Topik diikuti
Pergi ke BHkuGangguan elektrik selama 23 jam di Sumatera ragut empat nyawa
Gangguan elektrik selama 23 jam di Sumatera ragut empat nyawa
Lebih 13 juta penduduk Sumatera terjejas, tuntut pampasan selepas bekalan elektrik lumpuh
Gangguan elektrik selama 23 jam di Sumatera ragut empat nyawa
JAKARTA: Gangguan elektrik besar yang melanda hampir seluruh pulau Sumatera bermula 22 Mei lalu, bukan sahaja menyebabkan jutaan penduduk bergelap selama berjam-jam, malah meragut empat nyawa dan mencetuskan tuntutan pampasan terhadap syarikat elektrik milik negara, PT PLN.
Bekalan elektrik yang terputus selama 17 hingga 23 jam di beberapa kawasan menjejas wilayah besar termasuk Sumatera Utara, Aceh, Sumatera Barat, Riau, Jambi dan Sumatera Selatan.
Pihak berkuasa Indonesia pada 24 Mei mengesahkan empat individu maut selepas dipercayai terhidu asap toksik daripada generator diesel yang digunakan ketika gangguan elektrik berlaku.
Di Kabupaten Batu Bara, Sumatera Utara, dua mangsa ditemui meninggal dunia di dalam rumah selepas menggunakan generator dalam ruang tertutup tanpa pengudaraan baik.
Polis percaya mangsa sesak nafas akibat terhidu asap enjin generator.
Dalam kejadian berasingan di Sumatera Barat, dua lagi individu maut manakala tiga yang lain dimasukkan ke hospital akibat kejadian serupa.
Insiden berlaku ketika ramai penduduk menggunakan generator sebagai alternatif selepas bekalan elektrik terputus secara besar-besaran.
PT PLN sebelum ini mengesahkan gangguan besar berlaku pada sistem grid elektrik Sumatera pada petang, 22 Mei.
Gangguan itu menyebabkan bekalan elektrik lumpuh di kebanyakan kawasan di Sumatera dan menjejas lebih 13 juta pelanggan.
Jurucakap Unit Induk Pengedaran PLN Sumatera Utara, Encik Diki Nasution, berkata bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada pagi 24 Mei.
“Bekalan elektrik sudah pulih 100 peratus dan tiada lagi gangguan di Sumatera Utara,” katanya.
Namun, ramai penduduk mendakwa kerosakan yang dialami jauh lebih besar daripada sekadar gangguan sementara.
Pensyarah Universiti Negeri Medan, Encik Majda El Muhtaj, berkata PLN wajib membayar pampasan kepada pengguna.
“Elektrik terputus selama 17 jam di kawasan saya. Gangguan ini melumpuhkan aktiviti kami sebagai rakyat,” katanya.
“Bukan sahaja kerugian material, malah saya dan keluarga turut mengalami tekanan dan panik ketika gangguan berlaku.”
Menurut beliau, Internet turut terganggu sehingga menyukarkan komunikasi dan urusan harian.
Encik Majda berkata peraturan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia menetapkan pelanggan layak menerima pampasan jika tahap perkhidmatan elektrik gagal dipenuhi.
“PLN perlu mengurangkan bil elektrik pelanggan mengikut kadar pampasan yang ditetapkan,” katanya.
Pengarah Lembaga Bantuan Guaman (LBH) Medan, Encik Irvan Saputra, turut menegaskan pengguna mempunyai hak untuk menuntut pampasan.
Beliau menambah, Undang-Undang Perlindungan Pengguna Indonesia menjamin hak rakyat untuk mendapat perkhidmatan yang selamat dan bermutu.
“Pengguna berhak menerima bekalan elektrik yang berterusan dan boleh dipercayai,” katanya.
Menurutnya, peraturan sedia ada juga secara jelas mewajibkan PLN membayar pampasan sekiranya gangguan elektrik menyebabkan kerugian kepada pengguna.
Bagaimanapun, Pengurus Komunikasi PLN Sumatera Utara, Encik Darm Saputra, enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan pampasan tersebut.
“Saya minta semua bersabar,” katanya ringkas.
Gangguan elektrik itu turut melumpuhkan operasi perniagaan kecil dan sederhana.
Ramai peniaga pasar, gerai makanan dan pusat cenderamata terpaksa menutup premis lebih awal kerana tidak dapat beroperasi tanpa lampu dan penyaman udara.
Mesin pengeluaran wang automatik (ATM) juga tidak berfungsi di banyak kawasan sehingga menjejas urus niaga.
Penduduk di Kabupaten Langkat, Abdurahman Azhar, berkata kawasan perumahannya terputus bekalan elektrik selama 23 jam.
“Kami kepanasan dan tidak boleh tidur kerana cuaca sangat panas,” katanya.
“Saya langsung tidak dapat menggunakan penghawa dingin.”
Pemilik gerai makanan, Cik Fridayah Shinta Maharani, pula mendakwa pendapatannya merosot hampir 70 peratus.
“Kebanyakan orang pergi ke kafe hanya untuk mengecas telefon bimbit mereka,” katanya.
“Gangguan ini benar-benar menghancurkan perniagaan kecil.”
Ramai penduduk dilaporkan membanjiri hotel, restoran makanan segera dan kafe untuk mencari tempat sejuk serta mendapatkan akses elektrik.
Cik Anggraini dari Deli Serdang berkata beliau terpaksa membawa anak dan cucunya ke sebuah kafe di Medan untuk mengelakkan kepanasan.
“Keesokan pagi kami pergi ke Binjai untuk membeli makanan kerana kami tidak boleh memasak di rumah,” katanya.
Pengarah Utama PT PLN, Encik Darmawan Prasodjo, memohon maaf kepada rakyat Sumatera atas gangguan besar itu.
Menurut beliau, gangguan bermula selepas cuaca buruk menjejas talian penghantaran elektrik 275 kilovolt antara Muara Bungo dengan Sungai Rumbai di wilayah Jambi.
Keadaan itu menyebabkan gangguan besar terhadap sistem grid elektrik Sumatera.
“Terdapat kawasan mengalami lebihan bekalan sehingga frekuensi meningkat dan loji jana kuasa terpadam secara automatik,” katanya.
“Pada masa sama, kawasan lain mengalami kekurangan bekalan sehingga menyebabkan sistem turut gagal.”
PLN berkata lebih 8.5 juta pelanggan berjaya menerima semula bekalan elektrik setakat 23 Mei malam.
Badan Siasatan Jenayah Polis Indonesia (Bareskrim) menghantar pasukan khas ke Muara Jambi untuk menyiasat punca sebenar gangguan.
Pengarah Jenayah Tertentu Bareskrim, Brigedier Jeneral Mohammad Irhamni, berkata siasatan awal tidak menemui unsur sabotaj.
“Setakat ini kami belum menemukan petunjuk wujud tindakan manusia yang disengajakan,” katanya.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, pula mengarahkan PLN memperkukuh sistem grid utama Sumatera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Beliau turut menggesa pembinaan talian penghantaran baharu dan pengukuhan sistem elektrik di setiap wilayah di Sumatera. – Agensi berita.
