I
JAKARTA: Indonesia mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan penilaian menyeluruh terhadap mekanisme keselamatan pasukan pengaman di Lebanon susulan kematian seorang lagi anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) akibat serangan tentera Israel.

Pasukan Interim PBB di Lebanon (UNIFIL) pada 24 April mengumumkan kematian Koperal Rico Pramudia, 31 tahun, selepas menerima rawatan intensif di Hospital St George, Beirut, akibat kecederaan serius yang dialami dalam serangan berhampiran bandar Aadchit Al Qusayr pada 29 Mac.

Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan berasingan memaklumkan pemerintah telah berkerja sama rapat dengan UNIFIL, pihak berkuasa Lebanon dan pasukan perubatan bagi memastikan rawatan terbaik diberikan, namun mangsa tidak dapat diselamatkan.

Pemerintah Indonesia mengecam keras serangan tersebut dan menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah jenayah perang. “Keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman PBB tidak boleh dirunding,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Indonesia turut menggesa siasatan segera, menyeluruh dan telus dilakukan, serta menuntut pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Selain itu, Jakarta menggesa PBB memperkukuh langkah perlindungan terhadap anggota pengaman, termasuk melalui penilaian semula secara komprehensif terhadap aspek keselamatan dan langkah pengurangan risiko di kawasan operasi UNIFIL.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya I DPR, Encik Sukamta, menyeru PBB menilai semula sepenuhnya sistem perlindungan bagi “Blue Helmets”, iaitu gelaran bagi pasukan pengaman PBB. “Perlindungan anggota PBB mesti menjadi keutamaan utama dan tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut menggesa pemerintah menjalankan semakan menyeluruh terhadap tahap kesiapsiagaan dan keselamatan anggota TNI yang ditempatkan di luar negara.

Dengan kematian Koperal Rico, jumlah anggota pengaman PBB yang terkorban sejak akhir Mac meningkat kepada enam orang, termasuk empat warga Indonesia.

Sebelum ini, Koperal Farizal Rhomadhon terkorban serta-merta dalam serangan sama, diikuti Kapten Zulmi Aditya Iskandar dan Sarjan Muhammad Nur Ichwan yang maut dalam insiden berasingan sehari kemudian.

Dua lagi korban melibatkan anggota tentera Perancis dalam satu serangan hendap pada 18 April. Selain itu, tujuh anggota pengaman Indonesia dilaporkan cedera dalam beberapa insiden sejak akhir Mac.

Jurucakap TNI, Mejar Jeneral Aulia Dwi Nasrullah, berkata dua anggota yang cedera masih menerima rawatan di hospital.

UNIFIL menegaskan bahawa semua pihak mesti mematuhi undang-undang antarabangsa bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman. “Serangan terhadap pasukan pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan UNIFIL.

Walaupun insiden keselamatan semakin membimbangkan, PBB masih menilai pilihan untuk mengekalkan kehadiran pasukan pengaman di Lebanon selepas mandat UNIFIL tamat hujung tahun 2026 ini.

Setiausaha Agung Muda PBB bagi Operasi Pengaman, Encik Jean-Pierre Lacroix, berkata pihaknya sedang berunding dengan semua pihak berkaitan. “Mereka di Lebanon jelas mahu kehadiran PBB diteruskan,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan bahawa jumlah pasukan mungkin dikurangkan.

Di Indonesia, tekanan semakin meningkat agar pemerintah semula penyertaan dalam misi UNIFIL, dengan sebahagian pihak mencadangkan penggantungan penuh.

Namun, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya I DPR dari Parti Golkar, Dave Laksono, menegaskan sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. “Keputusan perlu berdasarkan penilaian menyeluruh kerana Indonesia tetap komited kepada peranan dalam menjaga keamanan dunia,” katanya.

TNI sebelum ini turut menyatakan kesediaan untuk mengurangkan jumlah anggota jika keadaan keselamatan terus merosot. Indonesia merupakan penyumbang terbesar kepada UNIFIL dengan kira-kira 755 anggota ditempatkan di Lebanon.

Dalam satu hantaran di media sosial, TNI menyifatkan pengorbanan Koperal Rico sebagai inspirasi dalam usaha mengekalkan keamanan dunia. “Dedikasi beliau akan menjadi inspirasi dalam menjaga keamanan global,” menurut kenyataan itu. - Agensi berita