BEIRUT: Pencerobohan darat tentera Israel yang dijangka secara meluas ke atas Lebanon telah dimulakan pada awal 1 Oktober dengan serbuan “terhad” terhadap sasaran Hezbollah di kawasan sempadan.
Tentera Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa ia memulakan “serbuan darat terhad, setempat, dan disasarkan berdasarkan risikan yang tepat” terhadap Hezbollah di perkampungan selatan Lebanon berhampiran sempadan yang menimbulkan “ancaman segera kepada masyarakat Israel di utara Israel”.
Ia berkata tentera udara dan meriam menyokong tentera darat dengan “serangan yang tepat”.
Penduduk di bandar sempadan Lebanon, Aita al-Shaab, melaporkan bedilan hebat dan helikopter berserta dron berlegar di ruang udara.
Suar berulang kali dilancarkan di atas bandar sempadan Rmeish, menerangi langit malam.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, memberitahu ketua majlis tempatan di utara Israel bahawa fasa perang di sepanjang sempadan selatan Lebanon akan bermula tidak lama lagi.
Ia bertujuan membawa pulang warga Israel yang melarikan diri daripada serangan roket Hezbollah selama hampir setahun peperangan di sempadan.
Pencerobohan darat menandakan konflik yang semakin meningkat di Timur Tengah antara Israel dengan Hezbollah, yang dicetuskan oleh serangan ke atas Israel oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.
Menurut dua pegawai keselamatan Palestin, serangan Israel pada 1 Oktober itu menyasarkan Encik Mounir Maqdah, komander Briged Syahid Al-Aqsa, sayap tentera pergerakan Fatah Palestin cawangan Lebanon.
Serangan itu melanda sebuah bangunan di kem pelarian, Palestin Ain al-Hilweh, yang sesak berhampiran bandar selatan Sidon, kata sumber.
Ia adalah serangan pertama ke atas kem pelarian Palestin terbesar di Lebanon, sejak permusuhan rentas sempadan tercetus hampir setahun lalu.
Di Syria, tiga orang awam terbunuh dan sembilan lagi cedera dalam serangan udara Israel di ibu kota Damsyik, kata media pemerintah Syria pada 1 Oktober.
Israel telah melakukan serangan terhadap sasaran berkaitan Iran di Syria selama bertahun-tahun tetapi telah meningkatkan serbuan sejak serangan Hamas ke atas wilayah selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.
Israel bertindak balas melancarkan serangan besar-besaran ke atas Hamas di Gaza, membunuh 41,300 rakyat Palestin, memusnahkan wilayah itu dan memaksa 2.3 juta penduduknya berpindah-randah berulang kali bagi menyelamatkan diri.
Pencerobohan darat Israel di Lebanon dilancarkan berikutan letupan maut alat kelui Hezbollah, serangan udara selama dua minggu, dan pembunuhan ketua Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah, pada 27 September.
Serangan udara intensif itu telah menghapuskan beberapa komander Hezbollah, membunuh kira-kira 1,000 orang awam dan memaksa sejuta penduduk meninggalkan rumah mereka.
Dalam tempoh 24 jam, sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh dan 172 cedera dalam serangan Israel ke atas wilayah selatan Lebanon, timur Lembah Bekaa dan Beirut, kata Kementerian Kesihatan Lebanon pada 1 Oktober.
Rumah Putih dan Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak segera menjawab ketika diminta mengulas mengenai operasi darat Israel di Lebanon.
Namun, pada 30 September, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, menggesa kedua-dua pihak mencapai gencatan senjata. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg