Topik diikuti
Pergi ke BHkuGambar Trump bakal dipapar dalam pasport khas AS sempena ulang tahun merdeka
Gambar Trump bakal dipapar dalam pasport khas AS sempena ulang tahun merdeka
Gambar Trump bakal dipapar dalam pasport khas AS sempena ulang tahun merdeka
WASHINGTON: Gambar Presiden Donald Trump akan dipaparkan dalam sebilangan pasport Amerika Syarikat edisi khas, kata pegawai pada 28 April, dalam langkah yang memecahkan kebiasaan dan sekali lagi menunjukkan usaha beliau meletakkan identiti peribadinya pada institusi pemerintah.
Jabatan Negara Amerika mengesahkan pihaknya akan menawarkan pasport edisi terhad bagi memperingati ulang tahun ke-250 Perisytiharan Kemerdekaan Amerika pada 2026, selepas perkara itu dilaporkan oleh Fox News dan The Bulwark.
Menurut laporan itu, dua imej akan dimasukkan ke dalam pasport berkenaan.
Satu daripadanya memaparkan gambar rasmi Encik Trump yang diletakkan di atas imej Perisytiharan Kemerdekaan, dengan tandatangan beliau berwarna emas di bahagian bawah.
Imej kedua pula menunjukkan lukisan bersejarah tokoh pengasas Amerika.
Jurucakap Jabatan Negara, Encik Tommy Pigott, berkata pasport edisi khas itu disediakan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun penting negara.
“Ketika Amerika meraikan ulang tahun ke-250 Amerika pada Julai, Jabatan Negara sedang bersiap mengeluarkan sejumlah terhad pasport Amerika yang direka khas bagi memperingati peristiwa bersejarah ini,” katanya di platform X.
Seorang lagi pegawai Jabatan Negara, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan, berkata pasport bertemakan Encik Trump itu hanya akan ditawarkan di Washington “selagi bekalan masih ada” dan tidak dikenakan bayaran tambahan.
Namun, belum jelas sama ada pemohon pasport boleh menolak edisi khas berkenaan dan memilih pasport biasa.
Langkah itu dianggap luar biasa kerana hanya terdapat sedikit contoh moden di dunia, apatah lagi dalam sebuah negara demokrasi, di mana gambar pemimpin yang masih memegang jawatan dimasukkan ke dalam pasport.
Kebanyakan negara lazimnya menggunakan imej sejarah, simbol negara, mercu tanda atau alam semula jadi dalam dokumen perjalanan mereka.
Pasport Amerika sedia ada memaparkan beberapa babak penting dalam sejarah negara itu, termasuk pendaratan di Bulan serta lokasi bersejarah seperti Patung Liberty.
Sejak kembali memegang jawatan pada 2025, Encik Trump dilihat semakin agresif menggunakan nama dan imejnya pada institusi pemerintah dalam cara yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Beberapa bangunan pemerintah di Washington sudah memasang sepanduk memaparkan wajah presiden itu.
Pegawai pemerintah juga dilaporkan menambah nama Encik Trump pada pusat seni persembahan Kennedy Center dan Institut Keamanan Amerika yang telah dibubarkan.
Pada Mac, Jabatan Perbendaharaan turut mengumumkan bahawa tandatangan Encik Trump akan mula muncul pada dolar Amerika.
Di Britain dan beberapa negara Komanwel, wajah Raja Charles III dipaparkan pada mata wang.
Namun, kedudukan raja itu berbeza kerana beliau merupakan ketua negara berperlembagaan yang tidak terlibat secara langsung dalam politik harian.
Raja Charles III bertemu Encik Trump pada 28 April semasa lawatan negara ke Washington. – Agensi berita.
