SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Indonesia perketat peraturan vape mulai Jul

Indonesia perketat peraturan vape mulai Jul

Peraturan bakal rangkum had umur, kawalan iklan, piawaian kandungan produk
Apr 16, 2026 | 12:42 PM

Indonesia perketat peraturan vape mulai Jul

vape indonesia
Sebuah kedai vape di Denpasar, Bali. Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia mencadangkan larangan menyeluruh terhadap rokok elektronik, termasuk cecair vape, sebagai sebahagian daripada rang undang-undang berkaitan narkotik dan bahan psikotropik negara itu. - Foto EPA

JAKARTA: Indonesia akan melaksanakan peraturan lebih ketat terhadap rokok elektronik atau vape mulai Julai ini, dalam usaha memperkukuh perlindungan kesihatan awam.

Langkah itu diperkenalkan di bawah Peraturan Pemerintah No. 28 Tahun 2024 yang menyelaraskan kawalan vape dengan produk tembakau konvensional.

Ketua Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam Kementerian Kesihatan, Encik Aji Muhawarman, berkata peraturan baharu itu merangkumi had umur, kawalan iklan serta piawaian kandungan produk.

“Peraturan ini menetapkan sekatan umur, kawalan pengiklanan termasuk di media sosial, serta standard kandungan produk vape,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan vape kini dilarang bagi individu di bawah umur 21 tahun.

Pada masa sama, pengiklanan produk tersebut akan diperketat, khususnya di platform digital yang sering menyasarkan golongan muda.

Selain itu, produk vape diwajibkan mematuhi had maksimum kandungan nikotin dan tidak boleh mengandungi bahan tambahan yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Pengilang juga perlu memaparkan amaran kesihatan bergambar, selain larangan penggunaan vape di kawasan larangan merokok.

“Kami sedang menyediakan garis panduan pelaksanaan termasuk peraturan kementerian dan keputusan rasmi sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya pada Julai,” tambah Encik Muhawarman.

Kementerian turut giat menjalankan kempen kesedaran bersama organisasi kesihatan bagi mendidik orang ramai mengenai risiko penggunaan vape.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Badan Narkotik Nasional (BNN), Encik Suyudi Ario Seto, mendedahkan hasil ujian makmal terhadap 341 sampel cecair vape yang menunjukkan penemuan membimbangkan.

“Sebanyak 11 sampel mengandungi kanabinoid sintetik, satu mengandungi methamphetamine, manakala 23 lagi mengandungi etomidate,” katanya kepada Parlimen.

 BNN ketika itu mengusulkan larangan terhadap vape atau rokok elektronik di bawah undang-undang narkotik dan bahan psikotropik negara

Etomidate merupakan bahan anestetik yang kini diklasifikasikan sebagai narkotik kategori II di Indonesia.

Menurut wadah berita Jakarta Post, bahan narkotik Kategori II bermakna ia hanya boleh digunakan sebagai ubat pilihan terakhir di bawah pemantauan perubatan yang ketat disebabkan oleh ciri-cirinya yang boleh menimbulkan ketagihan.

Encik Seto memberi amaran bahawa hukuman di bawah undang-undang kesihatan sedia ada masih ringan, sekali gus menyukarkan usaha membendung penyalahgunaan.

Beliau turut mencadangkan larangan penuh terhadap vape, dengan menyatakan beberapa negara Asean seperti Vietnam, Thailand, Singapura, Brunei dan Laos telah melaksanakan langkah tersebut.

“Jika vape diharamkan, peredaran bahan kimia terlarang dapat dikurangkan dengan ketara,” katanya, sambil membandingkan peranti itu dengan alat yang digunakan untuk menghisap dadah.

Sementara itu, pakar perubatan paru-paru dari Universiti Indonesia, Encik Faisal Yunus, menyifatkan langkah memperketat peraturan sebagai tepat dan perlu.

“Peraturan perlu diperkukuh untuk mengurangkan kadar penggunaan dan melindungi kumpulan rentan,” katanya.

Menurut beliau, akses mudah kepada produk vape, variasi perisa yang menarik serta strategi pemasaran yang menyasarkan golongan muda masih menjadi cabaran utama.

Dengan penguatkuasaan peraturan baharu ini, kerajaan Indonesia dilihat mengambil pendekatan lebih tegas dalam menangani penggunaan vape yang semakin meluas, khususnya dalam kalangan belia.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg