kedua dan ketiga. Encik Han Jeong-sun, seorang generasi kedua, menderita nekrosis avaskular di pinggul dan tidak boleh berjalan tanpa menyeret kaki. Anak pertamanya lahir dengan cerebral palsy. “Anak saya tak pernah berjalan walau sekali,” katanya. “Keluarga mertua hina saya. Mereka kata, ‘Kau lahirkan anak cacat dan kau sendiri cacat, kau mahu rosakkan keluarga kami?’ Masa itu neraka.”

Selama beberapa dekad, pemerintah Korea tidak mengutamakan nasib mangsa kerana perang dengan Korea Utara dan masalah ekonomi. Hanya pada 2019, lebih 70 tahun selepas pengeboman MOHW mengeluarkan laporan pertama, kebanyakannya berdasarkan soal selidik.

Menjawab pertanyaan BBC, kementerian itu menjelaskan sebelum 2019 “tiada asas undang-undang untuk pembiayaan atau siasatan rasmi.” Dua kajian sebelum ini mendapati generasi kedua lebih terdedah kepada penyakit.

Kajian 2005 menunjukkan mereka lebih cenderung menghidap kemurungan, penyakit jantung dan anemia, manakala kajian 2013 mendapati kadar pendaftaran kecacatan hampir dua kali ganda berbanding purata nasional.

“Penyakit saya adalah buktinya. Kecacatan anak saya adalah buktinya. Kesakitan ini diwarisi turun-temurun,” kata Encik Han. “Tapi mereka enggan mengiktirafnya. Jadi apa kami patut buat – mati tanpa diakui?”

Bulan lalu, pada 12 Julai, pegawai Hiroshima buat pertama kali melawat Hapcheon untuk meletakkan bunga di tugu peringatan. Walaupun bekas Perdana Menteri Encik Yukio Hatoyama dan tokoh swasta pernah datang, ini adalah kunjungan rasmi pertama pegawai Jepun semasa bertugas.

“Sekarang tahun 2025 Jepun bercakap tentang damai. Tapi damai tanpa permohonan maaf tidak bermakna,” kata Encik Junko Ichiba, aktivis keamanan Jepun yang lama memperjuangkan mangsa Korea.

Beliau menegaskan pegawai Jepun tidak menyebut atau meminta maaf atas layanan terhadap orang Korea semasa Perang Dunia Kedua. Walaupun beberapa bekas pemimpin Jepun pernah menyatakan kekesalan, ramai rakyat Korea Selatan menganggap ia tidak ikhlas tanpa pengakuan rasmi.

Encik Ichiba berkata buku teks Jepun masih mengabaikan sejarah penjajahan Korea dan mangsa bom atom, “dan penghapusan dari pandangan ini hanya menambah dalamnya ketidakadilan.”

Encik Heo Jeong-gu, pengarah bahagian sokongan Palang Merah, berkata: “Isu ini mesti diselesaikan selagi mangsa masih hidup. Untuk generasi kedua dan ketiga, kita perlu kumpulkan bukti sebelum terlambat.”

Bagi Shim, ia bukan sekadar pampasan tetapi pengiktirafan. “Memori lebih penting daripada pampasan,” katanya. “Tubuh kami mengingati apa yang kami lalui... Jika kita lupa, ia akan berulang. Dan suatu hari, tiada siapa akan tinggal untuk menceritakan kisah ini.” - BBC

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg