WASHINGTON: Jabatan Kehakiman pada 20 Mei mengumumkan dakwaan terhadap mantan Presiden Cuba, Raul Castro, atas tuduhan melakukan pembunuhan dan konspirasi untuk membunuh rakyat Amerika Syarikat dengan menembak jatuh dua pesawat di perairan negaranya 30 tahun lalu.

Dakwaan oleh Mahkamah Daerah Persekutuan di Miami itu merupakan peningkatan luar biasa kempen tekanan pentadbiran Amerika terhadap pemerintah Komunis Cuba pada saat Presiden Donald Trump berusaha untuk menggulingkannya.

Dakwaan yang dikenakan ke atas Raul, abang kepada Encik Fidel Castro, mungkin membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup.

Ia juga mungkin boleh membuka jalan bagi tentera Amerika mengusirnya dari negara itu melalui cara yang serupa dengan operasi khas menangkap Encik Nicolas Maduro, mantan pemimpin Venezuela, pada Januari lalu.

Dakwaan itu, yang turut menuduh lima juruterbang pesawat pejuang terlibat dalam serangan tersebut, telah didedahkan secara rahsia pada April oleh ketua juri persekutuan.

Dakwaan itu berdasarkan tuduhan terdahulu, yang pertama kali difailkan pada 2003, terhadap salah seorang daripada mereka.

Dalam sidang akbar di Miami, Pemangku Peguam Negara, Encik Todd Blanche, dan Peguam Daerah Selatan Florida, Encik Jason A. Reding Quinones, menuduh Raul, dan juruterbang membunuh empat orang apabila tentera Cuba menembak jatuh pesawat tersebut pada petang 24 Februari 1996.

Kedua-dua pesawat tersebut dikendalikan oleh Brothers To The Rescue, sebuah kumpulan orang buangan Cuba yang sering menjelajah lautan untuk mencari rakyat Cuba yang melarikan diri dari negara itu.

Encik Fidel Castro bertanggungjawab menembak jatuh pesawat tersebut dengan mendakwa kumpulan itu telah menggugurkan risalah antirejim di Havana dalam penerbangan terdahulu.

Dakwaan itu menyatakan bahawa Raul juga bertanggungjawab kerana beliau dan abangnya adalah “pembuat keputusan muktamad” dalam rantaian arahan tentera Cuba.

Encik Blanche menggambarkan tuduhan terhadap Raul sebagai langkah bersejarah ke arah mendesak pemerintah Cuba bertanggungjawab atas kesalahannya yang lalu.

“Mesej saya hari ini jelas. Amerika dan Presiden Trump tidak akan melupakan rakyatnya,” tambah Encik Blanche.

Namun, beliau mengelak persoalan sama ada dakwaan itu merupakan permulaan kepada tindakan ketenteraan Amerika ke atas Cuba, dengan menyatakan bahawa keputusan itu terletak di tangan Encik Trump dan pasukan dasar luarnya.

Encik Trump sendiri enggan menyatakan pada 20 Mei sama ada beliau akan menggunakan kuasa tentera untuk mengeluarkan Raul dari Cuba.

Bagaimanapun, selain daripada kekerasan tentera, tidak banyak pilihan untuk membawa Raul ke Amerika untuk menghadapi tuduhan.

Encik Blanche berkata waran telah dikeluarkan untuk penangkapannya, walaupun tidak mungkin rakyat Cuba akan menyerahkannya.

Dalam satu kenyataan, Encik Blanche menyatakan Raul akhirnya akan muncul di Amerika sama ada “dengan kehendaknya sendiri atau dengan cara lain”.

Dalam satu kenyataan, pemerintah Cuba, berkata: “Adalah sangat sinis untuk tuduhan ini dibuat oleh pemerintah sama yang telah membunuh hampir 200 orang dan memusnahkan 57 kapal di perairan antarabangsa Caribbean dan Pasifik, jauh dari wilayah Amerika, melalui penggunaan kekuatan tentera yang tidak seimbang.” – Agensi berita.