Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia susun semula program makanan percuma, jimat $3b susulan kenaikan harga minyak
Indonesia susun semula program makanan percuma, jimat $3b susulan kenaikan harga minyak
Indonesia susun semula program makanan percuma, jimat $3b susulan kenaikan harga minyak
JAKARTA: Pemerintah Indonesia menetapkan Program Makanan Bergizi Percuma (MBG) akan diagihkan selama lima hari seminggu bermula 31 Mac, selaras dengan jadual persekolahan, dalam langkah penyesuaian bagi memastikan keberkesanan serta kelestarian program tersebut.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penyelarasan Peringkat Tertinggi bersama Presiden Prabowo Subianto pada 28 Mac, sebagai sebahagian usaha menyesuaikan perbelanjaan negara susulan tekanan ekonomi global.
Walaupun pengagihan dikurangkan kepada lima hari, pemerintah mengekalkan pemberian makanan selama enam hari seminggu di kawasan Tertinggal, Terdepan dan Terluar (3T), serta wilayah dengan kadar kekurangan tumbesaran kanak-kanak (stunting) yang tinggi.
Ketua Badan Gizi Nasional (BGN), Encik Dadan Hindayana, berkata langkah ini penting bagi memastikan kanak-kanak di kawasan berisiko terus menerima pemakanan mencukupi setiap hari.
“Pemberian MBG pada hari Sabtu di kawasan berisiko terbantut adalah langkah strategik bagi memastikan kanak-kanak tidak terlepas daripada keperluan nutrisi harian,” katanya.
Penentuan kawasan tersebut akan dibuat berdasarkan data Tinjauan Status Pemakanan Indonesia (SSGI) 2024, dengan tumpuan kepada wilayah di Timur Indonesia, Sumatera dan Papua yang masih mencatatkan kadar kekurangan tumbesaran kanak-kanak yang tinggi.
Penstrukturan semula program ini dijangka menjimatkan sekitar 40 trilion rupiah ($3 bilion), menurut Timbalan Ketua BGN, Cik Nanik Sudaryati Deyang.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi pemerintah mengurangkan tekanan terhadap ekonomi negara susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak global meningkat.
Jurucakap Presiden, Encik Prasetyo Hadi, sebelum ini memaklumkan pemerintah turut merancang penjimatan lebih luas bagi memastikan kestabilan ekonomi, termasuk kemungkinan memperuntuk sehingga 80 trilion rupiah sebagai langkah perlindungan.
Walaupun terdapat usaha penjimatan, Presiden Prabowo menegaskan program MBG yang dianggarkan menelan belanja 335 trilion rupiah pada 2026 akan diteruskan, dengan penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan.
Setakat ini, program tersebut telah memberi manfaat kepada kira-kira 61 juta penerima, termasuk kanak-kanak, bayi serta wanita hamil dan menyusu.
BGN turut menegaskan kepentingan integriti data dalam pelaksanaan program bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.
“Kami tidak mahu ada kanak-kanak yang tercicir daripada mendapatkan pemakanan yang mencukupi,” kata Encik Dadan.
Agensi tersebut akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pengagihan dilakukan secara tepat dan berkesan.
Dalam masa sama, pemerintah turut mengambil perhatian terhadap beberapa insiden keracunan makanan sejak pelaksanaan program pada 2025, dengan usaha dipertingkat untuk memastikan standard keselamatan dan kebersihan makanan terus terjamin.
Penyesuaian ini kata Encik Dadan mencerminkan pendekatan seimbang pemerintah dalam mengekalkan kebajikan rakyat, khususnya kanak-kanak, sambil memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan dalam menghadapi cabaran global. – Agensi berita.

