Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia wajibkan Bahasa Inggeris di sekolah rendah mulai 2027
Indonesia wajibkan Bahasa Inggeris di sekolah rendah mulai 2027
Indonesia wajibkan Bahasa Inggeris di sekolah rendah mulai 2027
JAKARTA: Pemerintah Indonesia merancang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib di sekolah rendah bermula tahun akademik 2027, dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan serta mempersiapkan pelajar menghadapi persaingan sejagat.
Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah Indonesia, Encik Abdul Mu’ti, berkata pelaksanaan itu akan bermula untuk murid tahun tiga sekolah rendah di seluruh negara.
Beliau mengumumkan dasar itu ketika merasmikan program pemulihan pendidikan di sekolah vokasional awam di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, pada 18 Mei.
“Mulai 2027, Bahasa Inggeris akan menjadi mata pelajaran wajib bermula dari tahun tiga sekolah rendah,” katanya.
Menurut Encik Abdul Mu’ti, kementeriannya sedang menyediakan pelbagai langkah sokongan bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk latihan besar-besaran kepada guru sekolah rendah.
“Kami sedang menyiapkan bagaimana program ini boleh dilaksanakan menerusi latihan Bahasa Inggeris untuk guru sekolah rendah,” katanya.
Menurutnya, latihan itu akan diberikan secara berperingkat kepada guru di seluruh Indonesia.
“Latihan akan dilaksanakan secara beransur-ansur kepada guru sekolah rendah di seluruh Indonesia,” ujarnya.
Sebelum ini, Bahasa Inggeris di kebanyakan sekolah awam Indonesia hanya diajar secara tidak rasmi atau sebagai mata pelajaran tambahan di peringkat sekolah rendah, manakala status wajib biasanya bermula di sekolah menengah rendah.
Langkah terkini pemerintah itu dilihat sebagai perubahan besar dalam sistem pendidikan negara berkenaan yang mahu memperkenalkan penguasaan bahasa Inggeris lebih awal kepada kanak-kanak.
Menurut Encik Abdul Mu’ti, dasar itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas pemerintah untuk meningkatkan mutu pendidikan dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran abad ke-21.
“Dengan penguasaan bahasa Inggeris lebih awal, pelajar Indonesia diharapkan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha pemulihan dan pendigitalan sekolah bukan matlamat akhir pemerintah, sebaliknya sebahagian daripada usaha memperkukuh mutu perkhidmatan pendidikan.
“Pendigitalan dan pemulihan sekolah bukan tujuan utama, tetapi sebahagian usaha meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan sumber manusia, terutama kesiapsiagaan guru, menjadi tumpuan utama pemerintah sebelum dasar itu dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara.
“Kementerian juga memberi perhatian kepada peningkatan kelayakan dan keupayaan guru,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika Indonesia giat memperbaharui sistem pendidikannya bagi memenuhi tuntutan dunia moden dan ekonomi digital yang semakin berkembang.
Pemerintah berharap penguasaan bahasa Inggeris sejak usia muda dapat membantu generasi baharu Indonesia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, pendidikan antarabangsa dan pasaran pekerjaan sejagat.
Langkah itu juga dijangka memberi cabaran baharu kepada sekolah, terutama di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekurangan guru yang mahir bahasa Inggeris dan kemudahan pendidikan yang tidak seimbang.
Namun, pemerintah menegaskan persiapan sedang dilakukan secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dapat berjalan lancar di seluruh Indonesia menjelang 2027. – Agensi berita.
