TOKYO: Kedai serbaneka FamilyMart di Tokyo, Jepun, telah menyediakan kotak-kotak untuk mengumpul pakaian dan barangan rumah terpakai untuk dikitar semula.

Langkah tersebut dibuat bagi menyertai inisiatif serupa yang dilaksanakan para peruncit untuk mengurangkan sisa buangan, dan dalam masa yang sama bertujuan menarik lebih ramai pelanggan.

Dalam percubaan yang dilancarkan bersama Bookoff Group Holdings, syarikat yang membeli dan menjual barangan terpakai, kotak-kotak telah diletakkan di sekitar 30 kedai FamilyMart di kawasan perumahan Tokyo.

Syarikat Bookoff merancang untuk menjual beberapa barangan yang dikumpulkannya ke luar negara, termasuk Malaysia.

FamilyMart berkata pakaian yang dianggap tidak sesuai untuk penggunaan semula akan dikitar semula untuk dijadikan serabut benang.

Kempen tersebut merupakan projek kerjasama pertama sejak Itochu, syarikat induk FamilyMart, menjalin kerjasama dari segi modal dengan Bookoff Group pada Februari.

Projek tersebut dibangunkan berdasarkan program amal agihan makanan FamilyMart, yang telah dilaksanakan di sekitar 4,900 daripada 16,400 kedai di seluruh negara itu.

Di bawah program itu, orang ramai boleh menyumbang lebihan makanan untuk didermakan kepada mereka yang memerlukan.

FamilyMart sedang menimbangkan kemungkinan memperluaskan projek pengumpulan barangan terpakainya ke kedai di seluruh Jepun, dengan harapan inisiatifnya akan mengurangkan jumlah pakaian yang dilupuskan sebanyak kira-kira 4,000 tan setahun.

Memetik angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar, FamilyMart berkata kira-kira 560,000 tan pakaian dilupuskan sebagai sisa buangan di Jepun setiap tahun, bersamaan dengan kira-kira 70 peratus pakaian yang baru dibekalkan ke pasaran. – Agensi berita.