DUBAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai berkata ia memerlukan satu tahun lagi untuk mencapai sasaran penumpang yang signifikan kerana perang Iran telah menyekat permintaan di hab penerbangan antarabangsa terbesar di dunia.

“Kami menyasarkan untuk mencapai rekod 100 juta penumpang pada 2026, tetapi saya rasa sasaran itu mungkin perlu ditangguhkan ke 2027.

“Kami masih yakin sasaran itu akan tercapai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Airports, Encik Paul Griffiths, dalam satu temu bual. 

Lapangan terbang itu melaporkan penurunan 66 peratus dalam bilangan penumpang pada Mac apabila perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran mengganggu lalu lintas udara di seluruh Timur Tengah.

Akibatnya, jumlah penumpang pada suku pertama 2026 jatuh kepada 2.5 juta, iaitu penurunan 21 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025, menurut kenyataan lapangan terbang itu pada 4 Mei. 

India terus menjadi pasaran terbesar lapangan terbang itu, dengan 2.5 juta penumpang, diikuti oleh Arab Saudi, Britain dan Pakistan.

London kekal sebagai bandar destinasi tersibuk hab itu, dengan 752,000 pelancong, diikuti Mumbai dan Jeddah.

Syarikat itu tidak menyatakan ramalan untuk 2026, tetapi Encik Griffiths berkata beliau menjangkakan prestasinya kekal positif dan “menjangkakan pemulihan yang sangat kukuh dalam beberapa bulan akan datang didorong oleh lalu lintas transit musim panas”.

Pihaknya sedang berusaha untuk meningkatkan operasi selepas Amiriah Arab Bersatu (UAE) menarik balik sekatan perjalanan. 

Namun, hanya 51 daripada 90 syarikat penerbangan telah menyambung semula operasi mereka ke lapangan terbang itu, dengan kebanyakan yang masih belum beroperasi adalah dari Eropah Barat dan Amerika.

Ini kerana mereka masih menghadapi kesukaran mendapatkan perlindungan insurans akibat nasihat perjalanan pemerintah, menurut Encik Griffiths.

Sejak perang bermula pada akhir Februari, lapangan terbang utama Dubai terpaksa ditutup beberapa kali akibat insiden dron di sekitarnya.

Lapangan terbang lain di seluruh rantau tersebut turut terjejas semasa perang.

Lapangan Terbang Abu Dhabi berkata seorang mati dan beberapa orang cedera pada hari-hari awal konflik selepas UAE memintas dron Iran.

Lapangan terbang di Kuwait dan Bahrain turut menjadi sasaran

Syarikat Emirates dan flydubai, yang menyumbang sebahagian besar lalu lintas di Dubai, masih belum dapat memulihkan kapasiti penuh. 

Syarikat penerbangan utama Dubai terpaksa membatalkan beribu penerbangan dalam tempoh dua bulan yang lalu, menyusun semula rangkaian antarabangsanya dan menerbangkan pesawat yang hampir kosong ke habnya di UAE apabila pelancong mengelak Teluk Parsi.

“Rancangan jangka panjang tidak terjejas dan saya rasa ini hanyalah gangguan jangka pendek yang akan pulih dengan cepat,” kata Encik Griffiths. – Agensi berita.

“Kami menyasarkan untuk mencapai rekod 100 juta penumpang pada 2026, tetapi saya rasa sasaran itu mungkin perlu ditangguhkan ke 2027. Kami masih yakin sasaran itu akan tercapai.”
Encik Paul Griffiths, Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Airports.