Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hubungan S'pura, China dinaik taraf dengan fasa baru jalinan diplomatik

Apr 1, 2023 | 5:29 PM
Foto ZAOBAO
Foto ZAOBAO -

SINGAPURA dan China secara rasmi menaiktarafkan hubungan mereka pada Sabtu dengan memulakan fasa baru dalam hubungan diplomatik.

Daripada hubungan yang disifatkan sebagai "Perkongsian Kerjasama Menyeluruh Yang Maju Seiring Masa", frasa yang tercipta pada 2015 apabila Presiden Xi Jinping membuat lawatan negara ke Singapura, hubungan itu telah berkembang menjadi "Perkongsian Menjurus Pada Masa Depan Bermutu Yang Menyeluruh'.

Ia merupakan gambaran tentang arah tuju yang ingin dilihat kededua pihak selepas ini.

Pelbagai pakatan baru telah dimeterai Singapura dan China pada Sabtu dengan kehadiran Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri, Encik Li Qiang.

Perjanjian tersebut membuka jalan bagi lebih banyak kerjasama dalam bidang seperti pengantaraan pertikaian Inisiatif Jalur dan Jalanan (BRI) hinggalah isu keselamatan makanan dan perdagangan serta penyelidikan air dan alam sekitar.

Rancangan juga sedang diusahakan untuk membawa lebih ramai artis di China ke Singapura untuk pertukaran budaya dan sebaliknya.

Singapura dan China juga telah memuktamadkan rundingan untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas (CSFTA) China-Singapura yang berusia 14 tahun bagi menyediakan peraturan yang lebih mesra perniagaan, bebas dan telus, jelas satu kenyataan bersama kededua negara.

Satu upacara menandatangani perjanjian ini akan diadakan sebelum pakatan tersebut disahkan dan mula berkuat kuasa.

Pada Jumaat, Encik Lee dan Presiden Xi Jinping telah mengesahkan kepentingan Majlis Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala sebagai platform kemuncak untuk kerjasama dua hala lantas komited mengadakan dialog peringkat tinggi tahunan pada tahap dan kekerapan yang sama untuk menjalin kerjasama bermutu tinggi dan menjurus ke arah masa depan buat kededua pihak, jelas satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar Singapura.

Singapura dan China menjalinkan hubungan diplomatik rasmi pada Oktober 1990.

Dalam bidang khidmat telekomunikasi baru yang dijadikan sebahagian CSTFA, ia membolehkan pelabur dan pembekal perkhidmatan Singapura dan China lebih banyak ruang mengakses pasaran masing-masing.

Dalam bidang keselamatan makanan, Singapura dan China bersetuju untuk bertukar maklumat bagi lebih memahami rangka kerja dan dasar kawal selia keselamatan makanan di kedua-dua negara, dan mengukuhkan kerjasama dalam perdagangan makanan.

Dialog peringkat tinggi dalam keselamatan makanan dan perdagangan makanan akan juga diadakan.

Bagi rangka kerja pengantaraan baru untuk menguruskan pertikaian BRI:, Mahkamah Agung Singapura dan China akan membangun dan melaksanakan rangka kerja pengantaraan untuk menguruskan pertikaian yang wujud daripada BRI.

Yayasan Penyelidikan Nasional Singapura dan Kementerian Sains dan Teknologi China pula akan bersama-sama menyokong dua projek utama air dan alam sekitar.

Bagi setiap projek, yayasan itu akan membiaya sehingga $3 juta dalam tempoh tiga tahun buat penyelidik Singapura, manakala pihak kementerian akan menawarkan pembiayaan bersamaan hingga 14 juta yuan (S$2.7 juta) dalam tempoh tiga tahun kepada penyelidik China.

Majlis Seni Kebangsaan Singapura dan Dana Seni Nasional China akan menyediakan peluang untuk program penempatan, bengkel dan kelas induk serta pertukaran lain, untuk artis dari kedua-dua negara.

Lembaga Taman Negara Singapura dan Pentadbiran Perhutanan dan Padang Rumput China akan menjalankan program penyelidikan dan pertukaran yang membantu memulihara hutan bakau dan mengurangkan tekanan daripada perbandaran.

Kedutaan Singapura di Beijing dan Pemerintah Perbandaran Beijing akan meneroka cara mengukuhkan kerjasama, antara lain, dalam bidang seperti ekonomi, sains dan teknologi serta pendidikan.

Mengulas mengenai lawatan yang tamat pada Sabtu, Encik Lee berkata: "Saya sangat gembira kerana berpeluang bertemu rakan lama, bertemu rakan lama dalam janji temu baru dan bertemu serta menjalinkan hubungan dengan rakan baru, dan membawa hubungan kami ke langkah seterusnya,"

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg