Hujan lebat terus landa NZ; warga hilang dibawa arus disahkan terkorban
Hujan lebat terus landa NZ; warga hilang dibawa arus disahkan terkorban

SYDNEY: Hujan lebat melanda pulau utara New Zealand sekali lagi hari ini, menyebabkan tanah runtuh, banjir kilat dan jalan raya terputus, dengan angka kematian meningkat kepada empat selepas seorang yang hilang disahkan meninggal dunia.
Dipukul hujan sejak kelmarin, Auckland, bandar terbesar di New Zealand dengan 1.6 juta penduduk, kekal dalam keadaan darurat.
Agensi ramalan cuaca negara itu, MetService, memberi amaran tentang cuaca yang lebih buruk hari ini dan esok di pulau utara. Hujan lebat juga boleh menyebabkan banjir kilat, katanya.
Tumpuan kecemasan kini tertumpu ke selatan, dengan Daerah Waitomo - terletak kira-kira 220 kilometer (km) dari Auckland - mengisytiharkan darurat lewat semalam.
Polis mengesahkan bahawa seorang lelaki yang hilang selepas hanyut kelmarin di Onewhero, sebuah perkampungan luar bandar sekitar 70km selatan Auckland, telah meninggal dunia.
"Bahagian yang paling mengerikan ialah kami telah kehilangan nyawa," kata Timbalan Perdana Menteri, Cik Carmel Sepuloni, kepada media di Auckland.
Perubahan iklim menyebabkan episod hujan lebat menjadi lebih biasa dan lebih hebat di New Zealand, walaupun kesannya berbeza mengikut wilayah.
Menteri Perubahan Iklim, Encik James Shaw, menyebutkan tentang kaitan dengan perubahan iklim kelmarin apabila beliau melahirkan sokongannya kepada mereka yang terjejas akibat banjir itu di Twitter.
Hari ini, polis berkata mereka sedang membantu dengan pengurusan lalu lintas dan penutupan jalan raya di wilayah itu selepas hujan lebat "menyebabkan banyak kerosakan". - Reuters.

