Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia berdepan ancaman jadi hab baharu jenayah siber rentas negara
Indonesia berdepan ancaman jadi hab baharu jenayah siber rentas negara
Indonesia berdepan ancaman jadi hab baharu jenayah siber rentas negara
JAKARTA: Indonesia kini berdepan risiko menjadi pusat operasi baharu bagi sindiket perjudian dalam talian dan penipuan siber rentas negara susulan tindakan keras pihak berkuasa di beberapa negara Indochina seperti Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.
Amaran itu dikeluarkan Polis Nasional Indonesia selepas beberapa serbuan besar dilakukan di Jakarta dan Batam membabitkan ratusan warga asing dipercayai terlibat dalam operasi jenayah siber antarabangsa.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kemampuan Indonesia mengawal kemasukan warga asing, kelemahan pemantauan visa serta ancaman jenayah digital yang kian kompleks dan terancang.
Setiausaha Polis Antarabangsa (Interpol) Indonesia, Brigedier Jeneral Untung Widyatmoko, berkata trend perpindahan operasi sindiket ke Indonesia semakin jelas selepas pusat penipuan di negara Indochina mula diserbu pihak berkuasa tempatan.
“Selepas tindakan keras berjaya dilakukan di negara-negara itu, operasi mereka dilihat mula berpindah ke Indonesia,” katanya dalam sidang media di Jakarta Barat.
Kenyataan itu dibuat selepas polis menyerbu sebuah bangunan pejabat di kawasan Hayam Wuruk, Jakarta Barat, yang dipercayai menjadi pusat operasi perjudian dalam talian rentas negara.
Dalam serbuan pada 7 Mei itu, polis menahan 321 warga asing termasuk 228 warga Vietnam dan 57 warga China.
Turut ditahan ialah warga Myanmar, Laos, Thailand, Malaysia dan Kemboja.
Polis turut menemui sekurang-kurangnya 75 domain dan laman web perjudian dalam talian daripada peranti elektronik yang dirampas.
Selain itu, pihak berkuasa merampas wang tunai sebanyak 1.9 bilion rupiah ($149,000); 53.82 juta dong Vietnam ($2,700); dan AS$10,210 ($13,100).
Pengarah Jenayah Am Badan Siasatan Jenayah Polis Republik Indonesia (Bareskrim), Brigedier Jeneral Wira Satya Triputra, berkata setakat ini 275 individu sudah dinamakan sebagai suspek atas kesalahan perjudian haram dan pengubahan wang haram.
“Kami masih menjalankan analisis forensik digital, menjejaki aliran kewangan, mengesan pelayan dan mengenal pasti penaja yang membawa warga asing ini masuk ke Indonesia,” katanya.
Serbuan di Jakarta berlaku sehari selepas satu lagi operasi besar di Batam, Kepulauan Riau, apabila pihak imigresen menahan 210 warga asing yang didakwa menjalankan penipuan pelaburan dari sebuah apartmen di Lubuk Baja.
Menurut Brigedier Jeneral Untung, kedua-dua kes itu menunjukkan pola baharu jenayah siber rentas negara yang semakin berkembang di Indonesia.
Menurutnya, selain perjudian dalam talian, pihak berkuasa turut mengesan kegiatan penipuan cinta, pelaburan palsu dan pelbagai bentuk penipuan digital lain.
“Trend ini dapat dilihat melalui serbuan di Surabaya, Denpasar, Surakarta, Yogyakarta, Batam, Sukabumi dan Bogor,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pelayan digital yang sebelum ini berpangkalan di pusat jenayah siber seperti Sihanoukville dan Poipet di Kemboja; atau Myawaddy di Myanmar kini mula dipindahkan ke Indonesia.
Fenomena itu menunjukkan sindiket antarabangsa semakin melihat Indonesia sebagai lokasi strategik baharu untuk menjalankan operasi mereka.
Selain Indonesia, operasi jenayah siber rentas negara turut dilaporkan mula beralih ke Filipina, Timor-Leste, Dubai di Amiriah Arab Bersatu dan Afrika Selatan.
Lebih membimbangkan ialah sebahagian besar warga asing terbabit memasuki Indonesia menggunakan kemudahan bebas visa atau visa semasa ketibaan.
Siasatan awal mendapati ramai daripada mereka tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Perkara itu menimbulkan persoalan mengenai kelemahan sistem pemantauan imigresen dan kemampuan pihak berkuasa mengesan pergerakan warga asing berisiko tinggi.
Brigedier Jeneral Untung berkata pihak polis sudah meminta Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan memperketat pemantauan terhadap warga asing yang dikaitkan dengan jenayah rentas negara.
Beliau turut menegaskan bahawa ancaman itu tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh polis semata-mata.
“Fenomena ini berkembang sangat pantas dan memerlukan kita duduk bersama serta menyelaraskan usaha melalui satu pasukan petugas khas,” katanya.
Interpol Indonesia kini merancang bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani ancaman berkenaan.
Dari sudut keselamatan serantau, perkembangan itu menunjukkan bagaimana jenayah siber kini semakin mudah berpindah merentasi sempadan apabila tekanan penguatkuasaan meningkat di sesuatu negara.
Sindiket bukan sahaja memindahkan operasi fizikal mereka, malah turut memindahkan pelayan digital, rangkaian kewangan dan pekerja asing ke lokasi baharu yang dianggap lebih longgar dari sudut pengawasan.
Indonesia menjadi sasaran kerana mempunyai pasaran Internet besar, kedudukan strategik di Asia Tenggara dan kemudahan kemasukan pelancong yang agak terbuka.
Namun, jika tidak ditangani segera, keadaan itu boleh menjejas reputasi Indonesia sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan serantau.
Ia juga berpotensi meningkatkan risiko keselamatan dalam negara termasuk pengubahan wang haram, eksploitasi pekerja asing dan penipuan terhadap rakyat tempatan.
Penganalisis keselamatan siber melihat tindakan polis Indonesia kebelakangan ini sebagai isyarat penting bahawa negara itu mula menyedari perubahan landskap jenayah digital serantau.
Bagaimanapun, cabaran sebenar bukan sekadar menangkap pelaku di lapangan, malah, memutuskan rangkaian kewangan, teknologi dan perlindungan antarabangsa yang membolehkan sindiket itu terus bergerak dari satu negara ke negara lain.
Dalam era digital tanpa sempadan, ancaman jenayah siber kini tidak lagi hanya berkaitan teknologi, bahkan, sudah menjadi isu keselamatan nasional dan geopolitik serantau. – Agensi berita.
