JAKARTA: Rancangan baru pemerintah Indonesia untuk melibatkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) secara lebih aktif dalam usaha memerangi keganasan telah mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil, yang memberi amaran bahawa langkah itu berisiko menghakis reformasi demokrasi serta mengancam kebebasan awam atas nama keselamatan negara.
Kebimbangan tersebut timbul susulan kewujudan draf Peraturan Presiden (Perpres) yang menggariskan peranan TNI dalam operasi antikeganasan. Draf setebal tujuh halaman itu memperincikan tiga fungsi utama tentera dalam menangani keganasan, iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, yang diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan selain perang, lapor The jakarta Post.
Menurut draf Perpres yang diperoleh media, peranan pencegahan melibatkan aktiviti perisikan, operasi wilayah dan operasi maklumat bagi menangkis potensi ancaman keganasan. Tugas ini akan dilaksanakan oleh “unit operasi khas atau unit sementara TNI yang ditugaskan khusus bagi tujuan tersebut”.
Bagi aspek penguatkuasaan pula, draf itu menyatakan penggunaan kekuatan ketenteraan boleh digerakkan oleh Panglima TNI atas arahan Presiden untuk menangani tindakan keganasan, termasuk ancaman terhadap Presiden dan Naib Presiden, ahli keluarga mereka, bekas pemimpin negara, ketua negara asing yang berkunjung, serta infrastruktur strategik nasional.
Ketua Badan Nasional Pencegahan Terorisme (BNPT), Encik Eddy Hartono, berkata beliau belum melihat draf Perpres berkenaan. Namun, beliau menegaskan bahawa penglibatan TNI dalam operasi antikeganasan adalah selari dengan Undang-Undang Antikeganasan 2018, yang menetapkan bahawa usaha memerangi keganasan merupakan tanggungjawab bersama pelbagai institusi, termasuk TNI.
“Undang-undang tersebut mengklasifikasikan peranan TNI sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan selain perang, dan memerlukan Perpres sekiranya tentera mahu dilibatkan secara rasmi dalam operasi antikeganasan,” katanya, seperti dilaporkan agensi berita Antara.
Menurut Encik Eddy, pemerintah juga sedang merangka satu peraturan berasingan bagi menetapkan status ancaman keganasan di negara itu, termasuk tahap ancaman dan bentuk tindak balas yang sepadan. Di bawah kerangka tersebut, TNI hanya akan digerakkan apabila negara berdepan ancaman pada tahap tinggi.
Namun, rancangan itu ditentang keras oleh gabungan 21 organisasi masyarakat sivil yang memperjuangkan reformasi sektor keselamatan. Mereka berpendapat penglibatan TNI dalam pencegahan dan pemulihan keganasan melangkaui mandat teras tentera yang sepatutnya tertumpu kepada pertahanan negara.
“Penglibatan TNI mesti dihadkan secara ketat hanya untuk menyokong operasi penguatkuasaan apabila keganasan benar-benar mengancam kedaulatan negara, dan hanya dalam keadaan luar biasa yang dibenarkan melalui keputusan presiden,” kata Encik Julius Ibrani daripada Perhimpunan Bantuan Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, yang mewakili gabungan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pengerahan tentera bagi membantu agensi penguatkuasaan undang-undang perlu dianggap sebagai langkah terakhir dan hanya dilakukan dalam situasi darurat.
Pandangan sama disuarakan oleh Encik Dimas Bagus Arya dari Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS), yang berkata peranan TNI dalam antikeganasan sepatutnya terhad kepada ancaman di luar negara.
“TNI wajar dilibatkan hanya dalam situasi seperti rampasan kapal atau pesawat Indonesia di luar negara, atau operasi menyelamatkan warga Indonesia di luar negeri,” katanya. “TNI tidak seharusnya diberi kuasa pencegahan atau penguatkuasaan secara langsung terhadap keganasan domestik. Pengendalian keganasan dalam negara mesti kekal dalam kerangka sistem keadilan jenayah,” tambahnya.
Gabungan masyarakat sivil itu turut memberi amaran bahawa draf Perpres berkenaan membuka ruang kepada peluasan peranan tentera yang terlalu luas dan longgar, khususnya melalui penggunaan istilah “operasi lain” tanpa takrif yang jelas.
Encik Dimas memberi amaran bahawa kerangka sedemikian boleh disalahgunakan untuk menstigmakan pengkritik kerajaan sebagai “pengganas”, sekali gus mengancam gerakan masyarakat sivil termasuk pelajar dan pekerja.
Beliau merujuk kenyataan Presiden Prabowo Subianto semasa protes besar-besaran berkaitan tekanan ekonomi pada Ogos 2025, apabila sebahagian tindakan penunjuk perasaan disifatkan sebagai “pengkhianatan” dan “keganasan”.
Sementara itu, Encik Ardi Manto Adiputra daripada Imparsial mengkritik penggunaan Perpres sebagai asas mengawal peranan TNI dalam antikeganasan. Menurutnya, Undang-Undang TNI dan ketetapan Majlis Permusyawaratan Rakyat tahun 2000 dengan jelas menyatakan bahawa sebarang bantuan tentera dalam tugas keselamatan mesti diatur melalui undang-undang, bukan sekadar peraturan presiden.
Menjawab kritikan tersebut, Setiausaha Negara Encik Prasetyo Hadi menegaskan bahawa perincian peranan TNI dalam antikeganasan masih belum dimuktamadkan. Beliau juga menafikan bahawa Perpres itu telah dikuatkuasakan, sambil menjelaskan bahawa ia masih dalam peringkat perbincangan dalaman.
“Mengapa orang asyik memikirkan perkara ‘bagaimana jika’?” katanya pada 8 Januari, seperti dipetik oleh Kompas.id. “Kita sepatutnya memberi tumpuan kepada substansi.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg