RIYADH: Arab Saudi sejak sedekad lalu muncul sebagai antara kuasa ekonomi paling agresif dalam usaha membina imej baharu negara itu melalui pelaburan besar-besaran dalam sukan, hiburan, pelancongan dan prasarana futuristik.

Di bawah kepimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Riyadh cuba mengubah wajah negara yang selama ini dikenali sebagai konservatif dan bergantung kepada minyak kepada sebuah kuasa moden yang aktif di pentas dunia.

Namun kini, ketika tekanan kewangan kian meningkat dan pendapatan minyak semakin tidak stabil, kerajaan Arab Saudi mula memperlahankan beberapa projek mega yang sebelum ini menjadi lambang transformasi negara.

Perkembangan paling mengejutkan berlaku apabila Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) bernilai AS$1 trilion ($1.27 trilion) mengumumkan ia akan menghentikan pembiayaan kepada LIV Golf pada penghujung 2026.

Keputusan itu dilihat bukan sekadar isu sukan, malah, petanda lebih besar bahawa Arab Saudi sedang menilai semula strategi perbelanjaan sejagatnya.

LIV Golf sebelum ini menjadi lambang paling jelas bagaimana Arab Saudi menggunakan kuasa kewangan untuk mencabar struktur tradisional sukan dunia.

Ketika dilancarkan pada 2022, kejohanan itu menggegarkan dunia golf apabila ia berjaya menarik pemain terkenal dengan tawaran bayaran yang dianggap luar biasa jumlahnya.

Malah beberapa pemain menerima kontrak dilaporkan melebihi AS$400 juta, angka yang jauh mengatasi pendapatan kerjaya ramai legenda golf dunia.

LIV Golf turut menarik perhatian tokoh politik termasuk Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, selain mencetuskan pertikaian undang-undang dan siasatan Kongres Amerika.

Namun, hanya empat tahun selepas dilancarkan, projek itu kini berdepan ketidakpastian selepas PIF memutuskan untuk menghentikan pembiayaan.

Dalam kenyataannya, PIF berkata pelaburan besar yang diperlukan untuk LIV Golf “tidak lagi selari dengan fasa semasa strategi pelaburan” dana tersebut.

Gabenor PIF, Encik Yasir Al-Rumayyan, yang juga pengerusi LIV Golf sebelum ini, berkata kerajaan kini mahu memperlahankan beberapa projek mega bagi meningkatkan “kecekapan pelaburan”.

Kenyataan itu mencerminkan perubahan penting dalam pendekatan ekonomi Arab Saudi.

Jika sebelum ini kerajaan dilihat sanggup berbelanja besar demi membina pengaruh sejagat, kini tumpuan mula beralih kepada keberkesanan ekonomi dan pulangan jangka panjang.

Langkah itu berlaku ketika Arab Saudi berdepan beberapa tekanan kewangan serentak.

Negara itu perlu menanggung kos besar bagi menganjurkan Expo Dunia 2030 dan Piala Dunia Fifa 2034, dua acara peringkat sejagat yang memerlukan pembangunan prasarana dan pelaburan bernilai berbilion dolar.

Dalam masa sama, konflik Asia Barat terutama perang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel turut memberi kesan kepada ekonomi serantau.

Ketegangan di Selat Hormuz menjejas eksport minyak dan mencetuskan ketidakstabilan pasaran tenaga sejagat.

Arab Saudi sendiri turut menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu ketika konflik tersebut.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam menentukan keutamaan pelaburan.

Walaupun begitu, PIF menegaskan Arab Saudi tidak akan keluar sepenuhnya daripada sektor sukan.

Dana itu masih mengekalkan pegangan dalam Newcastle United di Liga Perdana England dan wadah penstriman sukan DAZN.

PIF juga menegaskan sektor sukan kekal sebagai salah satu bidang penting dalam strategi pelaburan jangka panjangnya.

Namun, pemerhati melihat era “wang tanpa had” Arab Saudi dalam sukan sejagat mungkin sudah mula berubah.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Arab Saudi menjadi pemain paling dominan dalam ekonomi sukan dunia.

Negara itu membelanjakan berbilion dolar bagi membawa masuk bintang bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, sama ada sebagai pemain atau duta promosi.

Arab Saudi juga berjaya mendapatkan hak penganjuran pelbagai acara sukan utama termasuk tinju, Formula One, tenis dan golf.

Pendekatan itu membantu Riyadh meningkatkan pengaruh antarabangsa dan menarik perhatian dunia terhadap agenda Vision 2030 yang diperkenalkan Mohammed bin Salman.

Namun, pengkritik menuduh Arab Saudi menggunakan sukan bagi memperbaiki imej negara di tengah kritikan terhadap rekod hak asasi manusia.

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sendiri menerima kritikan hebat selepas memberikan hak penganjuran Piala Dunia 2034 kepada Arab Saudi menerusi proses bidaan yang dianggap terlalu cepat dan kontroversi.

Walaupun begitu, ramai penganalisis berpendapat perubahan strategi Arab Saudi tidak semestinya menunjukkan kegagalan.

Sebaliknya, ia mencerminkan fasa baharu pembangunan ekonomi yang lebih realistik dan berhati-hati.

Selepas bertahun-tahun melaksanakan projek besar secara agresif, kerajaan kini dilihat mahu memastikan setiap pelaburan benar-benar memberi pulangan strategik dan ekonomi.

Pendekatan itu juga penting memandangkan ekonomi sejagat semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, perubahan harga tenaga dan ketidakstabilan pasaran dunia.

Dalam konteks itu, Arab Saudi mungkin sedang bergerak daripada model “perbelanjaan untuk pengaruh” kepada model “pelaburan untuk kemampanan.”

Perubahan tersebut boleh memberi kesan besar bukan sahaja pada dunia sukan, bahkan juga kepada ekonomi sejagat yang sebelum ini banyak menerima limpahan modal Saudi.

Masa depan LIV Golf kini menjadi simbol kepada persoalan lebih besar mengenai arah baharu Arab Saudi.

Tanpa pembiayaan besar daripada PIF, kejohanan itu perlu mencari pelabur baharu untuk terus bertahan.

Laporan kewangan menunjukkan LIV Golf kerugian ratusan juta dolar setiap tahun sejak ditubuhkan.

Pada 2024 sahaja, kejohanan itu dilaporkan mencatat kerugian hampir AS$600 juta dengan jualan kurang daripada AS$90 juta.

Beberapa jam sebelum PIF mengesahkan keputusan menghentikan pembiayaan, LIV Golf mengumumkan pelantikan ahli lembaga baharu dan usaha mendapatkan “rakan kewangan jangka panjang” bagi menyokong model pelaburan pelbagai pihak.

Perkembangan itu menunjukkan Arab Saudi mungkin tidak meninggalkan pentas sejagat sepenuhnya, tetapi sedang menyesuaikan strategi untuk menghadapi realiti ekonomi baharu.

Bagi Mohammed bin Salman, cabaran sebenar kini bukan sekadar membina imej negara moden, bahkan memastikan transformasi besar yang dimulakan mampu bertahan dalam dunia yang kian kompleks dan tidak menentu. – Agensi berita.