Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia catat kematian pertama berkaitan ‘super flu’

Penyebaran mungkin dikaitkan dengan musim sejuk di Hemisfera Utara, terutamanya di Amerika Syarikat
Jan 10, 2026 | 7:20 PM
Istilah ‘super flu’ merujuk kepada varian influenza A H3N2 yang dikenali sebagai subclade K, yang telah merebak di seluruh dunia sejak suku terakhir 2025.
Istilah ‘super flu’ merujuk kepada varian influenza A H3N2 yang dikenali sebagai subclade K, yang telah merebak di seluruh dunia sejak suku terakhir 2025. - Foto JAKARTA POST/ASIA NEWS NETWORK

BANDUNG: Sebuah hospital di Bandung, Jawa Barat, telah melaporkan kematian pertama di Indonesia yang dikaitkan dengan apa yang dipanggil ‘super flu’, sedang pihak berkuasa kesihatan meningkatkan pengawasan untuk membendung virus tersebut.

Istilah ‘super flu’ merujuk kepada varian influenza A H3N2 yang dikenali sebagai subclade K, yang telah merebak di seluruh dunia sejak suku terakhir 2025.

Subclade K, yang mewakili evolusi ketara dalam virus H3N2, pertama kali dikenal pasti oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat pada Ogos 2025 dan sejak itu telah dikesan di lebih 80 negara.

Ketua Pasukan Penyakit Berjangkit Baru dan Muncul Semula di Hospital Wilayah Hasan Sadikin di Bandung, Dr Yovita Hartantri, berkata hospital itu merawat 10 pesakit dengan subclade K influenza A antara September dengan November 2025.

“Antara 10 pesakit, terdapat dua bayi berumur sembilan bulan dan setahun, seorang kanak-kanak berumur 11 tahun, dan majoritinya adalah orang dewasa berumur 20 hingga 60 tahun, dengan dua pesakit berumur lebih 60 tahun,” katanya pada 8 Januari.

Beliau berkata pesakit menunjukkan pelbagai gejala, dengan sekurang-kurangnya tiga pesakit mengalami komplikasi teruk.

“Seorang pesakit yang dimasukkan ke unit jagaan rapi telah meninggal dunia, tetapi kematian itu dikaitkan dengan pelbagai penyakit lain, termasuk strok, masalah jantung dan jangkitan buah pinggang.

“Kita tidak boleh menyatakan bahawa virus itu sahaja yang menyebabkan kematiannya kerana pesakit juga mempunyai beberapa penyakit lain,” kata Dr Yovita.

Menurutnya, Hospital Hasan Sadikin telah menyaksikan lonjakan kes influenza A sejak Ogos 2025, yang memuncak pada Oktober sebelum menurun secara beransur-ansur pada November.

Di hospital itu, influenza A menyumbang kira-kira 30 peratus daripada semua penyakit influenza dan jangkitan pernafasan akut, manakala subclade K membentuk kira-kira 34 peratus pesakit yang disahkan positif influenza A.

Dr Yovita berpandangan bahawa penyebaran apa yang dipanggil ‘super flu’ mungkin dikaitkan dengan musim sejuk di Hemisfera Utara, terutamanya di Amerika Syarikat.

Pengarah perkhidmatan perubatan dan kejururawatan di Hospital Hasan Sadikin, Dr Iwan Abdul Rachman, berkata simptom ‘super flu’ adalah serupa dengan selesema biasa tetapi secara amnya lebih teruk dan berpanjangan.

Menurut penilaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan data epidemiologi yang ada, subclade K tidak dikaitkan dengan peningkatan keterukan penyakit.

Keadaan klinikalnya kekal serupa dengan influenza bermusim yang lain.

Simptom-simptom biasa termasuk demam, batuk, hidung tersumbat atau hidung berair, sakit kepala, sakit tekak, keletihan dan selesema.

Dari Ogos hingga Disember 2025, Indonesia mengesahkan 62 kes ‘super flu’ di lapan wilayah, dengan jumlah tertinggi dilaporkan di Jawa Timur, Kalimantan Selatan dan Jawa Barat.

Kebanyakan kes dilaporkan dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg