Lelaki dipenjara 10 tahun cuba bunuh bekas PM Jepun dengan bom paip
Lelaki dipenjara 10 tahun cuba bunuh bekas PM Jepun dengan bom paip
TOKYO: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara pada 19 Februrari selepas disabitkan bersalah atas cubaan membunuh bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, menggunakan bom paip pada tahun 2023, lapor media tempatan.
Serangan itu berlaku ketika Encik Kishida menghadiri acara kempen pilihan raya di Wakayama, di mana suspek berusia 25 tahun, Ryuji Kimura, telah ditahan di tempat kejadian.
Walaupun Encik Kishida tidak mengalami sebarang kecederaan, insiden tersebut menimbulkan kebimbangan kerana berlaku kurang setahun selepas pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe pada Julai 2022.
Mahkamah Daerah Wakayama menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara ke atas Kimura atas kesalahan cubaan membunuh, menurut laporan Jiji Press dan penyiar nasional NHK.
Hakim menyatakan bahawa “tertuduh melancarkan serangan di lokasi ucapan pilihan raya, yang merupakan asas kepada demokrasi,” menurut laporan Asahi Shimbun.
Pendakwa raya menuntut hukuman 15 tahun penjara, sementara pasukan pembelaan berhujah bahawa Kimura tidak berniat membunuh Kishida dan hanya mahu menarik perhatian awam, justeru meminta hukuman lebih ringan selama tiga tahun, lapor Jiji.
Siasatan polis di rumah Kimura menemui serbuk letupan, objek berbentuk paip, dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan bahan letupan.
Ketika perbicaraan, peguam Kimura mendakwa motifnya hanyalah untuk mendapatkan perhatian awam dan bukan untuk membunuh, oleh itu dia seharusnya hanya didakwa kerana menyebabkan kecederaan, bukannya cubaan membunuh, menurut NHK.
Namun, pendakwa raya menolak hujah tersebut, menyatakan bahawa kejadian itu adalah “tindakan keganasan yang disengajakan” dan menegaskan bahawa Kimura mengetahui bahan letupannya berbahaya.
Laporan sebelum ini juga menyebut bahawa Kimura pernah mencabar undang-undang Jepun berkaitan kelayakan calon pilihan raya, yang menetapkan bahawa calon bagi dewan tinggi mesti berumur 30 tahun ke atas, manakala calon dewan rendah sekurang-kurangnya 25 tahun.
“Serangan ini bukan sekadar tindakan protes, tetapi ancaman langsung kepada kestabilan demokrasi Jepun,” kata seorang pakar keselamatan kepada AFP.

