Seorang jeneral bersara dan seorang aktivis buruh yang pernah disabitkan kesalahan sebelum ini antara enam individu yang mengangkat sumpah jawatan pada 27 April dalam rombakan terbaharu Kabinet Merah Putih pimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Rombakan itu tidak membawa perubahan besar dalam sektor kewangan dan ekonomi, namun mencerminkan penekanan lebih jelas terhadap pengukuhan komunikasi pemerintah.

Rombakan kabinet kelima sejak Encik Prabowo memegang jawatan pada Oktober 2024 ini dilihat sebagai langkah memperkukuh kecekapan pentadbiran serta meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar kepada rakyat.

Langkah tersebut termasuk pelantikan Encik Muhammad Qodari – yang sebelum ini merupakan Ketua Staf Presiden – sebagai Ketua Agensi Komunikasi Pemerintah (GCA), serta pelantikan Encik Hasan Nasbi sebagai Penasihat Khas Presiden bagi komunikasi.

Encik Qodari berkata peranan baharunya memerlukan pendekatan yang lebih tersusun dalam menghadapi landskap media yang semakin dinamik, khususnya dengan peranan media sosial.

“Media sosial kini turut berfungsi seperti media arus perdana, tetapi dengan peraturan yang berbeza, dan ini menjadi satu cabaran tersendiri,” katanya.

Encik Hasan pula menegaskan tugasnya adalah memastikan maklumat mengenai kerajaan disampaikan dengan tepat.

“Peranan saya termasuk memperbetulkan laporan, persepsi atau maklumat mengenai kerajaan yang tidak tepat,” katanya.

Pelantikan Encik Hasan dilihat sebagai kesinambungan pengalaman beliau dalam bidang komunikasi pemerintah selepas sebelum ini menerajui Pejabat Komunikasi Presiden.

Dalam rombakan terdahulu, agensi tersebut dinamakan semula sebagai GCA, mencerminkan usaha penstrukturan semula komunikasi pemerintah.

Dalam perkembangan sama, aktivis buruh Encik Mohammad Jumhur Hidayat dilantik sebagai Menteri Alam Sekitar, menggantikan Encik Hanif Faisol Nurofiq yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan.

Encik Jumhur sebelum ini pernah mengetuai agensi perlindungan pekerja migran dan mempunyai pengalaman luas dalam isu buruh.

Beliau berkata tumpuan utamanya adalah meningkatkan kesedaran awam mengenai alam sekitar serta pengurusan sisa.

“Dalam pengurusan sisa, kita akan bergerak secara berperingkat ke arah pematuhan piawaian global dan pelbagai perjanjian antarabangsa,” katanya.

Turut dilantik ialah Encik Dudung Abdurachman sebagai Ketua Staf Presiden baharu.

Beliau merupakan jeneral empat bintang bersara dan sebelum ini berkhidmat sebagai penasihat khas presiden dalam bidang pertahanan.

Encik Dudung berkata tanggungjawabnya adalah memastikan pelaksanaan dasar pemerintah berjalan dengan berkesan.

“Kami memberi tumpuan untuk memastikan setiap dasar dilaksanakan secara terukur dan memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menekankan usaha untuk memperkemas proses pentadbiran bagi menyokong pelaksanaan program keutamaan pemerintah.

Rombakan ini juga menyaksikan pelantikan semula Encik Abdul Kadir Kading sebagai Ketua Badan Kuarantin Indonesia.

Beliau berkata mandat utamanya adalah memperkukuh sistem kuarantin negara serta melindungi Indonesia daripada ancaman penyakit haiwan dan tumbuhan.

“Kami juga akan memastikan kelancaran aliran eksport dan import negara terus terpelihara,” katanya.