Topik diikuti
Pergi ke BHkuKebakaran apartmen di Jakarta Barat, puluhan penghuni diselamatkan
Kebakaran apartmen di Jakarta Barat, puluhan penghuni diselamatkan
Kebakaran apartmen di Jakarta Barat, puluhan penghuni diselamatkan
JAKARTA: Kebakaran berlaku di Apartmen Mediterania Tanjung Duren, Jakarta Barat, pada pagi 30 April, mencetuskan panik dalam kalangan penghuni apabila asap tebal memenuhi beberapa tingkat bangunan.
Pasukan bomba bergegas ke lokasi bagi memadamkan api dan menyelamatkan puluhan penghuni yang terperangkap di dalam bangunan. Operasi menyelamat dilakukan menggunakan tangga kecemasan dan peralatan pernafasan, ketika asap kelabu dan hitam masih keluar dari beberapa bahagian apartmen.
Agensi Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) DKI Jakarta berkata kebakaran yang melanda salah satu bangunan Apartmen Mediterania di Tanjung Duren Selatan, Grogol Petamburan, itu dipercayai berpunca daripada litar pintas pada panel elektrik.
“Menurut keterangan pegawai keselamatan apartmen, berlaku gangguan bekalan elektrik pada panel tingkat bawah tanah. Kemudian, penggera kebakaran berbunyi dan pegawai melaporkannya kepada balai bomba terdekat,” kata Ketua BPBD DKI Jakarta, Encik Isnawa Adji, seperti dilaporkan Antara.
Menurut Encik Isnawa, sembilan penghuni cedera dalam kejadian itu, manakala lima orang dirujuk ke kemudahan kesihatan. Sebahagian daripada mereka mengalami sesak nafas, manakala yang lain mengalami patah tulang. “Setakat ini, petugas masih menjalankan proses pemindahan penghuni apartmen,” katanya.
Beliau berkata proses penyejukan dan usaha mengeluarkan asap dari ruang bangunan masih diteruskan.
“Buat sementara ini, proses penyejukan dan proses mengeluarkan asap dari ruangan masih berjalan,” kata Encik Isnawa.
Sehingga 12.23 tengah hari waktu Indonesia Barat, 87 penghuni yang terperangkap di dalam bangunan berjaya diselamatkan petugas.
Sebelum itu, pemantauan Antara di lokasi pada 9.25 pagi menunjukkan tangga pemindahan dipasang secara berperingkat dari tingkat bawah hingga tingkat enam bangunan. Penghuni yang terperangkap dibawa turun seorang demi seorang.
Sebahagian penghuni yang dipindahkan diikat dengan tali keselamatan bagi mengelakkan mereka terjatuh ketika menuruni tangga.
Di pos maklumat, petugas merekodkan nama penghuni yang sudah diselamatkan serta mereka yang masih terperangkap di dalam bangunan.
Kebakaran itu dilaporkan berlaku sekitar 7.31 pagi. Pihak berkuasa kemudian mengerahkan sekurang-kurangnya 22 jentera bomba ke lokasi.
Pasukan kecemasan memasang tangga di beberapa sisi menara untuk mencapai unit-unit di tingkat atas. Anggota bomba dilihat menyelamatkan penghuni dari balkoni dan tingkap ketika asap tebal merebak ke beberapa tingkat.
Data awal dari pos komando Agensi Bomba dan Penyelamat Jakarta Barat menunjukkan sekitar 25 penghuni pada mulanya masih terperangkap di Menara C, antara tingkat enam hingga tingkat 33.
Komander platun Bomba dan Penyelamat Jakarta Barat, Joko Susilo, berkata operasi pemindahan diteruskan dalam keadaan berbahaya.
“Pemindahan masih berjalan. Asap masih tebal di beberapa tingkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa berkata api sudah berjaya dikawal, namun asap tebal masih menyukarkan operasi menyelamat. Asap dilaporkan meresap ke dalam beberapa unit kediaman, terutama di tingkat pertengahan bangunan.
Anggota bomba yang memakai kelengkapan perlindungan penuh dan membawa tangki oksigen cuba mencapai penghuni yang terperangkap di antara tingkat bawah dan atas. Beberapa penghuni dilihat meminta bantuan dari tingkap, manakala yang lain dibimbing turun menggunakan tangga kecemasan.
Dalam beberapa kes, penghuni dipindahkan menggunakan pengusung selepas mengalami melecur atau kesukaran bernafas. Sekurang-kurangnya seorang mangsa yang tidak sedarkan diri akibat kekurangan oksigen dibawa keluar dan dihantar mendapatkan rawatan.
Ambulans keluar masuk dari kawasan apartmen bagi membawa mangsa ke hospital berhampiran, termasuk Hospital Royal Taruma.
Ketua Polis Grogol Petamburan, Reza Aditya, berkata kebanyakan penghuni sudah berjaya dipindahkan, namun operasi pemadaman dan penyejukan masih diteruskan.
“Pemadaman dan penyejukan masih berjalan. Penghuni sedang dipindahkan, dan kebanyakannya sudah keluar dari bangunan,” katanya.
Saksi berkata kebakaran bermula tidak lama selepas 7.15 pagi, menyebabkan penghuni panik dan bergegas keluar dari bangunan apabila asap mula memenuhi lorong serta unit kediaman.
Video yang tular di media sosial menunjukkan detik cemas anggota bomba memanjat tangga logam untuk menyelamatkan penghuni yang terperangkap. Sebahagian penghuni dilihat memanjat keluar melalui tingkap bagi mengelakkan asap.
Dalam satu kejadian, seorang warga emas diselamatkan dari tingkat atas dengan bantuan pasukan penyelamat.
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan. Pasukan bomba terus memantau lokasi bagi memastikan api tidak menyala semula ketika proses penyejukan dijalankan. - Agensi berita
