WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump kini berdepan tekanan politik yang semakin meningkat apabila tempoh 60 hari di bawah undang-undang kuasa perang Amerika Syarikat hampir tamat, sekali gus memaksa keputusan sama ada menamatkan konflik di Iran atau mendapatkan kelulusan Kongres.

Konflik yang bermula pada 28 Februari itu dimulakan tanpa kelulusan Kongres, dengan Encik Trump menyatakan beliau bertindak atas kuasa sebagai panglima tertinggi bagi melindungi kepentingan strategik Amerika Syarikat serta sekutu di Asia Barat.

“Tindakan ini diambil bagi mempertahankan kepentingan negara dan sekutu serantau, termasuk Israel,” katanya sebelum ini.

Di bawah Akta Kuasa Perang 1973, presiden dibenarkan mengerahkan tentera tanpa kelulusan Kongres selama 60 hari sebelum perlu menarik balik pasukan atau mendapatkan kebenaran rasmi.

Encik Trump memaklumkan Kongres mengenai operasi tersebut pada 2 Mac, sekali gus menetapkan tarikh akhir pada 1 Mei.

Tarikh ini kini dilihat sebagai titik penting yang boleh mengubah sokongan politik terhadap perang tersebut.

Walaupun Republikan sebelum ini menyekat usaha Demokrat untuk menghentikan perang, beberapa ahli parti itu mula menunjukkan pendirian lebih tegas.

Senator John Curtis berkata beliau tidak akan menyokong tindakan ketenteraan berterusan tanpa kelulusan Kongres. “Saya tidak akan menyokong operasi ketenteraan melebihi tempoh 60 hari tanpa kebenaran Kongres,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Encik Brian Mast, turut memberi amaran bahawa sokongan politik terhadap presiden boleh merosot jika konflik berlarutan.

Parti Demokrat berulang kali cuba menggunakan peruntukan dalam Akta Kuasa Perang untuk menghentikan konflik, namun gagal apabila usul mereka disekat oleh Republikan di Senat. Ini merupakan kali kelima usaha tersebut gagal sejak perang bermula.

Walaupun begitu, tarikh akhir 60 hari dijangka meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Trump dalam beberapa minggu akan datang, lapor The New York Times.

Selepas tempoh 60 hari tamat, pilihan presiden menjadi lebih terhad. Encik Trump perlu sama ada mendapatkan kelulusan Kongres, mula mengurangkan penglibatan tentera, atau menggunakan lanjutan 30 hari yang dibenarkan undang-undang bagi tujuan pengunduran pasukan.

Namun lanjutan itu tidak membenarkan operasi ketenteraan ofensif diteruskan.

Kongres mempunyai kuasa untuk meluluskan penggunaan kekuatan ketenteraan melalui undian.
Namun, tidak jelas sama ada terdapat sokongan mencukupi dalam kalangan Republikan untuk menyokong langkah tersebut.

Senator Lisa Murkowski dilaporkan sedang bekerjasama dengan beberapa senator untuk merangka resolusi kelulusan, namun belum dibentangkan.

Kali terakhir Kongres meluluskan penggunaan kekuatan ketenteraan adalah pada 2002, semasa perang Iraq.

Walaupun undang-undang menetapkan had masa, pentadbiran presiden sebelum ini sering berhujah bahawa Perlembagaan memberikan kuasa luas kepada presiden sebagai panglima tertinggi.

Sebagai contoh, Presiden Barack Obama pernah meneruskan operasi ketenteraan di Libya melepasi tempoh 60 hari pada 2011 dengan alasan undang-undang tersebut tidak terpakai dalam keadaan tertentu.
Encik Trump sendiri pernah mencabar undang-undang tersebut pada 2019 apabila memveto resolusi bipartisan berkaitan konflik di Yaman.

Penganalisis menjangkakan bahawa mengabaikan tarikh akhir kali ini boleh membawa implikasi politik yang lebih besar.

Senator Chris Murphy berkata tekanan terhadap Republikan akan meningkat apabila tempoh 60 hari berakhir. “Ramai Republikan sendiri mengakui tempoh 60 hari ini penting dari segi undang-undang. Jadi akan menjadi lebih sukar untuk mereka terus berdiam diri selepas tempoh itu tamat,” katanya.

Dengan tarikh akhir semakin hampir, pentadbiran Trump kini berada di persimpangan penting antara meneruskan konflik atau mencari penyelesaian politik.

Walaupun sokongan politik masih wujud, tekanan daripada undang-undang dan dinamika dalaman Kongres menunjukkan bahawa perang di Iran kini bukan sahaja isu ketenteraan, tetapi juga ujian terhadap keseimbangan kuasa dalam sistem politik Amerika Syarikat.