Topik diikuti
Pergi ke BHkuEpstein peroleh kiswah Kaabah untuk struktur di pulau peribadinya
Epstein peroleh kiswah Kaabah untuk struktur di pulau peribadinya
Jabatan Kehakiman AS dedah minat dalam artifak Islam
Epstein peroleh kiswah Kaabah untuk struktur di pulau peribadinya
NEW YORK: Jeffrey Epstein dilaporkan menghabiskan masa bertahun-tahun membina hubungan dengan tokoh berpengaruh di Timur Tengah bagi mengejar dua kepentingan yang saling berkait, iaitu peluang perniagaan dan minatnya mengumpul artifak Islam yang jarang ditemui.
Dokumen yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Januari mendedahkan bagaimana Epstein, yang meninggal dunia pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks, berusaha memperluas rangkaiannya dalam kalangan golongan kaya dan berkuasa, sambil menghias sebuah bangunan luar biasa di pulau peribadinya, Little Saint James, di Caribbean.
Bangunan berwarna biru putih dengan kubah emas itu sebelum ini digambarkan dalam pelbagai cara, termasuk sebagai bilik muzik, astaka, gereja kecil dan kuil aneh.
Namun, surat-menyurat Epstein dengan rakan-rakan serta wawancara dengan seorang artis yang pernah bekerja pada projek itu menunjukkan tujuan asal bangunan tersebut lebih jelas.
Bagi Epstein, seorang Yahudi sekular, bangunan itu disebut sebagai “masjid”.
Dokumen berkenaan menunjukkan antara artifak yang diperoleh Epstein termasuk kain berhias ayat Al-Quran atau kiswah yang pernah digunakan di Kaabah di Makkah.
Jubin pula dibawa dari sebuah masjid di Uzbekistan, manakala kubah logam emas dibuat bagi meniru seni bina Syria purba.
Epstein dikatakan mempunyai minat mendalam terhadap reka bentuk Islam sejak lama.
Pada 2003, beliau pernah memberitahu Vanity Fair bahawa beliau memiliki “permaidani Parsi terbesar yang pernah anda lihat di rumah persendirian, begitu besar sehingga ia pasti berasal dari sebuah masjid”.
Idea membina ruang bergaya Islam di pulau peribadinya bermula ketika beliau berada di penjara Palm Beach County, Florida, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendapatkan khidmat pelacuran.
Sebelum dibebaskan pada 2009, Epstein mengupah arkitek untuk mereka bentuk “hammam”, iaitu rumah mandi Turkey yang dikelilingi “taman Islam”, menurut surat-menyuratnya.
Namun, rancangan itu kemudian dibatalkan.
Epstein sebaliknya memohon permit bagi sebuah “bilik muzik” dalam bangunan yang dinamakan 5 Palms.
Dalam e-mel kepada dirinya sendiri, beliau menyimpan idea reka bentuk, termasuk imej masjid purba di Timur Tengah.
Pada 2011, Epstein menulis kepada seorang kenalan di Uzbekistan untuk mendapatkan jubin asli.
“Ia akan digunakan untuk dinding bahagian dalam, seperti sebuah masjid,” tulisnya.
Encik Ion Nicola, seorang artis Romania yang diupah untuk projek itu, mengesahkan dalam satu wawancara pada Mac bahawa Epstein kerap merujuk bangunan itu sebagai “masjid”.
Namun, tidak jelas sama ada Epstein benar-benar berniat menggunakan bangunan tersebut sebagai masjid sebenar.
Hubungan Epstein di Timur Tengah turut membawanya ke lingkungan istana diraja Arab Saudi.
Menurut dokumen itu, beliau berjaya mendapatkan pertemuan dengan Mohammed bin Salman, yang kini Putera Mahkota Saudi.
Sekitar 2010, Epstein mula rapat dengan Encik Terje Rod-Larsen, seorang diplomat Norway yang kemudian membantu menghubungkannya dengan pihak Saudi.
Fail yang didedahkan menunjukkan kedua-dua lelaki itu kerap bertukar mesej mengenai perniagaan, hal peribadi dan isu antarabangsa.
Arab Saudi menjadi topik berulang dalam komunikasi mereka selama bertahun-tahun.
Perbincangan itu meningkat pada 2016, ketika Mohammed bin Salman, yang ketika itu Timbalan Putera Mahkota, mahu membawa syarikat minyak milik negara, Aramco, ke pasaran saham.
Epstein berharap dapat menjadi penasihat kewangan beliau.
Encik Rod-Larsen menghubungkan Epstein dengan Encik Raafat Al-Sabbagh, seorang perunding kepada istana diraja Saudi, serta pembantunya, Cik Aziza Al Ahmadi.
Melalui mereka, Epstein melancarkan usaha intensif untuk menarik perhatian Putera Mahkota Mohammed. Beliau bertemu wakil Saudi di New York dan mendesak agar diberi peluang membentangkan idea secara langsung kepada putera itu.
