SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Letupan mercun cemari sambutan Aidilfitri di Jawa, satu maut, puluhan cedera

Letupan mercun cemari sambutan Aidilfitri di Jawa, satu maut, puluhan cedera

Mar 24, 2026 | 1:30 PM

Letupan mercun cemari sambutan Aidilfitri di Jawa, satu maut, puluhan cedera

Indonesia, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kampung Tambirejo, Toroh, Grobogan, letupan mercun, Aidilfitri
Pegawai polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian pada 15 Februari di sebuah rumah di Kampung Tambirejo, daerah Toroh, wilayah Grobogan, Jawa Tengah, susulan satu letupan kira-kira pukul 12.30 tengah hari yang mencederakan individu yang dipercayai terlibat dalam pembuatan mercun secara haram. - Foto POLIS JAWA TENGAH

JAKARTA: Sambutan Aidilfitri di beberapa wilayah di Jawa Tengah dan Jawa Timur dicemari beberapa kejadian letupan mercun yang mengorbankan seorang kanak-kanak serta mencederakan puluhan yang lain, kebanyakannya akibat pembuatan dan penggunaan bahan letupan secara haram.

Di daerah Pekalongan, Jawa Tengah, sebuah rumah runtuh selepas letupan berlaku ketika sekumpulan remaja menghasilkan mercun secara haram di sebuah rumah terbiar di Kampung Noyontaansari, pada 21 Mac.

Sembilan individu cedera dalam kejadian tersebut.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pekalongan, Penolong Pesuruhjaya Polis, Encik Setiyanto, berkata kejadian berlaku ketika remaja terbabit sedang memasang mercun menggunakan peralatan seperti tukul dan pemutar skru.

“Kami sedang menyiasat punca letupan. Lokasi kejadian telah diperiksa, saksi telah disoal dan siasatan dijalankan bersama Polis Jawa Tengah,” katanya, lapor agensi berita, Antara.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu membeli kira-kira 1.5 kilogram serbuk mercun melalui wadah e-dagang.

Mangsa dihantar ke beberapa hospital, dengan tiga daripadanya mengalami kelecuran serius melibatkan 20 hingga 50 peratus anggota badan.

Jari seorang mangsa terpaksa dipotong akibat cedera parah.

Di Blitar, Jawa Timur, seorang lelaki berusia 20 tahun cedera parah selepas mercun yang dinyalakannya meletup di tangan, sehingga menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius pada tangan kanan.

Kejadian lebih tragik berlaku di Semarang, Jawa Tengah, apabila seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut, manakala dua lagi cedera selepas bahan mercun yang disimpan di dalam rumah meletup pada awal pagi 20 Mac.

Polis memaklumkan bahan tersebut dibeli secara dalam talian oleh cucu pemilik rumah untuk sambutan malam Aidilfitri.

Campuran bahan dipercayai tidak stabil dan mungkin menyala akibat haba daripada periuk nasi yang diletak berhampiran.

Letupan dianggar melibatkan satu hingga dua kilogram serbuk mercun, menghasilkan kawah sedalam kira-kira 30 sentimeter serta merosakkan sebahagian besar bumbung rumah.

Ketua Polis Semarang, Brigadier Jeneral M Syahduddi, berkata pihaknya telah merampas bahan bukti termasuk serbuk mercun dan bunga api.

“Kami masih menelusuri sumber bahan letupan yang dibeli secara dalam talian dan akan terus membanteras penjualan bahan mercun,” katanya.

Di Kediri, Jawa Timur, tiga individu cedera parah dan memerlukan rawatan rapi selepas letupan berlaku ketika pembuatan mercun secara haram di Kampung Krecek.

Dalam kejadian berasingan di Jombang, dua remaja berusia 15 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dimasukkan ke hospital selepas mercun yang mereka pasang meletup.

Letupan dipercayai berlaku apabila salah seorang menyalakan mancis berhampiran bahan tersebut.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu mengalami kecederaan serius sehingga jarinya perlu dikudungkan, manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan pada mata, kepala dan dada.

Di Purworejo, Jawa Tengah, lima individu cedera apabila mercun yang dipasang secara haram meletup di sebuah rumah di Kampung Tasik Madu.

Letupan menyebabkan kerosakan teruk pada rumah, termasuk bumbung tercabut dan tingkap pecah.

Sementara itu, di Pamekasan, Jawa Timur, sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dalam beberapa kejadian letupan sepanjang minggu menjelang Aidilfitri.

Kejadian paling serius berlaku pada 16 Mac apabila letupan memusnahkan sebuah rumah dan mencederakan lima penduduk.

Polis telah menahan seorang suspek dan sedang memburu 11 lagi individu yang dipercayai terlibat dalam pembuatan mercun secara haram.

Di bawah Artikel 306 Kanun Jenayah Indonesia, sesiapa yang terlibat dalam pembuatan, penyimpanan atau pengedaran bahan letupan secara haram boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg