Jurulatih Valencia CF, Encik Fernando Martin, telah meninggal dunia bersama tiga anggota keluarganya selepas bot mereka terbalik di Indonesia, kata kelab bola sepak Sepanyol itu.
Valencia berkata mereka “amat berduka cita atas pemergian Fernando Martin, jurulatih Valencia CF Femenino B, dan tiga anaknya, dalam kemalangan bot tragik di Indonesia, seperti yang disahkan oleh pihak berkuasa tempatan”.
Pihak berkuasa Indonesia dan Sepanyol berkata pada 27 Disember bahawa Encik Martin dan tiga anaknya hilang selepas bot yang membawa 11 orang tenggelam akibat cuaca ekstrem pada 26 Disember di Selat Pulau Padar berhampiran Pulau Labuan Bajo, sebuah destinasi pelancongan popular.
Pencarian masih diteruskan pada pagi 28 Disember, kata penyelaras misi agensi pencarian dan penyelamat (SAR) Indonesia di kawasan tersebut, Encik Fathur Rahman.
Real Madrid CF juga mengucapkan takziah kepada Encik Martin, 44 tahun, seorang bekas pemain bola sepak divisyen kedua Sepanyol yang dilantik sebagai jurulatih pasukan wanita B Valencia pada 2025.
Isteri dan seorang anak perempuannya, serta empat anggota kru dan seorang pemandu pelancong, telah diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat, kata SAR dalam satu kenyataan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg