Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia bakal kuat kuasa sekat media sosial untuk golongan bawah umur

Skuad antipengganas Indonesia, Densus 88, umum pada November, ia bongkar satu operasi sulit rekrut 110 kanak-kanak dalam rangkaian pengganas melalui wadah digital
Dec 15, 2025 | 5:30 AM
Platform permainan dalam talian, Roblox, dikenal pasti sebagai wadah penyebaran secara meluas dan berulang bahan yang menyokong kegiatan golongan pelampau dan pengganas di samping menyeru aksi ganas yang menyalahi undang-undang dalam kalangan anak muda.
Platform permainan dalam talian, Roblox, dikenal pasti sebagai wadah penyebaran secara meluas dan berulang bahan yang menyokong kegiatan golongan pelampau dan pengganas di samping menyeru aksi ganas yang menyalahi undang-undang dalam kalangan anak muda. - Foto fail

Indonesia dijangka menguatkuasakan pada awal 2026 satu peraturan pemerintah yang bertujuan melindungi kegiatan dalam talian kanak-kanak.

Ia khusus bagi menghalang mereka daripada terdedah kepada kandungan berbahaya, termasuk keganasan dan fahaman ekstrem.

Peraturan itu, yang dikeluarkan pada Mac 2025, akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2026.

Dengan itu, ia bakal menjadikan Indonesia negara kedua di dunia yang menguatkuasakan peraturan sedemikian selepas Australia, yang pada 10 Disember mula melaksanakan larangan menyeluruh bagi mereka di bawah umur 16 tahun daripada mengakses wadah media sosial.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, berkata pemerintah telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan menamatkan konsultasi awam untuk memuktamadkan peraturan tersebut.

Fasa pelaksanaan ialah pada 2026.

“Kami sedang membuat persiapan dengan platform-platform utama agar diharapkan selepas satu tahun, menjelang Mac 2026, kami dapat memulakan pelaksanaannya untuk melindungi anak-anak kita,” kata Cik Meutya pada sidang media bagi memperkenalkan hala tuju digital Indonesia pada 10 Disember.

Dikenali sebagai peraturan pemerintah Tunas atau Tunggu Anak Siap, ia akan menangguhkan akses kanak-kanak kepada akaun media sosial pada umur 13 dan 16 tahun, bergantung kepada tahap risiko setiap platform.

Kenyataan itu dibuat selepas skuad antipengganas Indonesia, Densus 88, mengumumkan pada November, ia telah membongkar satu operasi sulit untuk merekrut 110 kanak-kanak ke dalam rangkaian pengganas melalui wadah digital, termasuk media sosial, permainan dalam talian, dan aplikasi mesej sulit.

Skuad khas itu juga telah menahan lima perekrut dalam talian dan salah seorang daripada mereka ialah bekas banduan pengganas berusia 46 tahun daripada sel rangkaian IS, Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang telah selesai menjalani hukuman.

Suspek itu ditahan selepas skuad mengesan salah seorang daripada mereka menyatakan hasrat menyerang bangunan Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta.

“Dewan Perwakilan Rakyat adalah simbol demokrasi, yang mereka benci,” kata jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, kepada Berita Harian, dalam satu temu bual.

Walaupun lima suspek telah ditahan, radikalisasi dan kegiatan merekrut secara dalam talian masih boleh berlaku, memandangkan sifat ruang digital yang tidak bersempadan dan memberi peluang kepada penyamaran identiti.

Proses perekrutan pengganas dari 2011 hingga 2017 biasanya berlaku secara fizikal melalui hubungan kekeluargaan dan jaringan rapat.

Tetapi trend terkini telah beralih ke ruang digital yang membolehkan individu tidak saling mengenali dari kawasan berbeza direkrut ke dalam rangkaian hanya dengan memperkenalkan ideologi secara dalam talian.

“Perekrut dan mereka yang direkrut adalah individu asing antara satu sama lain di pulau dan tempat yang berbeza, dan ia boleh berlaku tanpa mengenali secara peribadi.

“Malah perekrut sesama mereka juga hanya mengenali satu sama lain secara dalam talian dan tidak mengetahui nama sebenar atau wajah masing-masing,” kata Encik Mayndra.

Pengenalpastian awal terhadap bakal rekrut boleh berlaku apabila pemain permainan dalam talian berinteraksi antara satu sama lain di wadah permainan yang sama, di mana perekrut menilai tahap kecenderungan militan rakan pemain mereka, terutama dalam permainan bertema ganas.

“Sebaik sahaja mereka menemui persamaan, perekrut akan menjemput pemain tersebut untuk berhubung dengan mereka di media sosial dan platform mesej,” kata Encik Mayndra.

Sebahagian kanak-kanak tidak menyedari mereka sedang terdedah kepada kandungan berbahaya dan ekstremis, sementara sebahagian lagi sedar dan memilih untuk menyertai rangkaian itu, khususnya mereka yang sudah mempunyai kecenderungan radikal yang terdedah kepada mereka melalui keluarga.

Encik Mayndra berkata skuad itu telah bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk melancarkan kempen media sosial menentang kandungan berbahaya dalam talian serta kemungkinan penglibatan berulang golongan bawah umur dengan perekrut pengganas, bagi mengelakkan lebih ramai kanak-kanak Indonesia direkrut ke dalam rangkaian pengganas.

Menurutnya, keberkesanan peraturan Tunas juga bergantung kepada tahap pematuhan pengguna terhadap garis panduan platform, dan sama ada pengguna memilih untuk memalsukan umur ketika mengakses platform yang mempunyai had umur minimum, walaupun syarat dan terma pengguna telah ditetapkan.

Terdapat juga perbincangan dengan platform dalam talian dan sebahagian daripadanya telah menyatakan kesediaan untuk mematuhi peraturan negara tempat mereka beroperasi.

“Ramai antara mereka mengambil sikap bekerjasama, walaupun ada yang tidak, kerana mereka melihat platform mereka sebagai alat kebebasan bersuara tanpa sekatan,” kata Encik Mayndra.

Data daripada Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, menunjukkan terdapat 1,890 isu berkaitan berita palsu; dan lebih 3.3 juta kandungan negatif direkodkan antara 20 Oktober dengan 6 Disember.

Jumlahnya sudah sebesar ini hanya dalam tempoh sebulan setengah, berapa banyak pula dalam setahun?

Ini menunjukkan betapa mudahnya anak-anak kita terdedah kepada kandungan negatif, kata Anggota Parlimen, Jawatankuasa I, Dewan Perwakilan Rakyat, Cik Andina Thresia Narang, ketika sesi pendengaran dengan Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital pada 8 Disember.

Cik Andina turut berkata pelaksanaan peraturan Tunas sebagai langkah awal perlindungan mungkin akan berakhir dengan hasil yang kurang optimum.

“Dalam praktik, langkah perlindungan masih lemah kerana ia bergantung pada pengisytiharan kendiri, bukannya sekatan yang dikuatkuasakan secara langsung oleh platform.

“Persoalannya, adakah kita perlu mendorong bentuk pengawasan yang lebih tegas?” katanya.

“Kami sedang membuat persiapan dengan platform-platform utama agar diharapkan... menjelang Mac 2026, kami dapat memulakan pelaksanaannya untuk melindungi anak-anak kita.”
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, mengenai larangan media sosial bagi mereka di bawah umur 16 tahun.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg