PRESIDEN Joko "Jokowi" Widodo telah melayan kerenah tiga perdana menteri Australia daripada Parti Liberal sejak beliau memimpin Indonesia pada Oktober 2014 - daripada Encik Tony Abbott, Encik Malcolm Turnbull dan Encik Scott Morrison.
Pemimpin Indonesia itu mempunyai lebih daripada sekadar hubungan peribadi dan rasmi yang baik dengan ketiga-tiga mereka.
Bagaimanapun, Presiden Jokowi dilaporkan berasa seakan ada 'sikap kurang percaya' dari pihak Australia terhadap Indonesia dari segi keselamatan serantau dan global, terutama apabila ia berkaitan dengan cita-cita Amerika Syarikat menguasai rantau Indo-Pasifik, demikian menurut akhbar The Jakarta Post.
Menurut akhbar itu, di bawah Presiden Jokowi, hubungan Indonesia-Australia kekal bebas daripada "pergolakan" kerana ia telah matang dan lebih mengutamakan hubungan dua hala daripada sekadar nilai dan jumlah perdagangan.
FAKTOR AUKUS
Tetapi di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat antara Amerika dengan China untuk meluaskan pengaruh di rantau ini, Presiden Jokowi kini memberi lebih perhatian kepada Canberra, yang mengambil sikap konfrontasi terhadap Beijing.
Lebih menggusarkan beliau adalah rasa kurang percaya negara jiran beliau itu, terutama selepas Canberra menyertai pakatan keselamatan tiga hala Aukus dengan Britain (UK) dan Amerika pada 15 September tahun lalu.
Menurut seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Amerika, Encik Joe Biden, Aukus - yang memberi penekanan kepada soal ketenteraan - tidak ditujukan pada China.
Ia sebaliknya dikatakan sebagai sebahagian kesinambungan pelibatan Amerika di rantau Indo-Pasifik.
Apa pun tujuannya, langkah Australia menyertai Amerika dan Britain membentuk Aukus turut menjadi keprihatinan Malaysia.
Singapura pula berharap Aukus akan memberi sumbangan membina kepada keamanan dan kemantapan rantau ini dan melengkapi keadaan serantau.
Yang menjadi keprihatinan Presiden Jokowi adalah keengganan Encik Morrison, perdana menteri Australia ketika perjanjian itu dimeterai, berkongsi rancangan perikatan tersebut dengannya sehingga saat-saat akhir.
Presiden Jokowi juga dikatakan tidak berpuas hati dengan nasihat Encik Morrison supaya Indonesia mengecualikan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, daripada sidang puncak G20, yang dijadualkan berlangsung di Bali November ini.
Ini ekoran tindakan Russia menyerang Ukraine beberapa bulan lalu.
HARAPAN BARU
Oleh itu, Presiden Jokowi sangat mengalu-alukan kembalinya Parti Buruh di bawah pimpinan perdana menteri baru, Encik Anthony Albanese, ke tampuk pemerintahan kerana beliau sedar Indonesia telah menikmati hubungan lebih baik dengan Australia ketika parti itu berkuasa.
Rakyat Indonesia secara amnya turut berkongsi harapan Presiden Jokowi. Lawatan negara tiga hari PM Albanese, khususnya sidang puncak dua hala yang diadakan di Istana Bogor, mendapat liputan meluas media dalam suasana mesra dan positif.
Sudah menjadi tradisi bagi pemimpin Australia yang baru untuk melawat Jakarta sebagai persinggahan pertama mereka.
Presiden Jokowi berasa amat gembira dengan jaminan Encik Albanese bahawa beliau akan menghadiri sidang puncak G20, sama ada Encik Putin hadir atau tidak.
"Hari ini, saya memaklumkan Presiden Widodo bahawa saya akan menghadiri Sidang Puncak Pemimpin G20 di Bali pada November," kata Encik Albanese pada sidang media bersama dengan Presiden Jokowi selepas sidang dua hala antara kededua meerka.
