Topic followed successfully
Go to BHkuImigresen Batam akui kes peras ugut pelancong S’pura, pegawai digantung tugas
Imigresen Batam akui kes peras ugut pelancong S’pura, pegawai digantung tugas
Salah seorang mangsa, pemegang pasport Myanmar dan Penduduk Tetap S’pura
Imigresen Batam akui kes peras ugut pelancong S’pura, pegawai digantung tugas
BATAM: Pejabat wilayah Direktorat Jeneral Imigresen Kepulauan Riau mengesahkan terdapat petunjuk awal berhubung kes peras ugut melibatkan pelancong asing di terminal feri, Batam Center.
Ketua pejabat wilayah, Encik Ujo Sujoto, berkata siasatan dijalankan susulan laporan oleh wadah media Singapura, Mothership.sg, yang mendedahkan pengalaman dua kumpulan pelancong yang tiba di Batam pada 13 dan 14 Mac.
“Kami menghadapi kesukaran kerana laporan hanya menggunakan inisial mangsa, iaitu AC dan NAY,” katanya dalam sidang media di pusat pemeriksaan imigresen Batu Ampar pada 29 Mac.
Menurut beliau, pihaknya telah menghantar mesej kepada media berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut, namun masih belum menerima maklum balas.
Hasil semakan rekod dalaman dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihak imigresen berjaya mengenal pasti salah seorang mangsa, dikenali sebagai NAY, pemegang pasport Myanmar dan Penduduk Tetap Singapura.
Rakaman menunjukkan NAY dan ibu bapanya berdepan masalah semasa pemeriksaan kerana tidak memiliki tiket pulang.
“Mengikut prosedur, warga asing mesti mempunyai tiket pulang bagi mengelakkan mereka tinggal lebih masa atau ditolak masuk semula ke Singapura,” kata Encik Ujo.
Beliau berkata keluarga itu terpaksa menunggu sehingga dua jam di bilik penyelia kerana pegawai sedang mengendalikan pemeriksaan lain.
Siasatan awal mendapati seorang orang tengah menghampiri NAY dan menawarkan bantuan dengan bayaran tertentu.
Orang tengah itu kemudian berunding dengan seorang pegawai imigresen yang bertugas sebagai penolong penyelia, dikenali sebagai JS.
Menurut pegawai Direktorat Pematuhan Dalaman, Encik Washington Napitupulu, bayaran awal yang diminta adalah $100 bagi setiap individu.
“Selepas rundingan, jumlah keseluruhan menjadi $250 untuk tiga orang. Daripada jumlah itu, $150 diserahkan kepada pegawai terbabit,” katanya.
Kedua-dua individu itu kini telah digantung tugas sementara siasatan lanjut dijalankan.
Encik Ujo menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan dan menegaskan tindakan tegas akan diambil.
“Ini adalah perbuatan individu, bukan dasar organisasi. Saya amat kecewa dan marah,” katanya.
Beliau menambah bahawa pegawai yang melanggar etika kerja boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk mengikuti program khas selama sebulan di Pulau Nusakambangan, yang terkenal dengan penjara keselamatan tinggi.
“Kami juga tidak menolak kemungkinan merujuk kes ini kepada polis untuk siasatan rasuah,” katanya.
Ketua Imigresen Batam, Encik Hajar Aswad, berkata beberapa langkah telah diambil sejak 26 Mac bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Kami mengetatkan akses ke kawasan pemeriksaan dan hanya individu yang mempunyai pas dibenarkan masuk. Orang tengah tidak lagi dibenarkan berada di kawasan imigresen,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemeriksaan di bilik tertutup kini dihentikan, kecuali kes melibatkan dokumen palsu.
“Semua pemeriksaan kini dilakukan secara terbuka di kaunter bersama penumpang lain,” katanya.
Dalam usaha mendapatkan maklumat lanjut, pihak imigresen turut menggunakan saluran diplomatik melalui Kedutaan Indonesia di Singapura.
“Kami telah menghubungi pihak media untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Laporan perlu jelas dan tidak hanya menggunakan inisial kerana ia menyukarkan siasatan,” kata Encik Ujo.
Pihak berkuasa menegaskan komitmen untuk memperketat pemantauan dan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang. – Agensi berita.

