FBI sahkan Trump terkena peluru dalam percubaan membunuhnya
FBI sahkan Trump terkena peluru dalam percubaan membunuhnya
WASHINGTON: Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sememangnya terkena peluru atau serpihan peluru penembak, kata Biro Siasatan Federal (FBI) pada 26 Julai.
Dengan pengesahan FBI itu, ia sekali gus meleraikan persoalan berhubung kecederaan calon Republikan sewaktu perhimpunan kempennya pada awal Julai.
Encik Trump, mengalami pendarahan pada bahagian muka dan telinga susulan serangan pada 13 Julai, ketika beliau berucap di Butler, Pennsylvania.
FBI menganggap serangan itu – melibatkan seorang lelaki bersenjata melepaskan lapan tembakan dari luar perimeter keselamatan acara itu – sebagai percubaan membunuh.
Namun Pengarah FBI, Encik Christopher Wray, memberitahu penggubal undang-undang Amerika pada 24 Julai bahawa terdapat keraguan tentang “sama ada peluru atau serpihan peluru yang terkena telinganya”.
Berikutan kenyataan baru daripada FBI – yang telah lama didakwa Trump sebagai sebahagian daripada agenda negara untuk berkomplot terhadapnya – calon pilihan raya presiden Republikan itu dalam satu hantaran di platform Truth Social berkata:
“Saya menganggap itu permohonan maaf terbaik yang akan kami dapat daripada Pengarah Wray, tetapi ia diterima sepenuhnya!”
Pada 26 Julai, Encik Trump memuat naik surat daripada mantan doktor dari Rumah Putih yang mengatakan bahawa luka itu hampir pasti disebabkan oleh peluru.
“Tiada bukti lain yang menunjukkan bahawa ia adalah benda lain selain peluru,” tulis ahli kongres Republikan, Encik Ronny Jackson, di Truth Social.
Dua peserta perhimpunan cedera parah dalam serangan itu, dan seorang anggota bomba Pennsylvania berusia 50 tahun ditembak mati.
Lelaki bersenjata itu dibunuh oleh penembak tepat Perkhidmatan Rahsia Amerika.
Sejak kejadian penembakan itu, Encik Trump telah menjadikan serangan tersebut sebagai bahagian penting dalam kempennya, memberitahu orang ramai di Michigan bahawa beliau sanggup “mendapat peluru demi demokrasi”.
Pada Konvensyen Kebangsaan Republikan semasa beliau dilantik sebagai calon presiden parti, Encik Trump berkata bahawa “tuhan berada di pihak saya” semasa beliau menggambarkan serangan tersebut.
Dan pada perhimpunan Encik Trump, ramai penyokong mantan presiden itu telah memakai pembalut di telinga kanan mereka, merujuk kepada serangan itu.
Pada 25 Julai, Encik Trump turut menafikan komen Encik Wray dan menuduhnya berpihak kepada politik.
“Malangnya, peluru yang mengenai telinga saya. Tiada kaca, tiada serpihan,” katanya.
Siasatan New York Times yang diterbitkan pada 26 Julai berkata, “analisis terperinci trajektori peluru, rakaman, foto dan audio... sangat menunjukkan bahawa Encik Trump telah diserang oleh peluru pertama daripada lapan peluru yang dilepaskan oleh lelaki bersenjata itu”.
Pihak yang berkempen mewakili Encik Trump tidak mengeluarkan sebarang laporan perubatan atau kenyataan daripada doktor semasanya, sebaliknya memetik Encik Jackson – bekas pakar perubatan Rumah Putih yang merupakan sekutu politik setia mantan presiden itu. – AFP.