"Tugas G20 adalah kritikal sekarang, ketika berlakunya ketidaktentuan ekonomi global."
Menyifatkan lawatannya sebagai "ikhlas", pemimpin Australia itu sedar sidang puncak G20 adalah segala-galanya bagi Presiden Jokowi.
Menurut The Jakarta Post lagi, pemimpin Indonesia itu jarang menaruh minat terhadap dasar luar, tetapi menganjurkan sidang puncak 20 ekonomi terbesar dunia bakal menjadi pencapaian terbesar beliau di peringkat antarabangsa.
Presiden Jokowi dikatakan tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan supaya menarik balik undangannya kepada Russia, anggota G20.
Dan, sebagai orang Jawa, beliau akan "menghukum" sesiapa sahaja yang cuba menggagalkan sidang itu.
KESILAPAN MORRISON
Encik Morrison sering mendakwa Presiden Jokowi ialah salah seorang kawan rapatnya dan beliau sedar gesaannya supaya Indonesia tidak mengundang Encik Putin bakal menyinggung perasaan rakannya itu.
Beliau juga seharusnya sedar bahawa keputusan memecat atau menggantung mana-mana anggota G20 harus dibuat dalam forum itu.
Seperti Presiden Biden, Perdana Menteri Canada, Encik Justin Trudeau; dan Perdana Menteri Britain, Encik Boris Johnson, Encik Morrison cuba menguji integriti Indonesia sebagai pemegang jawatan presiden G20 tahun ini.
Cara beliau mendesak Presiden Jokowi mengingatkan rakyat Indonesia tentang tingkah laku pemimpin Australia terdahulu, yang sering mahu mengajar Indonesia mengenai demokrasi, hak asasi manusia dan mengutamakan undang-undang.
Encik Morrison berkata beliau telah memberitahu Presiden Jokowi bahawa beliau enggan berjumpa Encik Putin di Bali.
Keangkuhan seperti itu 'tidak laku' ke atas Indonesia kerana bagi mereka, Australia tidak begitu penting sehingga mereka perlu mengikut kehendaknya.
Aukus boleh menjejas keselamatan Indonesia kerana ia membenarkan Australia membeli kapal selam berkuasa nuklear dari Amerika.
Ia akan mendorong kerjasama dalam banyak arena baru, termasuk siber, kecerdasan buatan, teknologi kuantum dan beberapa kemampuan bawah laut, kata para pegawai.
Akibatnya, Presiden Jokowi enggan menerima Encik Morrison apabila beliau mahu singgah di Jakarta dalam perjalanan pulang daripada pertemuannya dengan Presiden Biden dan Encik Johnson di Rumah Putih pada 21 September lalu. Sebaliknya, perhubungan antara mereka hanya berlangsung menerusi telefon.
REDA SEMULA
Kini, Encik Albanese telah membuat permulaan yang baik dalam menjalin hubungan baik dengan Indonesia dan Presiden Jokowi mempunyai kewajipan membalasnya dengan bersikap lebih bertolak ansur dan memahami kepentingan geopolitik Australia, yang tidak semestinya serupa, jika tidak bertentangan, dengan Indonesia.
Indonesia dan Australia akan sentiasa berjiran. Kedua-duanya adalah kuasa pertengahan dan anggota G20. Oleh itu, meminimumkan rasa sangsi sangat penting.
Presiden Jokowi sangat mengalu-alukan kembalinya Parti Buruh di bawah pimpinan perdana menteri baru, Encik Anthony Albanese, ke tampuk pemerintahan kerana beliau sedar Indonesia telah menikmati hubungan lebih baik dengan Australia ketika parti itu berkuasa.
Rakyat Indonesia secara amnya turut berkongsi harapan Presiden Jokowi.
Lawatan negara selama tiga hari PM Albanese, khususnya sidang puncak dua hala yang diadakan di Istana Bogor, mendapat liputan meluas media dalam suasana mesra dan positif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg