Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas anggota JI tegas pendekatan sederhana kini jadi sandaran hidup

Nov 17, 2025 | 5:30 AM
JI, kembali, masyarakat
Deklarasi Pembubaran Jemaah Islamiyah (JI) dan Kembali ke NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia) dianjurkan oleh Rumah Wasathiyah pada 9 November 2025, bertema, ‘Transformasi Ideologi Eks Jamaah Islamiyah Wilayah Jakarta’, menjadi wadah penting bagi bekas anggota JI untuk memperkukuh semangat kebangsaan dan komitmen terhadap Negara Kesatuan Republik Indonesia. Program itu juga berfungsi sebagai ruang dialog untuk mendorong perubahan ideologi ke arah yang lebih damai, seimbang dan sederhana, seiring usaha berterusan membina kehidupan bernegara yang selaras dengan nilai keamanan dan perpaduan nasional. - Foto BH oleh ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA

Bekas pemimpin kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI) yang kini sudah dibubarkan, giat menjelajah ke seluruh Indonesia bagi menjelaskan secara langsung keputusan mereka membubarkan organisasi itu.

Langkah itu sebelum ini hanya dilakukan secara dalam talian atau dari penjara sejak pembubaran rasmi JI pada Jun 2024.

Dalam satu pertemuan di Bekasi, pinggir timur Jakarta pada 9 November, salah seorang bekas pemimpin JI, Abu Rusydan, mengajak bekas rakan seperjuangan yang masih ragu-ragu tentang pembubaran itu agar bertemu dan berbincang dengannya secara peribadi.

“Jangan bercakap di belakang saya. Ada yang mengatakan keputusan ini tidak selaras dengan ajaran Islam. Kalau begitu, mari kita bincangkan ajaran Islam itu bersama,” katanya kepada hadirin.

Abu Rusydan menegaskan bahawa sejak dibebaskan, kegiatannya kini tertumpu kepada dialog dan penerangan mengenai perubahan ideologi JI.

“Inilah rutin harian saya sekarang sejak dibebaskan,” katanya kepada Berita Harian di luar acara tersebut.

Beliau dibebaskan bersyarat dari penjara di Semarang selepas menjalani hukuman empat tahun satu bulan daripada hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan pada September 2022.

Abu Rusydan turut mengakui masih wujud keraguan dalam kalangan bekas anggota JI terhadap kredibiliti Presiden Prabowo Subianto, dan persoalan tentang kewajipan mematuhi seorang pemimpin.

“Namun kami yakin, berdasarkan kenyataannya sendiri (Prabowo), beliau seorang pemimpin yang sentiasa berusaha menjalankan tuntutan agama dengan sebaik mungkin.

“Sudah tentu situasinya berbeza daripada kami, dan kami memilih untuk melihatnya dengan pandangan positif,” ujarnya.

Turut hadir ialah Para Wijayanto, bekas amir terakhir JI, yang dibebaskan bersyarat pada Mei 2025 selepas menjalani sebahagian daripada hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan pada Julai 2020.

Ketika ditemui, Para berkata sejak dibebaskan, beliau aktif menjelajah ke beberapa bandar di seluruh Indonesia termasuk Pekanbaru di Riau, untuk menggalakkan pembubaran rasmi JI.

“Melalui pertemuan seperti ini, kami mahu menanamkan kefahaman terus kepada ikhwan-ikhwan supaya mereka menerima perubahan ini atas dasar ilmu dan kesedaran sendiri.

“Perubahan itu mesti lahir dari dalam diri mereka, bukan hanya kerana mengikut tokoh tertentu,” katanya.

Beliau menambah bahawa jika mereka hanya mengikut pemimpin, pendirian mereka juga akan berubah sekiranya pemimpin itu berubah.

“Kami mahu bekas anggota JI benar-benar konsisten dengan perubahan sikap mereka,” tegasnya.

Ketua Program Kajian Pengganasan di Universiti Indonesia, Encik Muhammad Syauqillah, yang turut hadir, berkata pertemuan seperti itu masih penting kerana proses transformasi ideologi bekas anggota JI masih berjalan.

“Walaupun sudah ada pengisytiharan dan siri pertemuan untuk mengesahkan pembubaran, kita perlu terus mengukuhkan keyakinan mereka supaya kesetiaan kepada negara benar-benar mantap dan bebas daripada ideologi JI,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau menambah, proses meninggalkan ideologi pelampau bukanlah mudah dan memerlukan masa.

“Dulu, mereka mengambil sekurang-kurangnya dua tahun untuk diterima menjadi anggota JI, jadi tentu mengambil masa juga untuk meninggalkan fahaman itu sepenuhnya,” jelas beliau.

Bekasi menjadi lokasi penting bagi Abu Rusydan kerana inilah penampilan awam pertamanya di hadapan bekas anggota JI sejak pembebasan bersyarat.

Kehadiran tokoh-tokoh utama JI dalam sebuah forum seperti itu menunjukkan kesungguhan mereka untuk meneguhkan keputusan membubarkan organisasi tersebut.

“Sekurang-kurangnya mereka menunjukkan kepada umum bahawa selepas pembebasan Abu Rusydan, komitmen mereka masih kukuh dan mereka benar-benar melaksanakannya,” ujar Encik Syauqillah.

Para turut menegaskan kembali komitmen mereka untuk mengubah ideologi daripada ekstrem kepada sederhana, dan berkata data yang dikumpul selepas setiap sesi dialog menunjukkan penerimaan positif dalam kalangan bekas ahli.

“Daripada tinjauan terhadap 800 responden terkini, 97 peratus telah menerima perubahan ideologi ini,” katanya.

Beliau menutup pertemuan itu dengan menegaskan prinsip yang kini menjadi pegangan mereka:

“Kami tidak akan berlebihan dan tidak akan kekurangan. Wasathiyah – kesederhanaan adalah pilihan kami, dan kami akan hidup dengan pilihan ini sepanjang hayat,” kata Para yang berusia 60 tahun. – ISMIRA LUTFIA TISNADIBRATA.

“Kami tidak akan berlebihan dan tidak akan kekurangan. Wasathiyah – kesederhanaan adalah pilihan kami, dan kami akan hidup dengan pilihan ini sepanjang hayat.”
Para Wijayanto, bekas amir terakhir, Jemaah Islamiyah (JI). 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg