NEW YORK: Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pada 2 Januari menggesa Israel supaya menamatkan larangan terhadap agensi kemanusiaan yang menyalurkan bantuan di Gaza, sambil menyatakan beliau “amat bimbang” dengan perkembangan tersebut.
Dalam satu kenyataan, jurucakapnya, Encik Stephane Dujarric, berkata Encik Guterres “menyeru supaya langkah itu ditarik balik”, sambil menegaskan bahawa badan bukan pemerintah (NGO) antarabangsa amat diperlukan bagi kerja kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa.
Penggantungan tersebut, katanya, berisiko menjejaskan kemajuan rapuh yang dicapai semasa gencatan senjata.
“Tindakan terbaru ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin,” tambahnya.
Israel pada 1 Januari menggantung laluan 37 pertubuhan kemanusiaan asing ke Semenanjung Gaza selepas mereka enggan menyerahkan senarai kakitangan Palestin masing-masing kepada pegawai pemerintah.
Larangan itu turut melibatkan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), yang mempunyai seramai 1,200 kakitangan di wilayah Palestin, dengan sebahagian besar bertugas di Gaza.
NGO yang terlibat diarahkan menghentikan operasi mereka selewat-lewatnya pada 1 Mac.
Beberapa pertubuhan menyatakan syarat tersebut bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa atau boleh menjejas kebebasan dan keselamatan operasi mereka.
Israel pula berkata peraturan baru itu bertujuan menghalang badan yang dituduhnya menyokong keganasan daripada beroperasi di wilayah Palestin.
Pada hari yang sama, 18 NGO bersayap kiri yang berpangkalan di Israel mengecam keputusan mengharamkan rakan antarabangsa mereka, dengan menyatakan rangka kerja pendaftaran baru itu melanggar prinsip teras kemanusiaan, termasuk kebebasan dan berkecuali.
Satu gencatan senjata yang rapuh telah berkuat kuasa sejak Oktober, susulan perang berdarah yang dilancarkan Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Pada November, pihak berkuasa di Gaza berkata lebih 70,000 orang terbunuh sejak perang tersebut tercetus.
Menurut data PBB, hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah atau rosak, menyebabkan infrastruktur awam lumpuh.
Kira-kira 1.5 juta daripada lebih dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, kata Encik Amjad Al-Shawa, pengarah Rangkaian NGO Palestin di Gaza. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg