MINNEAPOLIS (Amerika Syarikat): Seorang hakim persekutuan di Minnesota pada 16 Januari mengarahkan ejen imigresen Amerika Syarikat yang dikerahkan secara besar-besaran ke Minneapolis supaya mengehadkan beberapa taktik yang mereka gunakan terhadap pemerhati dan penunjuk perasaan semasa tindakan penguatkuasaan mereka.
Perintah tersebut memberi kemenangan kepada aktivis tempatan di bandar paling ramai penduduk di Minnesota itu.
Hakim Mahkamah Daerah Amerika Kate Menendez mengeluarkan perintah injunksi yang melarang ejen persekutuan daripada mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan tunjuk perasaan secara aman dan tidak menimbulkan gangguan.
Para pegawai secara khusus dilarang daripada menangkap atau menahan penunjuk perasaan aman atau individu yang memerhati operasi penguatkuasaan secara teratur, kecuali jika individu tersebut disyaki melakukan jenayah atau mengganggu penguatkuasaan undang-undang.
Ejen persekutuan juga dilarang menggunakan semburan lada, gas pemedih mata atau senjata kawalan orang ramai lain terhadap para penunjuk perasaan aman atau orang awam yang memerhati dan merakam operasi penguatkuasaan imigresen, menurut keputusan hakim.
Keputusan itu dikeluarkan hampir dua minggu selepas pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengumumkan pengerahan seramai 2,000 ejen imigresen ke kawasan Minneapolis.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika, langkah tersebut merupakan operasi terbesar seumpamanya dalam sejarah.
Bilangan pegawai bersenjata dari Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (Ice) serta Pengawal Sempadan kini telah meningkat kepada hampir 3,000 pegawai, jauh melebihi bilangan pegawai polis tempatan di kawasan metropolitan Twin Cities di Minneapolis dan St. Paul.
Ketegangan yang timbul berikutan pengerahan para pegawai itu telah meruncing sejak seorang ejen Ice menembak mati seorang ibu tiga anak yang berusia 37 tahun, Cik Renee Good, ketika beliau sedang memandu kereta pada Januari.
Pada masa itu, Cik Good mengambil bahagian dalam salah satu rondaan kejiranan yang dianjurkan oleh aktivis tempatan untuk menjejak dan memantau kegiatan yang dijalankan Ice. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg