Jokowi harap program vaksinasi Covid-19 akan mula Januari depan
Jokowi harap program vaksinasi Covid-19 akan mula Januari depan
JAKARTA: Presiden Joko 'Jokowi' Widodo berharap program vaksinasi Covid-19 kebangsaan akan bermula pada Januari 2021.
"Insya Allah, kita akan mulakan suntikan pada Januari. Mengikut ramalan kami, kita mungkin kembali normal tahun depan. Mari kita semua berdoa agar kita dapat kembali seperti sediakala secepat mungkin," kata Encik Jokowi ketika mengagihkan bantuan kepresidenan di Istana Presiden di Bogor pada Jumaat lalu, seperti dilaporkan akhbar kompas.id.
Beliau selanjutnya menyatakan program vaksinasi itu bertujuan mencakupi 70 peratus penduduk Indonesia, atau kira-kira 182 juta orang. Vaksinasi untuk populasi itu, dipercayai untuk membentuk masyarakat lali.
Pada masa ini, vaksin yang ada hanya cukup untuk 600,000 penerima. Agensi Pemantauan Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) sedang mengkaji calon-calon vaksin tambahan untuk menentukan sama ada untuk mengizinkan penggunaan secara kecemasan.
"Saya akan disuntik vaksin dahulu untuk menunjukkan ia adalah selamat," kata Presiden Jokowi.
Encik Jokowi mengingatkan rakyat bahawa program vaksin akan mengambil masa kerana negara itu luas dengan jumlah rakyat yang besar. Beliau berkata, program itu akan dijalankan secara berperingkat, dimulai dengan pekerja kesihatan, anggota Tentera Indonesia dan anggota polis, sebelum diberikan kepada masyarakat umum.
Presiden mengulangi kenyataan bahawa apa jua vaksin yang akan digunakan pada masa depan akan diluluskan oleh BPOM dan akan diisytiharkan halal oleh Majlis Ulama Indonesia. Vaksinasi, katanya, akan diberikan secara percuma kepada semua rakyat Indonesia.
Secara berasingan pula, Menteri Ehwal Luar, Encik Retno LP Marsudi berkata di Forum Kerjasama Kompas (KCF) yang diadakan secara maya pada Jumaat lalu, pemerintah sedang berusaha untuk mendapatkan vaksin mencukupi untuk semua rakyat Indonesia.
Menurut dapatan terkini Sekolah Kesihatan Awam John Hopkins Bloomberg, 2.2 bilion dos vaksin akan disediakan pada 2021.
Sebanyak 3.76 bilion dos vaksin pada masa depan telah ditempah oleh kurang dari 50 negara, termasuk Indonesia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vidjongtius dari syarikat farmaseutikal Kalbe Farma berkata, sebagai negara kepulauan, kedudukan Indonesia merupakan satu cabaran dalam pengendalian program vaksinasi kebangsaan.
"Mutu vaksin yang baik adalah bersamaan mutu pengagihan vaksin. Kita tidak mahu mengurangkan mutu vaksin kerana pengendalian yang lemah berlaku," tambahnya.
Indonesia berkeupayaan untuk menyimpan vaksin antara 2 hingga 8 darjah celsius.
Vaksin Pfizer-BioNTech harus disimpan pada kadar kedinginan 70 darjah celsius di bawah paras sifar.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengumumkan pada Sabtu lalu bahawa ia sedang memantau laporan berkenaan reaksi alahan disebabkan penggunaan vaksin Covid-19 dan telah membuat saranan tentang bagaimana orang yang menghadapi alahan sebelum ini perlu melaksanakan vaksinasi, menurut laporan agensi berita Reuters.
Sesiapa yang mengalami reaksi dan alahan teruk disebabkan vaksin Covid-19 tidak harus mendapatkan dos kedua, kata agensi itu, dengan menjelaskan keadaan teruk itu memerlukan penggunaan ubat epinephrine atau rawatan di sebuah hospital.