Dalam satu mesej, Epstein menyifatkan cadangannya sebagai “idea radikal”, termasuk penciptaan mata wang baharu bernama “the shariah” untuk digunakan dalam kalangan umat Islam.
Tidak lama kemudian, lawatan ke Arab Saudi mula diatur.
Cik Al Ahmadi meminta Epstein ke Konsulat Saudi dan memberitahunya supaya menyatakan bahawa “anda, Jeffrey Epstein, mempunyai jemputan daripada Yang Teramat Mulia: Putera Mohammed bin Salman.”
Selepas tiba di Arab Saudi, Epstein menghantar dua gambar dirinya bersama Putera Mahkota Mohammed kepada Encik Rod-Larsen.
Salah satu gambar itu kemudian dipamerkan di rumahnya di New York.
Dokumen itu turut menunjukkan hubungan berkenaan berkait dengan penghantaran barangan dari Arab Saudi ke pulau Epstein.
Pada awal 2017, pembantu Cik Al Ahmadi berhubung dengan pembantu Epstein mengenai sebuah khemah yang dihantar dari Saudi ke pulau tersebut.
Wakil beliau berkata lebih banyak barangan akan dihantar “untuk masjid”.
“Kami menerima tiga keping daripada Kaabah,” kata pembantu Epstein kepada seorang broker kastam.
Satu dokumen berasingan memuatkan gambar kain sulaman.
Menurut dokumen itu, satu daripadanya “digunakan di dalam Kaabah”, satu lagi disebut sebagai Kiswa yang pernah menutupi bahagian luar Kaabah, manakala yang ketiga berasal dari kilang khas yang sama di Makkah.
Kiswa mempunyai makna agama yang sangat besar.
Setiap tahun, kain penutup baharu Kaabah dihasilkan oleh ratusan tukang mahir di bengkel diraja, menggunakan kira-kira 1,500 paun sutera mentah serta 250 paun benang emas dan perak.
Kosnya dianggarkan sekitar AS$5 juta ($6.41 juta).
Namun, bagaimana Encik Al Ahmadi memperoleh barangan tersebut masih tidak jelas.
Beliau tidak menjawab permintaan untuk komen. Kerajaan Saudi, Encik Al-Sabbagh dan peguam Encik Rod-Larsen juga tidak memberikan respons.
Salah satu gambar dari 2014 memperlihatkan Epstein bersama Sultan Ahmed bin Sulayem, seorang eksekutif terkemuka Amiriah Arab Bersatu, sedang melihat sehelai kain hiasan Kaabah yang dibentangkan di atas lantai rumah bandar Epstein di New York.
Seperti beberapa tokoh lain dalam lingkungan Epstein, hubungan itu akhirnya membawa kesan buruk.
Awal tahun ini, Encik bin Sulayem dipaksa meletakkan jawatan sebagai ketua DP World, syarikat pelabuhan berpangkalan di Dubai.
Pada 2017, Taufan Maria melanda Caribbean dan merosakkan beberapa kawasan, termasuk pulau Epstein.
Satu rekod menunjukkan sebahagian barangan di “masjid” itu musnah atau rosak.
Namun, ribut bukan satu-satunya masalah yang menimpa Epstein dan rangkaiannya.
Mohammed bin Salman kemudian dilantik sebagai Putera Mahkota dan menolak nasihat Epstein, sesuatu yang jelas mengecewakan beliau.
“Kerajaan itu kini memerlukan banyak bantuan mahal kerana mereka tidak mengikuti arahan Yahudi,” tulis Epstein kepada Encik Rod-Larsen, dipercayai merujuk kepada dirinya sendiri.
Selepas wartawan Encik Jamal Khashoggi dibunuh di Konsulat Saudi di Istanbul pada Oktober 2018, Epstein menulis kepada Encik Rod-Larsen mengenai dakwaan bahawa Putera Mahkota Mohammed memberi arahan pembunuhan itu.
Putera Mahkota Mohammed menafikan mengarahkan pembunuhan Khashoggi, tetapi menerima tanggungjawab kerana ia berlaku di bawah kepimpinannya.
“Awan gelap di atas kepalanya,” jawab diplomat itu. “Dan ia tidak akan hilang.”
Amaran itu akhirnya turut menjadi kenyataan buat Epstein sendiri.
Beberapa minggu kemudian, siasatan Miami Herald mendedahkan butiran sulit perjanjian pengakuan bersalah yang dicapainya pada 2008.
Pendedahan itu menghidupkan semula perhatian terhadap kes jenayah seksnya dan membuka jalan kepada kejatuhannya.
Sebagai pertukaran bagi hukuman penjara daerah ketika itu, Epstein diberi kekebalan daripada pendakwaan atas tuduhan yang jauh lebih serius.
Beliau ditangkap semula atas tuduhan baharu pada Julai 2019.
Bulan berikutnya, Epstein memindahkan pemilikan pulau peribadinya kepada sebuah amanah persendirian.
Dua hari kemudian, beliau ditemukan mati selepas menggantung diri di sebuah penjara persekutuan di New York. – Agensi berita.
