Topic followed successfully
Go to BHkuKebakaran hutan di Bintan cetus darurat, asap tebal jejas Dumai
Kebakaran hutan di Bintan cetus darurat, asap tebal jejas Dumai
Kebakaran hutan di Bintan cetus darurat, asap tebal jejas Dumai
JAKARTA: Kebakaran hutan dan tanah terus merebak di Kabupaten (Wilayah) Bintan, Kepulauan Riau, sehingga pemerintah daerah mengisytiharkan status darurat, manakala kawasan berhampiran seperti Dumai dan Pelalawan di wilayah Riau masih bergelut memadamkan kebakaran yang berlarutan.
Pemerintah Bintan mengisytiharkan status darurat kebakaran hutan dan tanah bermula 25 Mac selama 14 hari, susulan peningkatan ketara insiden kebakaran yang memusnahkan kawasan hutan dan tanah di beberapa lokasi.
Kebakaran dilaporkan berlaku di sepanjang lebuh raya Tanjungpinang–Tanjung Uban, khususnya di Kampung Berakit, apabila api membakar sisa pokok dan rumput kering di kawasan tersebut.
Walaupun kebakaran utama berjaya dikawal, kesan kemusnahan masih jelas dengan tanah yang hangus dan kepulan asap masih kelihatan.
Bupati (ketua Daerah) Bintan, Encik Roby Kurniawan, berkata keputusan mengisytiharkan darurat dibuat selepas jumlah kebakaran meningkat secara mendadak, ditambah dengan keadaan cuaca kering yang berpanjangan.
“Status darurat diisytiharkan berikutan peningkatan kebakaran hutan dan tanah serta keadaan kemarau yang melanda hampir seluruh wilayah Bintan,” katanya dalam satu mesyuarat pada 25 Mac.
Menurut data pemerintah daerah, sebanyak 317 kejadian kebakaran direkodkan antara Januari hingga Mac tahun ini, melibatkan kawasan seluas 251 hektar.
Daripada 10 daerah di Bintan, empat kawasan mencatatkan jumlah kebakaran tertinggi iaitu Bintan Timur dengan 81 kejadian, diikuti Toapaya (68), Gunung Kijang (64) dan Bintan Utara (60).
Di Kampung Berakit, pekerja syarikat telekomunikasi dilihat menggantikan kabel gentian optik yang rosak akibat kebakaran berhampiran sebuah menara komunikasi.
Sistem navigasi turut memberi amaran kepada pengguna jalan raya bahawa laluan tersebut berpotensi terjejas akibat kebakaran.
Seorang penduduk, Encik Suhardi, berkata kawasan itu sebelum ini dipenuhi ranting dan rumput kering yang mudah terbakar ketika musim kemarau. “Kebakaran bermula sejak seminggu lalu, sekarang hanya tinggal bara,” katanya.
Kebakaran itu turut menimbulkan kebimbangan kerana Berakit merupakan kawasan pelancongan yang menempatkan beberapa resort di sepanjang pantai, khususnya di kawasan pelancongan pesisir timur.
Kawasan itu juga berhampiran dengan kawasan pelancongan bersepadu Lagoi serta bandar Tanjungpinang, menjadikannya destinasi popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, terutama pada hujung minggu dan musim cuti seperti Hari Raya Aidilfitri.
Selain kebakaran, kemarau turut menjejaskan bekalan air mentah di Bintan. Syarikat air milik wilayah, PDAM Tirta Kepri, melaporkan paras air di empat empangan utama menurun dengan ketara.
Encik Roby berkata pihaknya mengambil langkah mengekalkan bekalan air bersih dengan membuka saliran bagi meningkatkan jumlah air di empangan.
Sebagai usaha tambahan, pemerintah daerah turut melaksanakan solat istisqa pada 26 Mac bagi memohon hujan untuk mengurangkan kesan kemarau.
Dalam masa sama, beliau mengarahkan semua agensi memperkukuh langkah pencegahan dan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko tinggi. Beliau turut menggesa penduduk supaya segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran yang dikesan.
Di wilayah Riau, sekurang-kurangnya 120 hektar tanah gambut di kawasan Tanjung Palas dan Mundam di Dumai terbakar, menyebabkan jerebu tebal meliputi bandar tersebut. Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah mengurangkan jarak penglihatan bagi pengguna jalan raya.
Timbalan Datuk Bandar Dumai, Sugiyarto, menggesa penduduk supaya berwaspada terhadap bahaya jerebu. “Penduduk disarankan mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka bagi mengelakkan masalah pernafasan dan kesihatan lain,” katanya pada 24 Mac.
Beliau berkata usaha memadamkan kebakaran sedang dijalankan oleh pasukan gabungan melibatkan agensi pengurusan bencana, tentera, polis, anggota bomba hutan Manggala Agni serta sukarelawan.
Namun, operasi pemadaman berdepan cabaran besar akibat kekurangan sumber air dan cuaca panas yang berterusan.
Encik Sugiyarto turut memberi amaran bahawa kedudukan Dumai berhampiran Selat Melaka berisiko menyebabkan asap merebak ke negara jiran.
Di Kabupaten Pelalawan, kebakaran yang berlaku di tanah milik koperasi Riau Tani Berkah Sejahtera (RTBS) di Kampung Merbau sejak 13 hari lalu masih belum berjaya dipadam sepenuhnya.
Jurucakap polis Pelalawan, Thomas Bernandes Siahaan, berkata sebahagian besar kawasan yang ditanam dengan kelapa sawit telah terbakar. “Asap masih kelihatan keluar dari tanah gambut walaupun api utama telah dipadamkan,” katanya.
Pasukan gabungan yang terdiri daripada anggota tentera, polis, syarikat perhutanan PT Arara Abadi dan pekerja koperasi terus menjalankan operasi dengan menggunakan pam air dan jentera berat.
Namun, usaha itu turut terjejas akibat kekurangan sumber air kerana kawasan gambut semakin kering.
Sementara itu, kebakaran lain di Kampung Pulau Muda dilaporkan semakin menghampiri jalan utama kampung selepas merebak selama dua minggu.
Ketua kampung, Encik Andika, berkata pasukan telah dikerahkan sejak awal Aidilfitri untuk menghalang api daripada terus merebak. “Kebakaran masih berlarutan dan semakin menghampiri laluan masuk kampung,” katanya. Beliau menambah bahawa jentera berat telah digunakan untuk membina benteng api dan kolam takungan air sebagai langkah mengawal kebakaran.
Dalam masa sama, beberapa kampung berhampiran dilaporkan diselubungi asap tebal yang menyesakkan, menambah kebimbangan terhadap kesihatan penduduk setempat. Situasi ini menunjukkan bahawa kebakaran hutan dan tanah di rantau tersebut bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut memberi kesan langsung kepada kesihatan, ekonomi dan kehidupan harian penduduk.

