RIYADH: Turkey dan Arab Saudi menandatangani perjanjian penting pada 9 Jun bagi membina laluan kereta api baru yang menghubungkan kedua-dua negara melalui Syria dan Jordan, dalam usaha mewujudkan rangkaian perdagangan darat yang mampu mengurangkan pergantungan kepada Selat Hormuz.

Projek strategik itu dilihat semakin penting ketika laluan perkapalan utama dunia di Selat Hormuz terus terganggu akibat konflik antara Iran dan Amerika Syarikat.

Menteri Pengangkutan Turkey, Encik Abdulkadir Uraloglu, berkata laluan rel itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan berpotensi disambung hingga ke Oman serta Eropah pada masa depan.

Beliau berkata projek itu akan bermula di Arab Saudi sebelum melalui Jordan dan Syria untuk tiba di Turkey.

“Arab Saudi sudah melanjutkan jaringan relnya hingga ke sempadan Jordan, manakala Turkey sudah membina laluan hingga ke Syria.

“Satu-satunya bahagian yang masih belum lengkap ialah di Syria dan Jordan. Itulah yang sedang kami usahakan sekarang,” katanya dalam wawancara dengan Al Arabiya di Riyadh.

Menurut beliau, Iraq juga berpotensi menyertai projek berkenaan pada masa depan.

Perjanjian yang dimeterai di Riyadh itu melibatkan dua memorandum persefahaman berkaitan sambungan kereta api dan perkhidmatan logistik antara kedua-dua negara.

Ia dilihat sebagai usaha menghidupkan semula laluan Kereta Api Hejaz yang pernah menghubungkan Madinah dengan Istanbul pada awal abad ke-20 ketika era Uthmaniyah.

Laluan bersejarah itu sebelum ini turut mempunyai cabang ke Lebanon dan Haifa di Palestin ketika pemerintahan Uthmaniyah.

Projek baru itu turut dilihat mempunyai dimensi geopolitik yang besar apabila Ankara secara terbuka menyatakan ia dapat mengurangkan pengaruh Israel di rantau berkenaan.

Menteri Perdagangan Turkey, Encik Omer Bolat, berkata kerjasama ekonomi dan politik baru antara negara Islam di rantau itu akan membawa kestabilan lebih besar.

“Pengurangan pengaruh Israel di rantau ini, bersama peningkatan solidariti politik dan ekonomi antara kita, akan membawa kemakmuran ekonomi, keamanan dan kestabilan kepada Timur Tengah, Teluk dan sempadan selatan Turkey,” katanya.

Pemerhati serantau turut melihat projek tersebut sebagai tamparan kepada rancangan perdagangan Israel yang mahu menghubungkan Asia dengan Eropah melalui negara itu.

Sebelum ini, Amerika dan Israel menyokong Koridor Ekonomi India-Timur Tengah-Eropah (IMEC) yang diumumkan pada 2023.

Bagaimanapun, projek itu banyak bergantung kepada kejayaan usaha pemulihan hubungan antara Israel dan Arab Saudi yang sehingga kini masih gagal dicapai.

Arab Saudi sebelum ini menegaskan sebarang hubungan rasmi dengan Israel hanya boleh berlaku jika terdapat kemajuan tidak boleh dipatah balik ke arah penubuhan negara Palestin.

Namun pemerintah pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak syarat tersebut.

Bekas diplomat Amerika, Encik Hady Amr, berkata projek rel baharu Turkey-Arab Saudi itu secara jelas memintas Israel dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Di media sosial, penyokong Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, menyifatkan projek itu sebagai “tamparan maut” kepada salah satu projek ekonomi paling strategik Israel.

Konflik semasa di Timur Tengah turut mempercepatkan keperluan kepada laluan perdagangan alternatif.

Penutupan Selat Hormuz dan gangguan terhadap laluan Laut Merah akibat serangan kumpulan Houthi di Yaman menyebabkan banyak negara mula mencari pilihan pengangkutan darat yang lebih stabil.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengangkutan Arab Saudi, Encik Saleh al-Jasser, berkata kajian kebolehlaksanaan projek itu dijangka siap sebelum penghujung tahun 2026 ini.

Beliau berkata projek tersebut mampu mengubah rantau Timur Tengah daripada sekadar laluan transit kepada pemain utama perdagangan global.

“Laluan ini boleh membentuk semula aliran perdagangan antara benua,” katanya.

Selain memperkukuh hubungan perdagangan, projek itu juga bertujuan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, mempercepat pergerakan penumpang dan mengembangkan sektor logistik serantau.

Laluan itu dijangka disepadukan dengan projek mega NEOM di Arab Saudi yang turut merancang koridor perdagangan menghubungkan Eropah, Teluk dan Iraq melalui Turkey.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua negara, kerjasama itu turut melibatkan perkongsian teknologi kereta api, piawaian keselamatan, pembangunan prasarana serta inovasi dalam sektor pengangkutan.

Ia juga merangkumi pertukaran kepakaran dalam reka bentuk, operasi dan penyelenggaraan sistem rel moden selain usaha mengurangkan kesan alam sekitar sektor pengangkutan.

Projek berkenaan sejajar dengan Strategi Pengangkutan dan Logistik Nasional Arab Saudi serta Wawasan 2030 yang bertujuan menjadikan negara itu hab logistik global yang menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika.

Pakar ekonomi melihat projek itu bukan sekadar inisiatif pengangkutan, tetapi sebahagian daripada persaingan geopolitik baharu di Timur Tengah ketika negara serantau berusaha membentuk semula laluan perdagangan dunia di tengah ketegangan konflik yang berpanjangan. - Agensi berita