Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima maut dalam serangan masjid San Diego, polis siasat unsur jenayah kebencian
Lima maut dalam serangan masjid San Diego, polis siasat unsur jenayah kebencian
Lima maut dalam serangan masjid San Diego, polis siasat unsur jenayah kebencian
SAN DIEGO: Dua remaja bersenjata melepaskan tembakan di sebuah masjid di California pada 18 Mei lalu, mengorbankan seorang pengawal keselamatan dan dua lelaki lain sebelum kedua-dua suspek ditemui mati dipercayai akibat tembakan sendiri, kata polis.
Pihak berkuasa berkata serangan di Pusat Islam San Diego itu sedang disiasat sebagai kemungkinan jenayah kebencian terhadap umat Islam.
Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata polis tempatan bersama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat motif serangan tersebut. “Kami sedang aktif menyiasat kes ini sebagai jenayah kebencian,” katanya kepada wartawan. “Memang terdapat retorik kebencian dalam kejadian ini.”
Menurut beliau, pasukan kecemasan menemui tiga mangsa lelaki mati ditembak di luar kompleks masjid terbesar di daerah San Diego itu sebelum polis menemui dua suspek di dalam sebuah kenderaan beberapa blok dari lokasi kejadian.
“Kedua-dua suspek dipercayai mati akibat tembakan sendiri. Tiada anggota polis melepaskan tembakan dalam kejadian ini,” katanya.
Polis kemudian mengesahkan kedua-dua suspek masing-masing berusia 17 dan 18 tahun.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan pasukan bersenjata lengkap mengepung kawasan masjid, manakala seorang individu dilihat terbaring berlumuran darah di luar bangunan.
Encik Wahl berkata seorang pengawal keselamatan masjid yang terbunuh dipercayai memainkan peranan penting dalam menghalang lebih ramai mangsa terkorban.
“Tindakannya sangat berani dan beliau tanpa ragu-ragu telah menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.
Identiti dua lagi mangsa yang maut belum diumumkan pihak berkuasa.
Menurut Encik Wahl, ibu kepada salah seorang suspek telah menghubungi polis kira-kira dua jam sebelum serangan berlaku. Wanita itu memberitahu anaknya melarikan diri dari rumah bersama tiga laras senjata api dan sebuah kenderaan miliknya.
Beliau juga mendakwa anaknya mempunyai kecenderungan membunuh diri. “Ibu suspek memaklumkan bahawa anaknya bersama seorang lagi remaja dan kedua-duanya memakai pakaian celoreng tentera,” kata Wahl.
Susulan laporan itu, polis segera mengesan kedua-dua remaja terbabit dan menghantar anggota ke sebuah pusat beli-belah serta sekolah menengah yang dikaitkan dengan salah seorang suspek sebagai langkah berjaga-jaga.
Namun sekitar jam 11.40 pagi, polis menerima laporan mengenai penembak aktif di pusat Islam tersebut.
Encik Wahl berkata lebih 50 hingga 100 anggota polis dari seluruh San Diego tiba di lokasi dalam tempoh empat minit selepas panggilan kecemasan diterima.
Ketika polis sedang bertindak balas terhadap serangan itu, satu lagi insiden tembakan dilaporkan berlaku terhadap seorang pekerja landskap beberapa blok dari masjid.
Mangsa bagaimanapun tidak cedera dan polis percaya topi keselamatan yang dipakainya mungkin menyelamatkannya daripada terkena peluru.
Penyiasat kini menganggap kedua-dua insiden itu saling berkait.
Imam dan pengarah pusat Islam tersebut, Encik Taha Hassane berkata semua guru, kakitangan dan kanak-kanak di sekolah Islam dalam kompleks masjid itu selamat. “Kami tidak pernah mengalami tragedi seperti ini sebelum ini,” katanya. “Amat melampau untuk menjadikan rumah ibadat sebagai sasaran.”
Beliau berkata komuniti Islam San Diego kini berada dalam keadaan sedih dan terkejut dengan tragedi itu.
“Pada saat ini kami hanya mampu mengirimkan doa dan berdiri bersama keluarga mangsa serta komuniti kami,” katanya.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan kejadian itu sebagai “situasi yang dahsyat”.
“Saya telah menerima beberapa laporan awal dan kami akan melihat perkara ini dengan sangat serius,” katanya kepada wartawan.
Gabenor California, Encik Gavin Newsom turut mengecam serangan tersebut. “Penganut agama di mana-mana tidak sepatutnya takut terhadap keselamatan nyawa mereka ketika beribadat,” katanya menerusi platform X.
“Kebencian tidak mempunyai tempat di California dan kami tidak akan bertolak ansur terhadap keganasan atau ugutan terhadap komuniti agama.” Beliau turut menyatakan sokongan kepada komuniti Islam di San Diego.
Polis berkata tiada ancaman khusus terhadap masjid itu dikesan sebelum serangan berlaku, namun penyiasat menemui unsur “ucapan kebencian umum” dalam siasatan awal mereka.
Penyiasat juga sedang meneliti rakaman kamera keselamatan serta bahan bukti lain bagi memahami bagaimana serangan itu dirancang.
Serangan tersebut berlaku ketika kebimbangan terhadap Islamofobia semakin meningkat di Amerika Syarikat susulan konflik Asia Barat yang semakin memuncak sejak serangan udara AS dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu.
Pusat Islam San Diego yang terletak di daerah Clairemont bukan sahaja berfungsi sebagai masjid, malah menempatkan sekolah Bright Horizon Academy yang menyediakan pendidikan Islam kepada kanak-kanak Muslim di kawasan itu. - Agensi berita
