JAKARTA: Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, kelmarin melancarkan 16 ambulans pelaksana vaksinasi sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan program vaksinasi Covid-19 di ibu kota Indonesia itu, lapor agensi berita Antara.
Ambulans pelaksana vaksinasi itu akan mengunjungi kawasan padat penduduk di mana liputan vaksinasi adalah rendah, katanya.
"Jadi mereka yang punya masalah pergerakan boleh menjangka dapat vaksinasi secepatnya," kata gabenor itu di Dewan Bandar Raya Jakarta kelmarin.
Pelaksanaan ambulans itu adalah hasil kerjasama antara pemerintah wilayah Jakarta dan Lembaga Wisata Jakarta (Jaktour) dengan beberapa pemegang taruhan - Markas Pemerintah Tentera Wilayah, Polis Metro Jaya, persatuan perniagaan seperti Kadin, Apindo, Aprindo, Hipindo dan PT Magenta Mediatama.
Daripada 16 ambulans yang akan bergerak ke serata Jakarta, lima kenderaan ini telah disediakan oleh pentadbiran Jakarta, tiga oleh Kodam Jaya, tiga oleh Metro Jaya, tiga oleh Magenta dan dua oleh pengarah agung bagi pendidikan tinggi, kata Encik Baswdedan.
Dalam pada itu, pemerintah Indonesia melahirkan kebimbangan apabila warga Indonesia dilihat mengabaikan amaran kesihatan supaya jangan menggunakan ubat antiparasit, Ivermectine, sebagai 'penawar ajaib' bagi Covid-19.
Amaran itu tidak dihiraukan kerana penggunaan ubat itu disokong ahli politik terkemuka dan penggiat media sosial, ketika gelombang koronavirus kian tidak terkawal di negara itu.
Pihak berkuasa melaporkan ratusan kematian setiap hari di negara berpenduduk keempat tertinggi di dunia, yang masih bergelut bagi menangani ancaman wabak yang semakin serius.
Farmasi di seluruh negara kehabisan Ivermectine, rawatan oral yang biasanya digunakan untuk mengubati kutu dan jangkitan parasit lain, susulan hantaran viral di media sosial yang mengatakan ia berkesan untuk merawat Covid-19.
Ketua Kumpulan Penjualan Farmasi, Encik Yoyon, berkata orang ramai datang dengan membawa 'tangkap layar' yang menunjukkan Ivermectine boleh menyembuhkan Covid-19.
"Bekalan ubat berkenaan juga berkurangan susulan permintaan tinggi terhadapnya, sekali gus mengakibatkan harganya meningkat dari sekitar Rp175,000 hingga Rp300,000 ($16.30 hingga $22) sebotol.
"Kini kami kehabisan bekalan selepas ramai orang datang untuk membelinya," katanya.
Maklum balas dan pujian daripada personaliti popular dalam talian turut membantu menggalakkan permintaan.
Didorong oleh teori konspirasi antivaksin dan pandemik secara dalam talian, mengakibatkan lonjakan permintaan untuk ubat itu dari Brazil hingga Afrika Selatan sampai ke Lubnan.
Bagaimanapun, pengeluarnya, Merck, mengatakan tiada asas saintifik menunjukkan kemujaraban Ivermectine bagi merawat Covid-19 dan memberi amaran mungkin berlaku masalah kesihatan jika pengambilan ubat itu secara tidak betul.
Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa badan kawal selia ubat termasuk Indonesia sendiri turut menekankan kurang bukti menunjukkan bahawa ia berfungsi melawan Covid-19.
Selepas permintaan bagi ubat itu meningkat di Amerika Latin, WHO mengatakan setiap penggunaan ubat itu sebagai rawatan Covid-19 harus berpandukan ujian klinikal.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat turut memberi amaran mengenai risiko mengambil Ivermectine berikutan laporan ada yang dimasukkan ke hospital selepas memakan versi ubat yang merawat kuda. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg