WASHINGTON: Israel dan Lebanon telah bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata mereka serta membuka perbincangan yang lebih menyeluruh ke arah penyelesaian politik, demikian diumumkan Amerika Syarikat pada 16 Mei. 

Namun begitu, Israel terus melancarkan serangan baharu yang didakwanya tidak tertakluk pada gencatan senjata tersebut. 

Israel telah menghentam Lebanon dan menyerang selatan negara itu sebagai tindak balas kepada serangan daripada Hezbollah – kumpulan yang menyokong Iran dan tidak terlibat dalam rundingan gencatan senjata itu.

Utusan dari Israel dan pemerintah Lebanon, yang bersusah payah mengekang Hezbollah, bertemu selama dua hari di Washington dan berkata mereka akan melanjutkan gencatan senjata yang sepatutnya tamat tempoh pada 17 Mei.

Penghentian permusuhan “akan dilanjutkan selama 45 hari bagi membolehkan kemajuan lanjut dicapai,” kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Tommy Pigott.

Beliau berkata Jabatan Negara akan mengadakan perundingan bertujuan mencapai perjanjian politik kekal pada 2 dan 3 Jun, manakala Pentagon pula akan mempertemukan delegasi tentera kedua-dua negara pada 29 Mei.

Delegasi Lebanon menyatakan dalam satu kenyataan bahawa pelanjutan gencatan senjata dan pembukaan rundingan ketenteraan akan memberikan “ruang bernafas yang amat diperlukan oleh rakyat kami” dengan matlamat mencapai “kestabilan yang berkekalan”.

Dalam satu sindiran halus kepada Hezbollah, Perdana Menteri Lebanon, Encik Nawaf Salam berkata di sebuah majlis di Beirut bahawa negaranya sudah “cukup dengan tindakan-tindakan cuai yang hanya menguntungkan pihak atau kepentingan asing.”  

Beliau berkata peristiwa terbaru membawa “perang yang bukan pilihan kami tetapi dipaksakan ke atas kami, yang menyebabkan Israel menduduki 68 bandar dan kampung.”

Amerika Syarikat secara teguh menyokong Israel, yang bersamanya melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, tetapi turut menyuarakan rasa tidak senang secara halus tentang pencerobohan tentera Israel ke selatan Lebanon.

Duta Israel ke Washington, Encik Yechiel Leiter, yang mengetuai delegasi negaranya, berkata selepas rundingan itu bahawa keutamaan adalah memastikan keselamatan Israel.

Iran, pelindung Hezbollah, menuntut gencatan senjata yang berkekalan di Lebanon sebelum sebarang perjanjian damai dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang kecewa dengan penolakan Teheran terhadap perjanjian atas syarat-syaratnya.

Ratusan orang telah terkorban dalam serangan Israel walaupun gencatan senjata diumumkan pada 17 April.

Sebaik sahaja pembaharuan gencatan senjata diumumkan, satu serangan Israel menghentam sebuah pusat Jawatankuasa Kesihatan Islam yang berkaitan dengan Hezbollah di bandar selatan Hanuf, kata pihak berkuasa. 

Enam orang terkorban, termasuk tiga petugas paramedik, menurut kementerian kesihatan Lebanon.

Israel turut melancarkan serangan di bandar selatan Tyre selepas mengeluarkan arahan pemindahan, manakala Hezbollah pula mendakwa menyasarkan kem tentera Israel di bandar utara Kiryat Shmona dengan dron.

Kementerian kesihatan Lebanon berkata serangan di daerah Tyre turut mencederakan sekurang-kurangnya 37 orang, termasuk enam kakitangan hospital, sembilan wanita dan empat kanak-kanak.

Seorang penduduk, Encik Hafez Ramadan, yang tinggal berhampiran bangunan yang disasarkan serangan udara itu, berkata bangunan tersebut menempatkan orang yang telah melarikan diri dari kampung halaman mereka akibat perang, dan bersebelahan dengan sebuah hotel yang turut menempatkan mangsa-mangsa pelarian.

“Hanya wanita, kanak-kanak dan orang tua yang ada di sini,” katanya. “Akibat serangan ini, mereka terpaksa berpindah sekali lagi.” - Agensi berita.