JAKARTA: Polis Indonesia melalui unit antipengganasan, Densus 88, mendedahkan kemungkinan wujud kaitan ideologi antara satu serangan tikaman maut di sebuah sekolah di pinggir Moscow dengan letupan bom yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Jakarta Utara pada November 2025.
Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai penyebaran inspirasi pengganasan merentasi sempadan negara melalui ruang digital.
Jurucakap Densus 88, Pesuruhjaya Kanan Mayndra Eka Wardhana, berkata pada 7 Januari hasil siasatan awal mendapati serangan di Moscow dipercayai dipengaruhi oleh kejadian letupan di Sekolah Menengah Kebangsaan Negeri 72 (Sman 72), Jakarta Utara, pada 7 November 2025.
Letupan yang berlaku di kawasan masjid sekolah itu mengakibatkan puluhan pelajar cedera dan mencetuskan kejutan besar dalam sistem pendidikan Indonesia.
Menurut Encik Wardhana, serangan di Moscow berlaku pada 16 Disember 2025 apabila seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun menyerang sebuah sekolah di penempatan Gorki 2, Daerah Odintsovo, Wilayah Moscow.
Dalam kejadian itu, suspek bersenjatakan pisau membunuh seorang murid Darjah 4 dan mencederakan seorang pengawal keselamatan sekolah.
“Salah satu petunjuk penting yang kami kesan ialah tulisan pada pemegang pisau digunakan dalam serangan tersebut, yang tertera perkataan ‘2025, Jakarta Bombing’,” kata Encik Wardhana.
“Ini menunjukkan kemungkinan pelaku mendapat inspirasi daripada kejadian pengeboman di Sman 72 di Jakarta,” tambahnya.
Encik Wardhana turut memaklumkan gambar senjata tersebut, yang dipercayai diambil sendiri oleh pelaku, dimuat naik ke dalam sebuah masyarakat jenayah sebenar dalam talian yang diketahui sering menyebarkan kandungan ekstremis dan mengagungkan pengganasan.
“Foto itu dimuat naik oleh pelaku sendiri. Kami mengesyaki dia terpengaruh dengan naratif dan simbol pengganasan yang tersebar selepas kejadian pengeboman sekolah di Jakarta,” katanya.
Pihak berkuasa Russia mengesahkan kematian seorang pelajar dalam kejadian itu.
Dalam satu kenyataan rasmi, mereka berkata: “Dengan rasa dukacita yang mendalam, seorang kanak-kanak, murid Darjah 4, telah meninggal dunia di sekolah.
“Beberapa individu lain turut cedera.”
Sebelum ini, polis Indonesia menilai pengeboman di Sman 72 berpunca daripada gabungan faktor pengabaian keluarga dan persekitaran sosial, dengan pelaku dikatakan mengalami tekanan yang terkumpul dalam jangka masa panjang.
Penilaian itu menekankan pengganasan di sekolah sering lahir daripada masalah peribadi yang tidak ditangani, namun, boleh berkembang menjadi ekstrem apabila digabungkan dengan pendedahan ideologi ganas secara dalam talian.
Siasatan lanjut terhadap kes Moscow mendedahkan suspek turut menyiarkan manifesto setebal 11 halaman melalui aplikasi Telegram, yang dihantar kepada beberapa pelajar lain.
Manifesto tersebut mengandungi rujukan kepada pelaku serangan ganas di Amerika Syarikat dan Eropah, serta mencerminkan ketaasuban terhadap pengganasan berskala besar dan serangan terdahulu di sekolah.
Rakaman langsung serangan itu juga tersebar luas di Internet dan diarkibkan oleh media Russia, wadah media sosial arus perdana, serta laman web dan forum antarabangsa yang sering menyiarkan kandungan keganasan.
Video selama kurang 20 minit itu bermula di dalam tandas sekolah, memperlihatkan suspek menyediakan objek yang dipercayai sebagai bahan letupan buatan sendiri, selaras dengan dakwaan pihak berkuasa Russia bahawa pelaku merancang penggunaan alat letupan.
Imej lain menunjukkan tulisan dalam bahasa Inggeris pada topi keledar yang dipakai suspek, serta rujukan jelas kepada pengeboman sekolah Jakarta pada November 2025.
Densus 88 melihat unsur itu sebagai bukti bagaimana simbol dan naratif pengganasan boleh menular di peringkat sejagat, khususnya dalam kalangan remaja yang terdedah kepada masyarakat ekstrem dalam talian.
Menurut Encik Wardhana, kes itu menegaskan keperluan kerjasama antarabangsa yang lebih erat dalam memantau kandungan ekstremis digital.
“Kami tidak boleh melihat pengganasan sebagai isu domestik semata-mata.
“Apa yang berlaku di Jakarta boleh memberi kesan psikologi dan ideologi kepada individu di negara lain, terutamanya melalui media sosial dan forum tertutup,” katanya.
Pihak berkuasa Indonesia sedang berkongsi maklumat dengan rakan sejawat antarabangsa bagi memahami rangkaian pengaruh itu, sambil menekankan kepentingan pencegahan awal, sokongan kesihatan mental, dan pengawasan kandungan ekstrem dalam usaha menghalang tragedi serupa daripada berulang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg