Topik diikuti
Pergi ke BHkuKorban gempa Jepun cecah 30, penyelamat cari mangsa di runtuhan pusat beli-belah
Korban gempa Jepun cecah 30, penyelamat cari mangsa di runtuhan pusat beli-belah
Penduduk berdepan kekurangan air di tengah gelombang cuaca panas
Korban gempa Jepun cecah 30, penyelamat cari mangsa di runtuhan pusat beli-belah
KUMAMOTO (Jepun): Sekurang-kurangnya 30 orang disahkan maut manakala enam lagi berada dalam keadaan kritikal selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda wilayah Kumamoto di barat daya Jepun, ketika ratusan anggota penyelamat masih giat mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan sebuah pusat beli-belah yang musnah akibat letupan gas.
Pihak berkuasa berkata jumlah korban dijangka terus meningkat apabila operasi mencari dan menyelamat memasuki hari ketiga, dengan beberapa mangsa masih belum dapat dikeluarkan daripada timbunan konkrit dan besi di pusat beli-belah Aeon di Kashima.
Menurut Pejabat Pengurusan Bencana Kumamoto, sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh setakat ini, kebanyakannya di pusat beli-belah Aeon dan kilang kertas Nippon Paper Industries di bandar Yatsushiro.
Enam lagi mangsa berada dalam keadaan jantung dan paru-paru terhenti manakala beberapa lagi cedera parah.
Seorang pegawai pengurusan bencana berkata pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 10 mangsa dari pusat beli-belah itu.
“Empat daripada mereka disahkan meninggal dunia, seorang lagi tidak menunjukkan tanda-tanda hayat, manakala lima lagi mengalami kecederaan daripada ringan hingga serius,” katanya.
Pusat beli-belah berkenaan dikosongkan sejurus selepas gempa berlaku, namun kira-kira 50 minit kemudian satu letupan besar yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memusnahkan bangunan itu ketika beberapa pekerja masih berada di dalamnya.
Rakaman dari lokasi menunjukkan anggota penyelamat meredah timbunan besi berpintal, kabel elektrik yang bergantungan dan bongkah konkrit untuk mencari mangsa yang masih hidup.
Di bandar Yatsushiro pula, sekurang-kurangnya lima pekerja maut apabila sebahagian corong asap kilang Nippon Paper Industries runtuh akibat gegaran kuat.
Beberapa lagi pekerja masih dilaporkan hilang.
Gempa bumi yang melanda Pulau Kyushu pada petang 28 Julai turut meratakan rumah, merosakkan jambatan, mencetuskan kebakaran dan memutuskan bekalan elektrik serta air kepada puluhan ribu penduduk.
Setakat pagi ini, lebih 22,600 kediaman dan premis masih terputus bekalan elektrik, manakala kira-kira 84,000 isi rumah masih belum menerima bekalan air bersih.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan penduduk beratur panjang untuk mendapatkan air minuman, petrol dan bekalan keperluan asas.
Keadaan diburukkan lagi dengan siri gempa susulan yang terus menggegarkan kawasan itu sejak dua hari lalu.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran strok haba apabila suhu dijangka mencecah hampir 40 darjah Celsius menjelang hujung minggu.
Pegawai bandar Yatsushiro, Akio Matsushita, berkata cabaran terbesar ketika ini bukan sahaja operasi mencari mangsa, malah memulihkan bekalan air yang rosak teruk.
“Cuaca musim panas menyebabkan ketiadaan bekalan air menjadi lebih sukar untuk penduduk.
“Kerja membaiki saluran paip memerlukan penelitian yang tinggi dan kami masih belum dapat menganggarkan tempoh yang diperlukan,” katanya.
Susulan kerosakan sistem kumbahan, tandas kecemasan dipasang di atas saluran pembetung di beberapa pusat pemindahan.
Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) pula menghantar lori tangki air ke sekolah dan pusat masyarakat serta mengehadkan agihan air kepada tiga liter bagi setiap penduduk.
Selain itu, kira-kira 300 unit penyaman udara sedang dipasang di pusat pemindahan bagi mengurangkan risiko strok haba dalam kalangan mangsa.
Seorang penduduk, Encik Masahiro Miyamoto, berkata beliau pulang ke rumah selepas gempa dan mendapati kediamannya masih utuh, namun rumah jirannya ranap sepenuhnya.
Tanpa bekalan air paip, beliau kini bergantung kepada lori tangki air tentera.
“Kedai yang masih dibuka dipenuhi orang ramai dan stesen minyak sesak dengan kenderaan.
“Sudah tentu lebih baik jika bencana seperti ini tidak berlaku. Tetapi ini Jepun, jadi mungkin kami perlu belajar hidup dengannya,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Encik Fumihiko Matsuura, berkata beliau baru menonton filem di pusat beli-belah Aeon kira-kira seminggu sebelum tragedi itu.
“Saya baru berada di sini. Rasanya seperti saya terselamat daripada bahaya,” katanya.
Gempa kali ini turut memberi kesan kepada sektor perindustrian Jepun.
Beberapa syarikat utama termasuk Toyota, Honda, Nissan, Aisin dan Sony menghentikan sementara sebahagian operasi pengeluaran bagi memeriksa kerosakan kemudahan.
Syarikat Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) turut memindahkan pekerja dan menggantung sementara operasi di kilangnya sebagai langkah berjaga-jaga.
Wilayah Kumamoto dan kawasan lain di Kyushu merupakan antara hab utama pengeluaran semikonduktor dan industri automotif Jepun.
Jepun terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu kawasan yang menjadi pertemuan empat plat tektonik utama dunia dan menyumbang hampir 18 peratus daripada kejadian gempa bumi global.
Walaupun negara itu mempunyai antara piawaian pembinaan bangunan paling ketat di dunia serta menjalankan latihan bencana secara berkala gempa bumi kuat masih mampu menyebabkan kemusnahan besar.
Kumamoto sendiri pernah dilanda dua gempa bumi besar pada 2016 yang mengorbankan lebih 270 orang dan mencederakan lebih 2,800 mangsa.
Tragedi terburuk Jepun dalam sejarah moden pula berlaku pada 2011 apabila gempa bumi berukuran 9.0 magnitud mencetuskan tsunami yang meragut kira-kira 18,500 nyawa serta mengakibatkan bencana nuklear Fukushima. – Agensi berita.
