Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia dapat bantuan India pulihara Candi Prambanan
Indonesia dapat bantuan India pulihara Candi Prambanan
Projek itu terhenti sejak 4 tahun lalu selepas projek terakhir pemulihan sebuah candi perwara selesai pada 2022
Indonesia dapat bantuan India pulihara Candi Prambanan
Indonesia bakal bekerjasama dengan India bagi memulihkan salah satu kompleks kuil Hindu terbesar di Asia Tenggara iaitu Candi Prambanan, termasuk meneruskan projek pemulihan sebahagian daripada 224 candi kecil atau candi perwara yang mengelilingi tiga candi utama di kawasan itu.
Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, berkata Jakarta menyambut baik cadangan India untuk mengambil bahagian dalam projek tersebut yang terhenti sejak empat tahun lalu selepas projek terakhir pemulihan sebuah candi perwara selesai pada 2022.
“Kami mengadakan beberapa perbincangan dalam sektor budaya termasuk hasrat India untuk menyertai proses pemulihan Candi Prambanan. Kami mengalu-alukan idea itu,” kata Encik Sugiono selepas bertemu rakan sejawatannya dari India, Encik Subrahmanyam Jaishankar, di New Delhi pada 7 Jun.
Prambanan ialah kompleks kuil Hindu terbesar di Indonesia yang dibina pada abad ke-9 dan terletak di daerah Sleman, kira-kira 17 kilometer di timur Yogyakarta di sempadan wilayah Jawa Tengah.
Selain menjadi destinasi pelancongan budaya utama di rantau ini, kompleks itu juga merupakan tempat ibadah penting bagi masyarakat Hindu di Indonesia yang berjumlah sekitar 4.72 juta orang atau 1.69 peratus daripada keseluruhan penduduk negara itu seramai 288.3 juta orang.
Penjajah Eropah di Jawa menemui semula runtuhan kuil itu pada 1733 tetapi kawasan tersebut terbiar sepanjang sebahagian besar abad ke-19.
Banyak batu candi diambil penduduk tempatan untuk membina rumah, manakala penjajah Belanda membawa pulang patung dan batu ukiran untuk dijadikan hiasan rumah.
Bagaimanapun, Belanda memulakan projek pemulihan pada 1918 bagi membaik pulih candi tertinggi antara tiga candi utama itu iaitu candi setinggi 47 meter yang didedikasikan kepada Dewa Shiva.
Projek tersebut selesai dan dirasmikan Presiden pertama Indonesia, Sukarno, pada 1953.
Pemerintah Indonesia kemudian meneruskan pemulihan dua lagi candi utama yang didedikasikan kepada Dewa Brahma dan Dewa Vishnu sebelum siap sepenuhnya pada 1993.
Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengiktiraf Candi Prambanan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1991.
Menurut pemandu pelancong di kompleks itu, Encik Kukuh Muwardi, projek pemulihan terakhir melibatkan pembinaan semula dua candi perwara.
“Kami sedang menyenaraikan 10 candi perwara di sektor timur laut untuk dibina semula. Kami menyusun dan mencantumkan batu-batu itu seperti menyusun teka-teki dan semua kerja dilakukan secara manual,” katanya kepada Berita Harian ketika lawatan pada 1 Jun.
Menurut beliau, pembinaan semula sebuah candi perwara boleh mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.
“Jika kami dapat menyiapkan sebuah candi setiap dua tahun, ia mungkin mengambil sekurang-kurangnya 400 tahun untuk memulihkan semuanya, dan itu juga bergantung kepada kesinambungan projek serta ketersediaan dana,” katanya.
Seorang anggota Suruhanjaya X Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia yang memantau sektor budaya dan pendidikan sebelum mencadangkan peruntukan belanjawan negara dipercepatkan dengan jumlah antara puluhan bilion rupiah hingga 1 trilion rupiah ($83 juta) bagi mempercepat projek pembinaan semula candi perwara.
“Kita boleh mempercepat pembiayaan dengan menyediakan peruntukan besar lebih awal. Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa jumlah besar dibelanjakan untuk kuil, tetapi ini adalah sebahagian penting sejarah negara dan destinasi pelancongan antarabangsa,” kata ahli politik Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Esti Wijayati, semasa lawatan ke kompleks itu pada 22 Mei.
Kompleks Prambanan juga merupakan antara destinasi warisan budaya utama Indonesia yang diuruskan syarikat milik negara, InJourney Destination Management.
Syarikat itu membangunkan kawasan Prambanan dengan menyeimbangkan usaha pemuliharaan warisan sejarah dan budaya bersama pembangunan pelancongan serta penglibatan masyarakat setempat.
Awal tahun 2026 ini, India menghantar pasukan dari Jabatan Ukur Arkeologi India (ASI) untuk lawatan awal ke kompleks candi itu.
Pasukan berkenaan menyimpulkan bahawa projek tersebut memerlukan dokumentasi teliti dan pengelasan struktur secara terperinci.
Mereka turut bertemu Menteri Kebudayaan Indonesia, Encik Fadli Zon, di Jakarta pada 16 Mac dan mencadangkan fasa awal projek memberi tumpuan kepada dokumentasi menyeluruh struktur candi serta semua komponen batu yang ada.
Mereka juga mencadangkan projek perintis bagi memulihkan satu atau dua candi perwara terlebih dahulu sebelum kerja diperluaskan ke struktur lain pada skala lebih besar.
“Kerjasama ini dialu-alukan supaya kerja pemuliharaan candi sampingan dapat dipercepat sambil terus mematuhi prinsip pemeliharaan warisan budaya.
“Kami juga terbuka menggunakan kemajuan teknologi termasuk pendekatan digital dan kecerdasan buatan bagi membantu mengenal pasti serta memasang semula komponen batu candi,” kata Encik Fadli.
