JAKARTA: Indonesia mencatat lonjakan kes malaria tertinggi pada 2025, didorong oleh pergerakan penduduk dan perubahan iklim yang menghambat usaha pembasmian penyakit itu, terutama di Papua.

Kementerian Kesihatan merekod 706,000 kes malaria di seluruh Indonesia – satu peningkatan berbanding 543,000 kes pada 2024 dan 418,000 kes pada 2023.

“Pada 2025, kami menyaksikan jumlah kes tertinggi, sebahagian besarnya didorong oleh pergerakan penduduk dan keadaan cuaca yang menyumbang kepada peningkatan kes di semua wilayah,” ujar Pengarah Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan, Cik Prima Yosephine, dalam satu taklimat akhbar pada 30 April.

Meskipun 412 dari 514 daerah di seluruh negara telah diisytiharkan bebas malaria, penyakit itu kekal berleluasa di wilayah paling timur, dengan lebih 95 peratus daripada semua kes dilaporkan dikesan di enam wilayah di Papua.

Usaha pembasmian di Papua terus berdepan cabaran disebabkan oleh kawasan hutan yang luas, kata Cik Prima.

Beliau menjelaskan, ramai penduduk tinggal dan bekerja di kawasan hutan Papua.

Keadaan geografi yang sukar menyukarkan pihak berkuasa kesihatan untuk menawarkan perkhidmatan dan menyediakan prasarana jagaan kesihatan.

Malaria ialah penyakit berjangkit yang berpunca daripada parasit Plasmodium, yang merebak melalui gigitan nyamuk Anopheles betina.

Nyamuk itu hanya memerlukan sedikit air untuk larva membiak, menjadikan paya tropika dan hutan hujan Papua sebagai habitat ideal untuk nyamuk Anopheles.

Isu dana kekal menjadi halangan utama kerana peruntukan pemerintah untuk kempen pembasmian malaria telah dipotong berikutan langkah penjimatan Presiden Prabowo Subianto.

Ia menyebabkan kementerian perlu bergantung kepada sokongan lain, termasuk daripada organisasi dermawan.

“Geografi yang mencabar menjadikan pembiayaan lebih mahal. Dengan dasar penjimatan semasa, adalah penting untuk merangka pembiayaan kawalan malaria yang berkesan,” tambah Cik Prima.

Di luar Papua, penularan penyakit itu sebahagian besarnya didorong oleh pemindahan penduduk, terutama mereka yang mengembara dari kawasan endemik malaria dan membawa parasit tersebut apabila beralih ke kawasan lain.

Contohnya ialah daerah Rokan Hilir di Riau, yang diisytiharkan bebas malaria pada 2018 tetapi mencatat kes baharu setahun kemudian.

Wabak itu awalnya terkawal, namun, kes melonjak melepasi 2,000 pada 2024.

Ini mendorong pentadbiran tempatan mengisytiharkan darurat malaria berkali-kali hingga awal 2026.

Cik Prima turut menuding perubahan iklim sebagai pemangkin penularan malaria.

Peningkatan suhu dan pola hujan tidak menentu akibat pemanasan sejagat mencetuskan hujan lebat yang kerap, sekali gus mewujudkan lebih banyak sarang nyamuk dan meningkatkan risiko penularan.

Bagi mencapai sasaran sifar malaria menjelang 2030, Kementerian Kesihatan telah memperkukuh pengawasan demi pengesanan kes yang lebih berkesan.

Ia turut meningkatkan rawatan dengan pengedaran ubat antimalaria percuma, memperhebat kawalan nyamuk, dan menggalak perubahan tingkah laku masyarakat.

Namun, lonjakan kes pada 2025 mendedahkan kelemahan dasar, khususnya kegagalan menyepadukan kesihatan awam dengan strategi alam sekitar, tenaga, dan sumber manusia bagi menangani malaria, ujar pakar epidemiologi, Dr Dicky Budiman. – Agensi berita.